Pelakon Malaysia, Riena Diana, mengaku tidak berdepan masalah untuk menjalin hubungan istimewa bersama pelakon kacak, Keith Foo, walaupun aktor itu berstatus duda anak satu.
Bagi Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 27 tahun, apa yang paling penting adalah jejaka yang ingin didekatinya itu bukanlah suami orang.
Pada pagi 17 Jun, Riena turut memuatnaikkan hantaran Instagram yang menunjukkan Keith menghantarnya ke masjid bagi solat Aidilfitri.
“Kalau duda, memang tiada masalah. Duda, bujang atau ada anak sekalipun, itu tidak menjejaskan apa-apa. Jujurnya kalau saya tidak berkawan dengan Keith pun saya berkawan dengan orang lain. Asalkan bukan suami orang.
“Jadi, selagi bukan suami orang dan kedua belah keluarga boleh terima, saya okey. Saya suka budak-budak, jadi tiada masalah bagi saya kalau bakal suami ada anak atau tidak,” katanya sewaktu ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) semasa pelancaran dan sidang media pertandingan nyanyian, I Can See Your Voice Malaysia Musim Ketujuh (ICSYVM 7), di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Mengulas perkenalan bersama Keith, Riena yang meraih populariti menerusi drama rantaian, Kampung People, memberitahu BHM, mereka rapat selepas terbabit dalam penggambaran drama, Salju Rindu, yang akan disiarkan menerusi slot Akasia TV3, pada Ogos.
“Dalam sebulan dua ini kami baru rapat, jadi hubungan kami sangat baru. Sebab itu kami berdua tidak mahu menguar-uarkan atau hendak beri kenyataan. Cuma kami selesa berkawan antara satu sama lain buat masa ini.
“Hendak cakap lebih-lebih pun risau, sebab tak tahu masa depan macam mana. Kami sedang mengenal hati budi masing-masing. Jadi doakan yang terbaik, kalau ada jodoh insya-Allah,” katanya.
Mengulas lanjut, Riena berkata beliau dan Keith menyedari wujud keserasian antara mereka ketika bersama dalam menjayakan penggambaran drama, Salju Rindu.
“Boleh dikatakan kami serasi dan masa di awal penggambaran sudah berkawan baik. Kami hanya berkawan rapat dan baik di set. Mungkin selepas beberapa minggu kami sedar, kami macam ada banyak persamaan.
“Apabila kami sudah kenal dengan mendalam, kami tahu banyak persamaan. Dari segi perkara yang suka atau tidak pun sama,” katanya.
Sebelum ini, Riena pernah mendedahkan hubungan cintanya dengan kekasih yang dikenali sebagai Nik Afiq sudah berakhir pada penghujung 2023 walaupun ada perancangan untuk berkahwin.
Keith ketika ini berstatus duda anak satu selepas rumah tangga yang dibina bersama Kim Raymond pada 2015 berakhir dengan perceraian pada 2019.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Skylar, yang kini berusia tujuh tahun.
Dalam perkembangan lain, Riena menggalas peranan penyiasat bersama Naim Daniel, Bell Ngasri serta Siti Khadijah Halim untuk mencari penyanyi sebenar dan penyamar dalam ICSYVM 7 yang akan bersiaran selama 11 episod bermula 23 Jun ini di TV3.
Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan itu masih mengekalkan Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai pengacara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg