Sekitar 25 tahun sebelum pelakon Lily Gladstone berpeluang digandingkan dengan Leonardo DiCaprio bagi filem Killers of the Flower Moon, beliau adalah peminat tegar filem Titanic.
Gladstone, 37 tahun, bahkan menghabiskan wang sakunya untuk menempah awal set dua pita video Titanic dari kedai mainan Toys ‘R’ Us.
Demikian dikongsi pelakon kelahiran Montana, Amerika Syarikat itu, kepada majalah People.
“Saya mengingati iklan filem ‘pecah panggung’ itu disiarkan pihak Toys ‘R’ Us. Ada ramai wanita muda yang ingin membeli pita video filem tersebut. Mereka berebut-rebut mendapatkan pita video itu.
“Saya menyukai filem Titanic dan lakonan Kate Winslet. Leonardo membawa wataknya dengan baik tetapi saya bukanlah kemaruk dengan Leonardo. Saya hanya suka watak Jack Dawson yang dibawakannya sehingga saya membayangkan budak-budak lelaki yang saya suka mempunyai gaya mirip Jack,” tambahnya.
Menurutnya, beliau mula mengamati lakonan DiCaprio dalam filem What’s Eating Gilbert Grape, This Boy’s Life serta Romeo + Juliet.
“Bagaimanapun, saya paling meminati Leonardo dalam filem The Man in the Iron Mask. Filem yang diterbitkan pada 1998 itu merupakan adaptasi daripada novel tulisan Alexandre Dumas.
“Leonardo bawakan dua watak sebagai Raja Louis XIV dan kembarnya Phillippe yang hidup dalam keadaan dibuang negeri,” jelas Gladstone.
Sejak itu, beliau menyimpan hasrat menjadi pelakon kerana seronok membawakan pelbagai watak berbeza.
“Kalau dapat main dua peranan dalam satu filem, rasanya lebih ‘cool’,” tambah Gladstone yang turut dicalonkan bagi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Golden Globe pada 8 Januari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg