Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelakon James Bond: Dari Sean Connery ke Robert Pattinson
Pelakon James Bond: Dari Sean Connery ke Robert Pattinson
Pelakon kelahiran Britain, Robert Pattinson, disahkan sebagai penyandang rasmi ketujuh watak ejen perisik legenda, James Bond.
Pengumuman oleh Amazon MGM Studios pada 16 November lalu menerusi media sosial menamatkan penantian sejak tayangan No Time to Die pada 2021 dan juga tekaan pengganti Daniel Craig.
Pattinson, 40 tahun, dilaporkan menewaskan beberapa calon termasuk Callum Turner dan Josh O’Connor sebelum dipilih membintangi filem ke-26 arahan Denis Villeneuve (Dune), yang dijangka ditayangkan pada 2028.
“James Bond merupakan salah satu watak paling legenda dalam dunia perfileman, dan diberi kepercayaan untuk menggalas peranan 007 adalah satu penghormatan yang amat bermakna.
“Saya amat berterima kasih kepada Denis, Amy, David, Tanya, dan seluruh warga Amazon MGM Studios atas kepercayaan yang diberikan kepada saya.
“Mengatakan bahawa watak ini adalah impian yang menjadi kenyataan sebenarnya masih belum cukup untuk menggambarkan perasaan saya,” kata Pattinson dalam satu kenyataan pada 16 November.
Sejak pertama kali ditayangkan menerusi filem Dr. No pada 1962, watak ciptaan penulis Ian Fleming ini telah dijayakan oleh tujuh pelakon rasmi dengan gaya tersendiri:
1. Sean Connery (1962 – 1983)
Filem rasmi: Dr. No, From Russia with Love, Goldfinger, Thunderball, You Only Live Twice, Diamonds Are Forever (serta filem luar Eon, Never Say Never Again pada 1983)
Pelakon kelahiran Scotland ini ialah wajah asal yang menghidupkan watak 007. Gaya lakonannya yang maskulin, tenang dan bergaya menjadi ikutan pelakon Bond selepasnya.
2. George Lazenby (1969)
Filem: On Her Majesty’s Secret Service
Bekas model dari Australia tanpa pengalaman lakonan utama ini mengejutkan ramai apabila dipilih menggantikan Connery selepas memukau penerbit dalam ujian babak pertarungan.
Beliau hanya muncul dalam satu filem sebelum menarik diri.
3. Roger Moore (1973 - 1985)
Filem: Live and Let Die, The Man with the Golden Gun, The Spy Who Loved Me, Moonraker, For Your Eyes Only, Octopussy, A View to a Kill
Pemegang rekod paling lama menggalas tugas 007 menerusi tujuh filem rasmi. Moore membawa pendekatan lebih ringan, bersahaja dan penuh jenaka sinis yang menepati cita rasa penonton era 1970-an hingga awal 1980-an.
4. Timothy Dalton (1987 – 1989)
Filem: The Living Daylights, Licence to Kill
Dengan latar belakang teater Shakespeare, Dalton mengembalikan watak Bond kepada akar umbi novel asal Ian Fleming yang lebih dingin, serius dan gelap.
5. Pierce Brosnan (1995 - 2002)
Filem: GoldenEye, Tomorrow Never Dies, The World Is Not Enough, Die Another Day
Selepas enam tahun francais Bond menyepi akibat pertikaian undang-undang, pelakon kelahiran Ireland ini menghidupkan semula kegemilangan 007 pada 1990-an menerusi gabungan ketampanan klasik dan aksi blokbuster moden.
6. Daniel Craig (2006-2021)
Filem: Casino Royale, Quantum of Solace, Skyfall, Spectre, No Time to Die
Meskipun pelantikannya pada 2005 mengundang keraguan segelintir peminat, Craig berjaya merombak imej 007 menjadi ejen yang lebih lasak, realistik dan sarat emosi.
7. Robert Pattinson (2026 - kini)
Filem: Bond 26 (dijangka tayang 2028)
Pelakon pertama di bawah arahan baharu Amazon MGM Studios (selepas pengambilalihan 2025).
Bekas bintang The Batman dan Twilight ini membawa sisi misteri dan moden di bawah arahan Villeneuve.