Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelancong Muslim S’pura semakin minat ke China

China tawar pilihan halal luas, tapak Islam bersejarah, kos rendah
Mar 16, 2025 | 5:30 AM
Tasik Yamdrok di Tibet.
Tasik Yamdrok di Tibet. - Foto NUR ATIQA ABDUL KADIR

Minat dalam kalangan pelancong Singapura Muslim ke destinasi di China telah menyaksikan peningkatan, menyusuli tawaran halal yang pelbagai dan perkongsian media sosial yang semakin meluas.

Dihubungi Berita Minggu (BM), beberapa agensi pelancongan menyaksikan peningkatan ketara dari segi permintaan sejak 2024, antaranya didorong kemudahan mencari makanan halal, tapak Islam bersejarah, dan kos rendah melancong ke sana.

Destinasi di China yang lebih popular dalam kalangan pelancong Muslim termasuk Beijing, Xi’an, Yunnan, Shanghai dan Chengdu, dengan musim yang lebih digemari merupakan musim bunga (Mac hingga Mei) dan musim luruh (September hingga November).

Menurut beberapa laman berita, China sedang menampilkan dirinya sebagai destinasi utama untuk pelancong Muslim, dengan menawarkan pakej pelancongan mesra halal dan mempromosikan kemudahan mesra Islam.

Peralihan strategik ini adalah sebahagian daripada usaha China yang lebih meluas untuk memulihkan industri pelancongannya yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

Eksekutif pemasaran Chan’s World Holidays, Cik Doreen Ong, berkata pasaran pelancongan Muslim ke China semakin berkembang.

Sewaktu pameran Persatuan Ejen Pelancongan Nasional Singapura (Natas) pada Februari, lebih 50 peratus daripada pelanggan Muslim mereka membuat pertanyaan mengenai lawatan ke China.

“Semakin ramai pelancong Muslim berkunjung ke China, sebahagian besarnya disebabkan ketersediaan penginapan dan makanan mesra Muslim yang semakin banyak,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa banyak daripada rantau China, seperti Xi’an dan Yunnan, mempunyai warisan Islamik yang kaya yang mudah dihayati pelancong Muslim.

Dalam pada itu, media sosial dan blog perjalanan telah banyak menonjolkan tentang kemudahan mesra Muslim di China.

Sependapat, pengarah Senyum Travel, Cik Siti Nuraini, turut berkata kos rendah untuk bercuti di China juga menjadi tarikan kuat.

Agensinya, yang menawarkan kunjungan ke Xi’an, Kunming, Beijing, Harbin, Dali dan Lijiang, berkata harga pakej boleh mencecah serendah $800 seorang untuk keluarga berempat bagi pakej lawatan di darat.

Pengarah urusan Dreamcation, Encik Sujimy Mohamad, berkata terdapat banyak masjid dan restoran makanan halal yang berkembang di China hari ini.

Di Yunnan misalnya, terdapat lebih 800 masjid untuk penduduk Islam di sana di samping matawangnya yang membuat pengalaman membeli-belah sangat berbaloi.

“Dengan 55 kumpulan etnik minoriti, China mempunyai kepelbagaian budaya yang unik. Selain itu, Laluan Sutera (Silk Road) sejak Dinasti Tang lebih 1,400 tahun lalu juga menjadi tarikan kerana ramai yang sudah tahu pengaruh Islam di China cukup meluas sehingga membuat pengunjung Islam terpegun,” katanya.

Mengulas lanjut, Encik Sujimy berkata bandar seperti Beijing dan Shanghai tetap pilihan utama kerana mudah bagi ramai rakyat Singapura menyesuaikan diri.

Namun Xi’an dan Chengdu juga menjadi destinasi popular kerana pengalaman budayanya yang mendalam.

“Xi’an terkenal dengan barisan makanan halal di Muslim Quarters dan The Grand Mosque of Xi’an serta tarikan ikonik seperti Terracotta Warriors.

“Sementara itu, Chengdu menawarkan tempat menarik seperti Panda Research Base dan Jiuzhaigou Valley – Tapak Warisan Dunia UNESCO,” ujarnya.

Encik Sujimy Mohamad berkunjung ke Lembah Jiuzhaigou di China.
Encik Sujimy Mohamad berkunjung ke Lembah Jiuzhaigou di China. - Foto DREAMCATION

CHINA ‘UNDERRATED’, BANYAK UNTUK DITEROKA

Cik Atiqa berkunjung ke Tasik Yamdrok di Tibet pada Februari 2025.
Cik Atiqa berkunjung ke Tasik Yamdrok di Tibet pada Februari 2025. - Foto NUR ATIQA ABDUL KADIR

Pengembara, Cik Nur Atiqa Abdul Kadir, 35 tahun, yang sudah tiga kali ke China, tidak menafikan bahawa destinasi seperti China ‘underrated’ atau kurang dipandang, sedangkan negara tersebut menyajikan banyak keindahan alam.

“Orang ramai sering kaitkan China dengan Tembok Besar China (Great Wall of China) jadi mereka rasa kunjungan mereka ke China selesai sebaik sahaja sudah lihat tembok besar itu.

“Tetapi sebenarnya China mengandungi banyak ‘permata’, dan tarikan itu hanya segelintir sahaja,” ujarnya yang telah ke Wuxi, Shanghai, Xinjiang, Beijing, Xi’an, Chengdu, Harbin, Hohhot, Lanzhou dan Xining.

Walaupun sudah berkali-kali ke China, baik bersama keluarga atau secara solo, Cik Atiqa tidak berasa jemu malah mendapati sukar untuk mengenal pasti bandar atau daerah yang paling digemari kerana mendapati setiap tempat yang dikunjunginya menawarkan keindahan tersendiri.

“Tetapi jika saya perlu memilih satu, saya pilih Xi’an kerana saya memang suka makan!” katanya ketawa.

Menurutnya, daerah seperti Xi’an adalah lebih mudah untuk mendapatkan makanan halal dan menggesa pelancong yang mengembara sendiri tanpa mengikuti rombongan supaya melawat daerah masjid jika ingin mendapatkan makanan halal.

Masjid Besar Hohhot di daerah Huimin, Hohhot di China.
Masjid Besar Hohhot di daerah Huimin, Hohhot di China. - Foto NUR ATIQA ABDUL KADIR

Beliau berkata negara seperti China sesuai bagi pelancong bajet kerana kos berbelanja tidak tinggi.

Dengan hanya $20, ia sudah cukup untuk menampung sarapan, makan tengah hari dan makan malam tanpa perlu menyekat jumlahnya.

Sebagai pengembara wanita solo, Cik Atiqa berkata beliau umumnya tidak risau tentang keselamatan diri di sana.

“Jika saya sesat, saya bertanya warga tempatan. Mereka sangat baik hati dan tanya ke mana saya ingin pergi. Tidak pernah saya rasa takut tentang apa-apa pun,” ujarnya.

Menurutnya, penduduk di sana rata-rata peramah terhadap warga asing sepertinya.

Ditanya apa cabaran terbesar ketika melancong, beliau berkata ia adalah tentang komunikasi dengan penduduk di sana kerana beliau tidak tahu berbahasa Mandarin.

Namun, masalah itu diatasi dengan teknologi dengan applikasi ‘Google Translate’ menjadi ‘penyelamat’.

Beliau menasihatkan pengembara lain supaya memuat turun semua aplikasi China seperti Alipay, WeChat yang turut mengandungi ciri terjemahan.

Festival ais Harbin di China.
Festival ais Harbin di China. - Foto-foto NUR ATIQA ABDUL KADIR
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg