Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Papa Rok bersembang keindahan seni, bahasa

Dec 18, 2022 | 05:30 AM



SETIAP insan seni mencurah kreativiti berbekal amanah yang dipertanggungjawabkan untuk sama-sama menitip pesan demi kemajuan masyarakat.



Lagu yang dijana pula bukan setakat hiburan ataupun santapan halwa telinga semata tetapi mampu membawa si pendengar kembara ke alam bahasa, warisan dan budaya Melayu yang lebih dalam lagi.



Amanah inilah yang subur tertanam dalam sanubari Papa Rok, Datuk Ramli Sarip, 70 tahun, dalam fasa selanjutnya meneruskan kerjaya seni yang dibina sejak lebih lima dekad lalu.



Dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini, Ramli menjelaskan selepas berkonsert pada skala besar, beliau juga tidak mampu abaikan pertemuan kecil-kecilan yang membuka ruang untuknya bersembang santai tentang karya yang dihasilkan selama ini.



Antara harapannya adalah bertukar-tukar fikiran dan berkongsi keindahan bahasa, jati diri anak Melayu, nilai agama, perlambangan budaya mahupun puisi dalam lagu serta falsafah di sebalik beberapa karya seninya termasuk yang dimuatkan dalam album terkini, RASA yang juga menampilkan lagu Cinta Di Sebalik Musim.



Nyala rasa ikon rok, dendang rakyat dan irama bermesej kerohanian itu diharap terus membakar semangat pencinta bahasa khususnya golongan pendidik yang berpeluang bertemu empat mata dengannya dalam sesi sembang dan berhibur sambil menjamu selera.



Ramli bekerjasama dengan restoran sajian Maghribi, La Fez Bakery & Cafe di East Coast Road, untuk mengadakan acara Sesi Intim Bersembang Bersama Ramli Sarip: Rasa| Dengar| Hayati di restoran itu pada 28 Disember ini.



Acara antara 8 hingga 10.30 malam ini diadakan buat pendidik bahasa Melayu serta pencinta sastera dan puisi Melayu. Ia akan diperluaskan melebihi satu hari seandainya ada lebih permintaan.



Kata Ramli yang ligat mendekati peminatnya dan baru sahaja selesai siri Konsert Jelajah Ramli Sarip - Cinta Di Sebalik Musim 2022 di Malaysia:



"Semua orang ada amanahnya. Penyanyi pun tetap ada tanggungjawab.



"Bagi saya, banyak yang ingin saya kongsi tentang evolusi lagu-lagu saya dari masa ke masa serta kisah di sebalik terciptanya lagu berkenaan.



"Cinta Di Sebalik Musim malahan mengandungi lagu puitis tentang pelbagai perkara yang membuatkan kita menggali lebih dalam lagi tentang bahasa, budaya, unsur kerohanian dan jati diri anak Melayu.



"Saya rasa sesuai untuk saya buka ruang bersembang secara santai dengan cikgu-cikgu atau pencinta sastera dan bahasa Melayu sambil mereka menjamu selera.



"Ini pendekatan yang saya rasakan sesuai kerana itu ia dipanggil 'sesi intim bersembang' kerana dalam meniti kerjaya saya, saya tidak hanya fikirkan tentang bikin album dan konsert tetapi apa yang boleh dikongsi atau disumbangkan kepada masyarakat."



Lagu-lagu dalam album tersebut yang turut dihasilkan dalam versi piring hitam dianggap Ramli sebagai irama purba yang moden atau 'ancient pop' yang terbukti menusuk ke sanubari ramai termasuk pengikutnya yang lebih muda.



"Album ini dirakam di Singapura dan Malaysia. Dalam tempoh pandemik, kerjaya muzik saya jalan terus. Saya yakin dengan hikmah yang terkandung dalam setiap krisis seperti pandemik ini.



"Anak-anak muda yang mendengar lagu saya dan menganggapnya 'cool' kerana ia menyentuh sanubari mereka kemungkinan besar diperkenalkan kepada lagu-lagu saya oleh bapa mereka," ceritanya lagi.



Ini ditambah dengan kehadirannya menyanyikan versi lagu kebangsaan Majulah Singapura yang dirasakan 'berjiwa' dengan sentuhan peribadi luar biasa.



Menurut Ramli, sesi-sesi pertemuan skala kecil dengan peminat yang diadakannya di Seberang Tambak dengan sajian lagu dan makanan dihidangkan merupakan sesuatu konsep yang disenangi.



"Mungkin ada pertanyaan yang membara dalam hati peminat dan mereka ingin tahu sesuatu atau berkongsi sesuatu...inilah pertukaran pendapat yang ingin saya dengar dalam sesi sebegini," tambahnya.



Kau Yang Satu, Teratai, Nyanyian Serambi, Musafir Rindu dan Cinta Di Sebalik Musim adalah antara lagu yang mempunyai penceritaan menarik untuk dikupas.



Menurut La Fez, hanya 76 tiket diperuntukkan untuk sesi 28 Disember ini, antara 8 hingga 10.30 malam di La Fez, 907 East Coast Road.



Tiket berharga $150 dan $180 (meliputi hidangan utama, cendera hati dan peluang bergambar) boleh ditempah di Instagram @wearelafez.



Potongan harga $30 diberi buat guru di bawah Kementerian Pendidikan (MOE) dan warga emas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >