Topic followed successfully
Go to BHkuPelakon ‘The X-Files’ ingin pulihkan persahabatan
Pelakon ‘The X-Files’ ingin pulihkan persahabatan
Pelakon ‘The X-Files’ ingin pulihkan persahabatan
Penyesalan dirasakan dua pelakon yang membintangi drama cereka sains yang terkenal pada 1990-an, The X-Files, David Duchovny dan Gillian Anderson, selang 30 tahun mereka menjalinkan persahabatan.
Bagi mereka, sewajarnya tiada konflik terjadi dengan mereka menikmati persahabatan yang jujur dan ikhlas serta saling memberi motivasi.
Ini hanya didedahkan dalam satu episod podcast yang dikendalikan Duchovny, Fail Better, pada 12 November 2024.
Awalnya, Anderson, 56 tahun, yang kini juga seorang penulis buku, merakam video yang mengulas podcast rakan gandingannya itu dan menyifatkan wawancara yang dikendalikan Duchovny, 64 tahun, bersama beberapa tetamunya seperti pelakon Sean Penn, sebagai menarik kerana menyelongkar kehidupan sebenar yang tidak diketahui peminat mereka.
“Apabila saya mula mendengar podcast David, saya tidak pernah terfikir untuk diundang sebagai tetamu.
“Saya hanya anggap usaha David itu menggalakkan pendengar untuk bersikap positif dalam menghadapi apa jua bentuk kegagalan.
“Saya lebih mengenali David menerusi sesi sembangnya dengan bermacam tetamunya yang bukan calang-calang,” jelas Anderson dalam podcast berkenaan, sebagaimana dilaporkan laman web, People.Com.
Duchovny pula mengakui jika diminta menceritakan tentang kegagalan yang pernah dialami dalam hidup, ia merujuk pada kegagalannya menjadi sahabat yang baik buat Anderson.
“Saya sebenarnya teringatkan detik pertama kami bertemu di tepi tangga sebelum masuk ke ruang uji bakat bagi The X-Files.
“Saya dapat rasakan inilah teman yang akan bekerjasama dengan saya dalam drama itu. Saya rasa keserasian dapat dibina dalam watak ejen risikan, Fox Mulder dan Dana Scully.
“Tapi entah mengapa persahabatan yang sepatut kami bina menemui kegagalan.
“Di sebalik keserasian yang kami bina di set penggambaran, kami sentiasa menyimpan rasa marah terhadap satu sama lain di luar set drama ini.
“Ada isu tentang jurang pendapatan antara kami. Saya dapat lebih dan Gillian dapat pendapatan yang kurang antara punca utama,” ujar Duchovny lagi.
Duchovny bahkan berkongsi rasa marahnya yang dipendam terhadap Anderson sewaktu pelakon wanita berbakat besar itu lambat menaiki pesawat peribadi milik Duchovny.
“Gillian, awak mungkin tak perasan mengapa saya diamkan diri ketika itu. Tapi baru hari ini, saya beritahu awak, saya sedang marah sebab awak lambat dan mengacau jadual kerja saya,” jelasnya.
Duchovny meminta maaf kepada Gillian dalam sesi podcast itu dan berharap dalam meniti usia senja, mereka dapat mengetepikan segalanya dan saling memberi kata-kata perangsang buat satu sama lain.
The X-Files bertahan hingga sembilan musim, antara 1993 dengan 2001.
“Mungkin kerana populariti drama itu membuatkan kita masing-masing menjadi celaru dan sulit menangani populariti dan fenomena The X-Files.
“Tapi yakinlah, saya sahabat awak kini dan mengharapkan yang terbaik bagi kerjaya awak untuk jangka panjang,” jelas Duchovny.

