Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pelawak Jo Koy teruk kena ‘boo’ ekoran jenaka hambar

Jan 08, 2024 | 03:50 PM



Tidak mudah mencari pengacara bagi majlis penyampaian, Anugerah Golden Globe ke-81 pada 2024.

Penganjuran anugerah itu pula dikendalikan Dick Clark Productions yang mengambil alih pengendalian acara gilang-gemilang itu daripada Persatuan Media Asing Hollywood yang sarat dengan isu kontroversi dan skandal selama ini.

Laman web, Rolling Stone, melaporkan sebilangan pelawak terkenal dikatakan menolak tawaran mengacara Anugerah Golden Globe kerana khuatir kurang persiapan dan masa yang terlalu terbatas, diburukkan lagi dengan isu tunjuk perasaan pelakon yang tidak puas hati dengan bayaran yang mereka terima.

Pengacara yang berpengalaman menerajui Anugerah Golden Globe sebelum ini, Chris Rock, Ali Wong, trio Will Arnett, Jason Bateman dan Sean Hayes yang mengacarakan bersama podcast SmartLess, bahkan menolak peluang mengacarakan majlis di The Beverly Hilton, Beverly Hills.


Pada 21 Disember 2023, pelawak ‘stand-up’ atau komedi di hadapan penonton, Jo Koy, kemudian diumumkan sebagai pengacara ‘bidan terjun’ yang memikul amanah besar pada 7 Januari (8 Januari, waktu Singapura) menerusi siaran CBS buat julung-julung kalinya.

Sayangnya, kehadirannya bagaikan tidak diterima apabila ada yang mula melontar ejekan ‘boo!’ ke arahnya dalam beberapa babak ketika beliau mengacara.

Yang nyata, apabila beliau yang tiada pengalaman berada di pentas, ternyata payah untuk sesetengah pihak menerimanya yang seakan-akan berbual seorang diri.

Kata Koy, 52 tahun, dalam satu monolog yang sukar difahami penonton:

“Detik saya menandatangani kontrak itu, saya mula sibuk. Saya kunci diri saya dalam bilik dan menonton segalanya tentang majlis penyampaian anugerah gilang-gemilang dan filem-filem yang dicalonkan.

“Sedang keluarga orang lain bergembira menjamu selera untuk menyambut Tahun Baru, keluarga saya pula teruja menonton Oppenheimer,” kata Koy.


Menurutnya, beliau sukakan filem itu tetapi lebih seronok jika ia dilanjutkan kepada empat jam kerana ada beberapa perkara yang perlu dikupas lebih mendalam lagi agar penonton lebih faham.

Tatkala beliau menyambung bahawa azam Tahun Barunya adalah untuk selesai menyaksikan Oppenheimer pada 2025 dan menyatakan filem itu adalah musim pertama drama yang panjang, kelihatan kamera stesen televisyen menghala ke arah pengarah filem itu, Christopher Nolan, yang nampak tidak terkesan langsung.


Koy kemudian berkata: “Isy! Bodohnya!”

Situasi lawak ‘tak menjadi’ sebegitu semakin teruk apabila Koy mula membincangkan tentang fenomena ‘Barbenheimer’ atau ‘Barbie’ dan ‘Oppenheimer’, dua filem paling fenomena pada 2023.


Oppenheimer dan Barbie kini bersaing bagi pencapaian box-office di layar perak.


“Oppenheimer adalah berdasarkan buku 724 halaman yang memenangi Hadiah Pulitzer tentang Projek Manhattan manakala Barbie adalah berdasarkan boneka plastik dengan buah dada yang besar...”


Jenaka yang disifatkan seksis dan merendahkan martabat wanita itu teruk dikecam penonton yang tidak puas hati.

Seakan-akan tidak mempedulikan kecaman lantang penonton, Koy menyambung kata-katanya tentang Barbie:


“Detik penting dalam perjalanan hidup Barbie ialah apabila dia beralih daripada seseorang dengan kecantikan yang sempurna kepada watak dengan bau nafas yang busuk, selulit dan kaki leper – atau apa yang pengarah pencarian pelakon panggil, ‘pelakon karakter’.”

Mengesan penonton tidak begitu senang dengan gurau sendanya, Koy mula menyalahkan penulis skrip pengacaraannya.

“Ada yang saya tulis, ada pula yang ditulis orang lain. Saya hanya ditawarkan peluang jadi pengacara ini 10 hari lalu! Anda mahukan skrip monolog serba sempurna? Mana boleh? Mana-mana yang anda ketawakan adalah hasil tulisan saya. Yang buat geli-geman hasil pena orang lain!” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >