Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ARTIS SEBERANG

Pelakon bijak ada sentuhan magis, ikut perkembangan semasa: Fauziah Nawi

Bintang veteran senangi kesungguhan bakat muda S'pura dalam telefilem khas
Jul 15, 2022 | 05:30 AM



SEORANG pelakon harus mempunyai sentuhan magis untuk menjadi watak itu dan ini sekelip mata malah harus bijak menambah baik lakonannya berbekal kesediaan mengambil tahu tentang keadaan sekeliling dengan banyak membaca.



Sebagai pendidik seni lakon yang sudah lama mengasah ketukangan dalam bidang ini, seseorang itu juga tidak harus berada di takuk lama dan membuka hati dan matanya agar terus berkembang relevan untuk penuhi tuntutan dan jangkaan penonton yang kian tinggi dan berubah.



Visi sebeginilah yang menjadi landasan pelakon veteran yang disegani ramai, Fauziah Nawi, 69 tahun, juga seorang guru lakonan, dalam berkarya.



Dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Harian, Fauziah yang bermula sebagai penari kebudayaan dan penyanyi serta juruhebah, turut berkongsi pengalaman dan pengamatannya sepanjang terlibat dalam telefilem khas Hari Raya Haji di saluran Suria, Tiga Hari Ke Korban.



Beliau membawa watak nenek dalam telefilem arahan Mahfuz Mazlan yang turut dijayakan Shah Iskandar, Suhaillah Salam, Tysha Khan dan Hasif Nasir.



Telefilem itu boleh ditonton di aplikasi meWATCH.



Ikuti wawancara berikut bersama Fauziah yang dikenali dari zaman sitkom Santan Berlada hinggalah watak paling memberi impak sebagai penari mak yong bernama Mok Joh dalam Hantu Mok Joh.



Soalan (S): Bagaimana pengalaman anda menjayakan telefilem 'Tiga Hari Ke Korban' bersama bakat Singapura?



Fauziah: Ini adalah kerjasama kedua saya dalam drama bersama saluran Suria setelah sekian lama. Kelainannya adalah dari segi jalan cerita yang menyingkap pertalian keluarga antara warga Singapura dengan warga Malaysia



Dalam drama ini, saya adalah ibu kepada seorang lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita Singapura serta nenek kepada empat cucu.



Setiap tahun, anak saya akan balik beraya di kampung bersama keluarganya sehinggalah satu kemalangan berlaku dan mengorbankan anak dan menantu saya.



Tragedi itu membuatkan cucu sulung saya trauma dan tak nak balik kampung lagi.



Cuma sebagai nenek yang mempunyai kelebihan untuk memberi kepada cucunya dan berkorban untuk mereka, suatu ketika, dia ingin buat korban dan menyampaikannya kepada cucu perempuannya yang kedua. Dia ajak mereka balik kampung.



Si cucu salah anggap dan menyangka neneknya sakit dan hidup tak lama lantas memujuk yang lain agar sama-sama pulang ke kampung.



S: Apa yang boleh diraih daripada telefilem ini?



Fauziah: Ia membawa pesanan tentang kehilangan dan pentingnya kita mengamati perasaan orang sekeliling kita. Jangan kita rasa kita sahaja yang kehilangan sebab orang lain juga mengalaminya.



Cucu-cucu ini mungkin sangka mereka sahaja hilang ibu bapa tanpa ambil kira perasaan nenek yang hilang anak kesayangannya juga.



Sekurang-kurangnya, mereka empat beradik masih boleh bergantung pada diri masing-masing.



Bagaimana pula nenek yang tinggal bersendirian di kampung? Dia sedikit pun tidak bercakap tentang kesunyian yang dirasakan.



Dia hanya pastikan kebajikan cucu-cucunya terjaga.



Apa yang saya dapat katakan, budak sekarang tak faham bahasa berbunga atau sindiran beralas. Mereka inginkan semuanya disampaikan langsung secara jujur.



Orang sekarang tak pedulikan tentang orang lain. Dalam hidup mereka, hanya ada aku, aku dan aku.



Orang tua pula takut nak menyinggung perasaan budak-budak. Jadi didiamkan begitu sahaja. Takut kalau budak tu kecil hati, dah tak nak jenguk kita lagi.



Justeru, Tiga Hari Ke Korban ini mengajar penonton tentang kepentingan memahami keperluan orang lain juga. Perhatikan keadaan sekeliling supaya kita tidak tertinggal apa yang penting dan harus diperhatikan.



Seperkara lagi, apabila tonton drama ini, boleh bezakan antara cara orang Melayu Singapura dengan orang Melayu Malaysia.



S: Bagaimana pengalaman berlakon dengan bakat Singapura?



Fauziah: Tiada masalah sebab mereka anggap saya macam nenek mereka, sebagaimana dalam cerita ini. Kemesraan antara nenek dan cucu dapat dibina secara semula jadi. Macam gitu juga saya dengan cucu sendiri. Tiada rasa canggung.



Mereka malahan memudahkan kerja saya. Kesemuanya amat menghormati dan merupakan pelakon bijak yang tahu apa nak buat. Saya memang sudah biasa berlakon dengan Shah Iskandar di Malaysia.



Hasif rupanya adalah budak kecil yang pernah berlakon dengan saya dulu. Apabila dia beritahu saya tentang perkara ini, tak sangka dulu kecil sekarang dah bujang pun sebab kami memang tidak berhubung selepas tamat projek yang lalu.



Sebagai pelakon sekian lama, saya diajar untuk sentiasa siap sedia untuk berlakon dengan mana-mana bakat yang sudah terima wataknya. Tak kira dia baru atau lama, profesionalisme itu harus ada.



Sebagai nenek dalam telefilem ini, wataknya memanglah orang yang bijaksana dan pandai jaga diri, tahu ikutkan cita rasa cucu, terbuka untuk memahami cucu dan tahu cara penakatan sebaiknya.



Cuma biasalah, dah biasa bersendiri dia enggan menyusahkan sesiapa. Macam mana pun, kesepian biasanya menjenguk si nenek.



S: Apakah projek paling membawa impak buat anda sejauh ini? Apa pula projek terbaru anda?



Fauziah: Projek telefilem khas Astro, Hantu Mok Joh adalah yang berkesan di hati saya. Saya pernah mempelajari seni tari tradisional mak yong dengan semua guru saya orang Kelantan.



Dalam telefilem ini, saya adalah primadona mak yong dengan penggambaran 100 peratus dibuat di Kelantan dan saya pula berbahasa Kelantan.



Sepanjang seminggu di Kelantan, saya bertutur sepenuhnya dalam dialek Kelantan. Mujurlah, saya berpengalaman menjadi penari mak yong sebelum ini. Justeru, watak itu Mok Joh begitu dekat di hati saya.



Dalam projek terkini Puteri Perak Terakhir, tidak begitu ditekankan agar saya menggunakan dialek Perak. Tak begitu pasti mengapa pengarahnya inginkan sebegitu.



Saya adalah penari bernama Wan Anom yang beribukan seseorang daripada keluarga diraja tetapi bapanya orang biasa. Wan Anom pun berkahwin dengan keturunan raja dan mempunyai anak bernama Raja Asiah.



Kerana Wan Anom bukan daripada keluarga diraja sepenuhnya, maka ibu mentuanya kurang senang dengannya. Akhirnya dia ditinggalkan suami dengan anaknya pula menuduh dia terlalu sibukkan seni tari sampaikan diabaikan suami.



Yang menarik tentang projek ini adalah ia condong pada kisah antara dua darjat dan juga penerokaan tentang seni dan budaya.



Pelakon lain dalam projek ini termasuk Datuk Rahim Razali, Rusdi Ramli dan Laila Nasir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >