Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat DonaldTrump sedang membentuk semula pengajian sains melalui pemotongan geran penyelidikan dan Jabatan Pendidikan.
Ini akan memberi kesan kepada pelajar yang meminati sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, atau pembelajaran Stem.
Salah satu kesannya adalah ketiadaan peluang pembelajaran seperti kem robotik dan akses kepada kursus matematik lanjutan untuk pelajar berumur empat tahun hingga 18 tahun.
Akibatnya, keluarga dan penjaga kini mempunyai peranan lebih penting berbanding sebelum ini dalam menyokong pembelajaran kanak-kanak.
Berdasarkan kajian saya, saya menawarkan empat cara untuk menyokong pembelajaran kanak-kanak dalam cara yang menyeronokkan tetapi masih dapat memupuk minat, keyakinan dan kemahiran mereka dalam Stem.
Cari ‘masalah’ di dalam atau di sekitar rumah anda agar anak anda mencari dan menghasilkan huraiannya.
Mencari dan menghasilkan huraian boleh termasuk menyumbang saran idea, melukis lakaran, mencipta prototaip atau draf pertama, menguji dan menambah baik prototaip serta berkomunikasi tentang ciptaan itu.
Sebagai contoh, satu keluarga dalam kajian kami menghasilkan ‘dispenser’ sabun terbalik untuk masalah berikut: “cara ia direka bentuk” − khususnya, straw − “ia tidak sampai ke bahagian bawah bekas. Jadi terdapat banyak sabun tertinggal di bahagian bawah”.
Untuk mengenal pasti masalah dan melibatkan diri dalam proses reka bentuk kejuruteraan, anggota keluarga digalakkan menggunakan bahan biasa.
Bahan tersebut boleh terdiri daripada kotak kadbod, bebola kapas, kertas dan batu.
Kajian kami mendapati apabila kanak-kanak terlibat dalam kejuruteraan dalam persekitaran rumah dengan penjaga, ibu bapa dan adik-beradik, mereka berkomunikasi tentang dan menggunakan konsep sains dan matematik yang sering “tersembunyi” dalam tindakan mereka.
Sebagai contoh, apabila membina roller-coaster kertas untuk guli, kanak-kanak berfikir tentang bagaimana ketinggian akan mempengaruhi kelajuan guli.
Dalam matematik, ini berkaitan dengan hubungan antara dua pemboleh ubah (variable), atau idea bahawa satu perkara, seperti ketinggian, memberi kesan kepada perkara yang lain, seperti kelajuan.
Dalam sains, mereka menggunakan konsep tenaga kinetik dan tenaga keupayaan.
Semakin tinggi titik permulaan, semakin banyak tenaga keupayaan ditukar kepada tenaga kinetik, yang menjadikan guli bergerak lebih pantas.
Di samping itu, kanak-kanak belajar tentang tugas seorang jurutera melalui tindakan dan pengalaman mereka.
Keluarga dan penjaga memainkan peranan dalam menyokong pemikiran kreatif dan kesanggupan mereka untuk mengatasi masalah yang mencabar.
Buka ruang untuk penerokaan tentang konsep Stem yang didorong oleh minat mereka.
Pada masa ini, kajian saya dengan karyawan Stem yang bersekolah di rumah bercakap tentang kuasa pembelajaran yang dicetuskan oleh rasa ingin tahu.
Seorang peserta berkata: “Pada satu masa, saya benar-benar meminati kumbang kura-kura, atau sebenarnya Kumbang Asia.
“Pada masa itu ada ratusan kumbang di rumah kami. Saya fikir, apa yang sedang berlaku? Jadi, saya ingin mencari sebab mengapa mereka berada di sana, dan kemudian memahami perbezaan antara kumbang kura-kura dengan Kumbang Asia kerana ramai orang berkata, ini sebenarnya bukan kumbang kura-kura.”
Penyelidik menggelar pengalaman itu sebagai penglibatan sains yang tidak dijangka, atau detik matematik spontan.
Detik-detik itu membawa kepada penglibatan yang mendalam dan pembelajaran konsep Stem.
Ini juga boleh menjadi peluang untuk mempelajari sesuatu dengan anak anda.
Dalam kajian saya, rasa tidak pasti tentang konsep Stem boleh membuat kanak-kanak meneroka dan mempertimbangkan idea yang berbeza.
Satu konsep khususnya − pura-pura tidak pasti − adalah apabila ibu bapa dan penjaga tahu jawapan kepada ketidakpastian seorang kanak-kanak tetapi bertindak seolah-olah mereka tidak tahu.
Sebagai contoh, anak anda bertanya: “Bagaimanakah kita boleh mengukur jarak antara St. Louis, Missouri dengan Nashville, Tennessee, di peta ini?”
Anda mungkin menjawab: “Saya tidak tahu. Apa pendapat anda?”
Ini memberi peluang kepada kanak-kanak berkongsi idea mereka sebelum ibu bapa atau penjaga membimbing mereka ke arah jawapan yang betul.
Ubah detik biasa menjadi perbualan yang mencetus rasa ingin tahu.
“Resipi ini untuk empat orang, tetapi kita mempunyai 11 orang yang akan hadir untuk makan malam. Apa yang perlu kita lakukan?”
Dalam temu bual baru-baru ini, seorang peserta berkongsi yang beliau banyak belajar daripada mendengar perbualan tentang kewangan, melihat cara keputusan dibuat tentang wang dan melihat cara bil dikendalikan.
Mereka sedang membangunkan kemahiran celik kewangan dan matematik.
Peserta itu berkata: “Pada masa saya di sekolah menengah, saya mempunyai asas yang sangat baik tentang apa yang saya sedang lakukan dan bagaimana untuk melakukannya dan berfungsi sebagai seseorang dalam masyarakat.”
Di peringkat sejagat, individu kurang kemahiran celik kewangan, yang boleh membawa kepada hasil negatif pada masa hadapan apabila ia melibatkan topik seperti perancangan persaraan dan hutang.
Kajian menunjukkan bahawa bercakap dengan rakan-rakan dan anggota keluarga tentang konsep Stem menyokong bagaimana kanak-kanak melihat diri mereka sebagai pelajar dan kejayaan mereka di kemudian hari dalam bidang Stem, walaupun mereka tidak meneruskan kerjaya dalam Stem.
Kajian saya juga menunjukkan bagaimana penyertaan Stem keluarga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka idea Stem dalam cara yang melangkaui perkara yang biasa mereka alami di sekolah.
Pada pendapat saya, pengalaman Stem seperti ini tidak bersaing dengan apa yang dipelajari oleh kanak-kanak di sekolah − bahkan mengukuhkan dan menyokongnya.
Penulis ialah profesor madya pendidikan matematik di Universiti Binghamton di New York. Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam ‘The Conversation’ iaitu penerbit berita dan analisis berasas penyelidikan yang terkemuka di dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg