Pada April 2026, Trafalgar Tours -– jenama di bawah syarikat perjalanan The Travel Corp – akan memperkenalkan pelayaran menyusuri Sungai Danube dan Sungai Rhine di Eropah dalam dua pakej yang baru dilancarkan.
Jadual pelayaran di sungai selama 10 hari itu (dari AS$3,249 atau $4,165) membawa pengunjung menikmati pemandangan sekitar Sungai Rhine dari ibu negara Belanda, Amsterdam, ke Basel, bandar di barat laut Switzerland, yang terkenal untuk gabungan prasarana yang bersejarah dan moden.
Sebagai alternatif, satu lagi pelayaran selama lapan hari ditawarkan (dari AS$2,799) di Sungai Danube, dari ibu negara Hungary, Budapest, ke Passau, sebuah bandar Jerman di sempadan Austria.
Kapal itu akan melalui ibu negara Slovakia, Bratislava, serta ibu negara Austria, Vienna, dan tapak Warisan Dunia Unesco, Wachau Valley, yang terkenal dengan ladang anggurnya yang subur di pergunungan.
Pengembaraan tersebut akan dilaksanakan menerusi dua kapal – Trafalgar Reverie dan Trafalgar Verity – setiap daripadanya dapat menampung 128 orang.
Pelayaran sulung Trafalgar Tours akan berlangsung pada 11 April 2026.
Ketua eksekutif Asia syarikat tersebut, Encik Nick Lim, berkata produk pelayaran sungai itu muncul sedang lebih ramai pengunjung mendakap perjalanan lebih santai, lapor akhbar The Straits Times.
Beliau menambah bahawa jenama itu terdorong oleh pertumbuhan Uniworld Boutique River Cruises – jenama kaitan – yang menyaksikan tempahan meningkat tiga kali ganda dari Jun 2022 hingga Mei 2025.
Trafalgar Reverie dan Trafalgar Verity masing-masing akan mempunyai 64 kabin merentas tujuh kategori, daripada bilik kabin Klasik seluas 14 meter persegi hingga ke Suite Riverview seluas 20 meter persegi yang terbesar.
Harga termasuk penginapan hotel sebelum keberangkatan, makanan dan minuman, hiburan dalam kapal dan akses kepada bilik permainan, gim, antara lain.
Kegiatan seperti lawatan bersiar-siar melalui jalan bersejarah, lawatan berpandu ke tarikan pelancong dan kunjungan ke perniagaan tempatan juga akan ditawar.
Lawatan pilihan ke tarikan seperti Istana Heidelberg di Jerman atau Jewish Quarter di Budapest boleh ditempah dengan bayaran tambahan.
Pelibatan yang bermakna dengan masyarakat tempatan juga diselit dalam jadual perjalanan pelayaran.
Sebagai contoh, perjalanan akan merangkumi interaksi bersama pertubuhan bukan mengaup keuntungan dan kegiatan yang memanfaatkan perniagaan milik keluarga tempatan.
Lawatan juga akan menyelami peristiwa penting dari segi sejarah dan budaya supaya pelancong lebih menghargai destinasi tersebut.
Di Bratislava, misalnya, pengunjung akan belajar tentang sejarah Perang Dingin dalam lawatan ke tapak utama era komunis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg