Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sophia Albarakbah, Meerqeen dihargai di Anugerah Telenovela Kesembilan

Feb 27, 2024 | 3:52 PM
Sophia Albarakbah (kiri) dan Meerqeen mencipta kejayaan besar di pentas Anugerah Telenovela Kesembilan.
Sophia Albarakbah (kiri) dan Meerqeen mencipta kejayaan besar di pentas Anugerah Telenovela Kesembilan. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

Sepanjang 2023, nama Sophia Albarakbah dan Meerqeen kerap disebut-sebut di media sosial kerana bermacam kontroversi yang melanda hidup mereka, dikaitkan dengan artis itu dan ini.

Namun, pada 23 Februari, Sophia, 30 tahun, dan Meerqeen, 22 tahun, dijulang sebagai pemenang kategori utama Anugerah Telenovela Kesembilan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Pada malam bersejarah itu, Sophia diumumkan sebagai Ratu Telenovela dan Pelakon Wanita Popular, manakala Meerqeen diangkat sebagai Bintang Telenovela serta Pelakon Lelaki Popular, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sophia yang meraih kemenangan melalui drama rantaian, Air Mata Allisya, menyifatkan kejayaan itu bertunjangkan sokongan peminat.

“Saya tidak sangka raih trofi Ratu Telenovela. Saya bersyukur dan sangat gembira. Kemenangan ini membawa maksud peminat sentiasa menyokong saya.

“Sebenarnya, saya hadir ke majlis ini untuk memberi sokongan. Menang atau sebaliknya, tidak mengapa. Saya bergegas datang dari set penggambaran filem di Sijangkang (Selangor).

“Alhamdulillah, ini adalah anugerah kedua saya selepas memenangi kategori Aktres Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35,” katanya yang ditemui sejurus selepas majlis berakhir.

Menyedari acara anugerah itu berteraskan populariti dan undian, Sophia bersyukur kehadirannya dalam dunia seni diterima ramai.

“Alhamdulillah, apabila orang suka, saya jadi lebih teruja hendak berkongsi karya. Insya-Allah, pada tahun ini (2024), tiga filem saya akan ditayangkan iaitu, Saka Perawan, Harimau Malaya dan Reeza.

“Diharap saya dapat beri yang terbaik selepas kemenangan ini. Siapa tahu, selepas ini, saya boleh menang anugerah berdasarkan prestasi terbaik, bukan populariti,” katanya.

Drama Air Mata Allisya, yang ditayangkan di slot Diandra, TV9, menggandingkan Sophia bersama Keith Foo, Hariz Hamdan, Puteri Khareeza, Nazeera Sardi, Tony Eusoff, Anne Abdullah dan Jasmin Hamid.

Sementara itu bagi Meerqeen, atau nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, beliau turut meluahkan penghargaan kepada peminat sebagai pendorong kejayaannya.

Bintang drama, Melur Untuk Firdaus itu bersyukur menerima dua trofi, dalam penyertaan sulung semasa acara anugerah terbabit.

“Saya sangat gembira dan percaya kemenangan ini adalah (hasil) kerja keras pelbagai pihak terutama peminat dan keluarga yang sentiasa di belakang saya.

“Saya tidak nafikan kemenangan ini sedikit sebanyak membakar semangat untuk terus memberi yang terbaik dalam lakonan saya,” katanya.

Gandingan Meerqeen dalam Melur Untuk Firdaus iaitu Anna Jobling turut diumum Artis Sensasi Telenovela, manakala drama Melur Untuk Firdaus meraih trofi Telenovela Popular.

Moga Sophia dan Meerqeen terus mempertingkatkan kemahiran lakonan masing-masing dan membuktikan mereka bukan sahaja pelakon yang cantik atau tampan dipandang mata, malah bermutu tinggi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg