Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB seru lebih kesaksamaan, keterangkuman bagi individu autistik

Apr 3, 2025 | 5:30 AM
Hari Kesedaran Autisme Sedunia disambut pada 2 April setiap tahun. Dianggarkan sekitar seorang dalam 100 kanak-kanak di seluruh dunia mengalami autisme.
Hari Kesedaran Autisme Sedunia disambut pada 2 April setiap tahun. Dianggarkan sekitar seorang dalam 100 kanak-kanak di seluruh dunia mengalami autisme. - Foto ISTOCKPHOTO

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik António Guterres, menyeru agar iltizam mewujudkan dunia lebih sama rata dan terangkum diperbaharui dalam kenyataannya sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada 2 April.

Tema 2025 – Memajukan ‘Neurodiversiti’ dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB – menyerlahkan kaitan antara usaha kelestarian sejagat dengan ‘neurodiversiti’ (cara unik otak manusia berfikir).

Menurut laman web PBB, matlamatnya adalah untuk mempamerkan bagaimana dasar dan amalan yang bersifat terangkum berupaya memacu perubahan positif bagi individu autistik di seluruh dunia dan menyumbang ke arah menjadikan SDG satu realiti.

Pengasingan, stigma dan ketidaksamaan

“Individu yang mempunyai autisme sering mengalami pengasingan, stigma dan ketidaksamaan.

“Mereka telah dinafikan penjagaan kesihatan dan pendidikan, terutama semasa krisis – dan keupayaan undang-undang mereka tidak diiktiraf dan ditolak,” kata Encik Guterres.

“Diskriminasi sedemikian melanggar Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya, dan komitmen Matlamat Pembangunan Mampan untuk tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang. Ia mesti berubah,” tambahnya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), autisme, atau gangguan spektrum autisme, membentuk kumpulan keadaan pelbagai, yang berkait dengan perkembangan otak.

Ciri-ciri autisme boleh dikesan semasa peringkat umur awal kanak-kanak, melibatkan beberapa tahap kesukaran dengan interaksi sosial dan komunikasi, namun diagnosis selalunya tidak dibuat sehingga kemudian.

Kaitan vaksin dengan autisme tidak tepat

Dianggarkan sekitar seorang dalam 100 kanak-kanak di seluruh dunia mengalami autisme.

Bukti saintifik yang ada menunjukkan mungkin terdapat banyak faktor yang menyebabkan seorang kanak-kanak lebih berkemungkinan menghidap autisme, termasuk faktor persekitaran dan baka, kata WHO dalam lembaran faktanya.

Agensi PBB menyatakan kajian meluas selama bertahun-tahun menunjukkan vaksin campak, beguk dan rubela (MMR) tidak menyebabkan autisme.

“Kajian yang ditafsirkan sebagai menunjukkan sebarang kaitan sedemikian adalah tidak tepat.

“Selain itu, beberapa pengarang mempunyai pendirian berat sebelah yang tidak diisytiharkan, mempengaruhi apa yang mereka laporkan tentang kajian mereka,” kata lembaran fakta itu.

Di samping itu, bukti turut menunjukkan vaksin kanak-kanak lain tidak meningkatkan risiko.

Pengalaman hidup yang pelbagai

Kebolehan dan keperluan individu yang mengalami autisme berbeza-beza dan boleh berkembang dari masa ke masa, jelas WHO.

Sedang sesetengah mereka boleh hidup berdikari, ada di antara mereka mempunyai ketidakupayaan yang teruk dan memerlukan penjagaan dan sokongan sepanjang hayat.

Autisme juga sering memberi kesan kepada pendidikan dan peluang pekerjaan.

Keluarga pula boleh menghadapi tuntutan besar dalam menyediakan penjagaan dan sokongan.

Encik Guterres menegaskan pemerintah mesti menerima pakai undang-undang dan dasar yang menjamin kesaksamaan dan menggalakkan penyertaan penuh penghidap autisme dalam masyarakat.

“Kami memerlukan sistem kesihatan dan pendidikan, persekitaran kerja dan reka bentuk bandar yang terangkum – demi memastikan mereka yang mengalami autisme mempunyai peluang yang sama untuk berkembang maju,” katanya.

“Pada Hari Kesedaran Autisme Sedunia, marilah kita melahirkan semula iltizam kita untuk mencipta dunia di mana tiada individu autistik ketinggalan di belakang,” tambahnya.

Komitmen terhadap kepelbagaian

Sepanjang sejarahnya, PBB telah meraikan kepelbagaian dan menggalak hak dan kesejahteraan individu kurang upaya, termasuk perbezaan pembelajaran dan ketidakupayaan perkembangan.

Misalnya, Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya, yang mula berkuat kuasa pada 2008, menegaskan semula prinsip asas hak asasi manusia sejagat untuk semua.

Pada tahun yang sama, Perhimpunan Agung PBB – yang menghimpunkan kesemua 193 negara anggota – sebulat suara mengisytiharkan 2 April sebagai Hari Kesedaran Autisme Sedunia bagi mempertingkatkan mutu hidup individu autistik supaya mereka boleh menjalani kehidupan yang bermakna sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg