Mengelirukan dalam cuba menghuraikan kekeliruan.
Itulah yang dapat penulis rumuskan daripada lagu, Pata Pata, gabungan kreatif antara artis Malaysia, Dalia Farhana dengan artis Indonesia, Angga Dermawan.
Biarpun kerjasama di antara artis dua negara sering dialu-alukan, kali ini formula itu kurang berhasil.
Terlalu banyak yang cuba disertakan dalam satu lagu, menyentuh tentang kekeliruan yang disebabkan oleh pembohongan dan penipuan.
Lagu dan lirik yang dihasilkan oleh Angga, Dalia dan Amir Firdaus ini mengisahkan cabaran dan kebingungan yang dihadapi masyarakat.
Kekeliruan itu muncul disebabkan kata-kata yang tidak dikotakan dan hanya mampu menimbulkan kepedihan bagi yang melaluinya.
Pada masa yang sama, ia juga menampilkan hubungan yang penuh dengan masalah disebabkan sikap talam dua muka, kata-kata manis yang dilafazkan di depan tetapi diberi tikaman dari belakang.
Dari segi penerbitannya pula, irama Pata Pata rancak dan mengasyikkan, memandangkan ungkapan ‘Pata Pata’ kerap diulang dan mudah diulang pendengar ketika mendengarkan lagu ini.
Selain itu, lagu ini juga agak berani mencuba menyepadukan unsur muzik ala dangdut, memberi nada baru.
Namun, susunan muziknya, terutama bunyian gendang, kadangkala menenggelamkan vokal kedua-dua artis itu, memandangkan suara Dalia yang agak halus dan suara Angga yang masih belum ‘menjadi’.
Ini menyebabkan penulis terpaksa menguatkan sedikit suara lagu ini untuk mendengar apa yang ingin disampaikan oleh penyanyi.
Namun, oleh kerana Dalia dan Angga memang mempunyai peminat di media sosial, mungkin ini adalah sesuatu yang dinantikan.
Bagi penulis, kedua-duanya perlu meluaskan hasil karya melebihi jangkauan lagu yang tular saja.
Penulis ialah pensyarah media di Politeknik Ngee Ann yang baru tamat menjalani program pembelajaran industri di Berita Harian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg