Pelayaran magis, menyeronokkan kapal Disney Adventure

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelayaran magis, menyeronokkan kapal Disney Adventure

Alami pecutan adrenalin ‘roller coaster’, nikmati persembahan ala Broadway, bertemu karakter Disney dan hayati pertunjukan bunga api di tengah laut
Mar 10, 2026 | 2:47 PM

Pelayaran magis, menyeronokkan kapal Disney Adventure

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penulis, Encik Hisyam Abdul Rahman berkunjung ke Enchanted Zone di dalam Disney Adventure.
Penulis, Encik Hisyam Abdul Rahman berkunjung ke Enchanted Zone di dalam Disney Adventure. - Foto PEARLYN HOON

Bagi ramai orang, Disney adalah intipati memori yang membentuk zaman kanak-kanak kita.

Dari magis animasi klasik di skrin, hinggalah ke taman tema yang menjemput kita melangkah ke dunia fantasi, setiap kisah yang disaksikan seakan hidup dan menjadi nyata.

Setelah menikmati taman tema Disney di Tokyo, Jepun, dan Paris, Perancis, saya menyaksikan sendiri bagaimana jenama ini menjadikan penceritaan sebagai pengalaman yang benar-benar mendalam untuk semua peringkat usia.

Kini, keajaiban itu berlayar ke Asia bersama Disney Adventure, kapal terbaru dan terbesar dalam rangkaian Disney Cruise Line.

Debar gembira masih terasa apabila saya diberi peluang menyertai pelayaran sulung Disney dari Singapura pada 4 Mac lalu.

Akhirnya, impian jadi kenyataan!

Kapal yang mampu menampung sehingga 6,700 penumpang itu akan berlabuh di Singapura sebagai pangkalan utama selama lima tahun akan datang, membawakan gabungan hiburan, penceritaan dan layanan istimewa Disney kepada pelancong di seluruh Asia.

Dibahagikan kepada dek-dek, kapal ini menampilkan tujuh zon bertema yang diinspirasikan daripada kisah-kisah Disney kegemaran ramai.

Dalam pelayaran previu media selama lima hari empat malam sebelum pelayaran rasmi pada 10 Mac, saya berpeluang meneroka setiap ruang dan mencuba pelbagai aktiviti di seluruh kapal.

Saya menginap di bilik ‘Deluxe Garden View Stateroom’ dengan beranda, yang boleh memuatkan sehingga empat tetamu.

Bilik ‘Deluxe Garden View Stateroom’ bersama beranda.
Bilik ‘Deluxe Garden View Stateroom’ bersama beranda. - Foto DISNEY CRUISE LINE

Walaupun ruangnya mungkin terasa agak sempit untuk empat orang, pengurusan ruangnya sangat cekap.

Setiap pagi, kakitangan kapal akan menukar katil sofa kembali kepada sofa, dan menyediakannya semula sebagai katil selepas waktu makan malam.

Balkoni bilik saya menghadap ke arah taman Enchanted Garden dengan istana Disney kelihatan di sebelah kiri.

Kedudukannya yang berhampiran dengan pentas taman sekali-sekala membolehkan bunyi persembahan didengari dari dalam bilik.

Walaupun tidak mengganggu saya, ia mungkin mengejutkan mereka yang tidurnya mudah terganggu.

Di luar kapal, macam-macam kegiatan ditawarkan, anda pasti tidak akan bosan.

Namun, di antara semua yang ditawarkan, berikut adalah pengalaman paling menarik buat saya.

Berlumba di ‘roller coaster’ mendebarkan di Marvel Landing

Ironcycle Test Run di Marvel Landing, ‘roller coaster’ pertama dan terpanjang Disney Cruise Line di laut.
Ironcycle Test Run di Marvel Landing, ‘roller coaster’ pertama dan terpanjang Disney Cruise Line di laut. - Foto DISNEY CRUISE LINE

Terletak di dek paling atas, Ironcycle Test Run di Marvel Landing merupakan ‘roller coaster’ pertama dan terpanjang Disney Cruise Line di laut.

Penumpang menunggang motosikal merah futuristik — sebagai rujukan kepada karakter Iron Man daripada Marvel — dengan seorang menjadi pemandu dan seorang menjadi pembonceng.

Selepas pusingan pertama pada kelajuan santai, pemandu boleh menambah kelajuan pada pusingan kedua, membawa ‘roller coaster’ meluncur melalui selekoh tajam dan turun naik ditemani pemandangan kapal serta lautan terbuka di sekelilingnya.

Saya bangga untuk katakan yang saya dapat tahan diri daripada melepaskan jeritan, walaupun genggaman erat pada pemegang motosikal itu seolah-olah menceritakan kisah yang berbeza.

Permainan ini terbuka kepada tetamu dengan ketinggian sekurang-kurangnya 120 sentimeter (cm) (maksimum 195cm), manakala kanak-kanak di bawah tujuh tahun mesti ditemani tetamu berusia sekurang-kurangnya 14 tahun.

Zon Marvel Landing turut menampilkan permainan mesra keluarga seperti Pym Quantum Racers, sebuah permainan kereta langgar atau ‘bumper car’, serta Groot Galaxy Spin, permainan kapal angkasa yang berputar.

Meluncur turun gelongsor air di Toy Story Place

Toy Story Place di Disney Adventure menampilkan pelbagai tarikan bertema Toy Story, antaranya kawasan permainan air Flying Saucer Splash Zone serta gelongsor Woody and Jessie’s Wild Slides.
Toy Story Place di Disney Adventure menampilkan pelbagai tarikan bertema Toy Story, antaranya kawasan permainan air Flying Saucer Splash Zone serta gelongsor Woody and Jessie’s Wild Slides. - Foto DISNEY CRUISE LINE

Terletak di Toy Story Place ialah sebuah taman air bertema Toy Story yang berwarna-warni dan tentu sekali sukar untuk anda terlepas pandang.

Woody and Jessie’s Wild Slides antara tarikan air paling mengujakan di atas kapal untuk tetamu pelbagai usia.

Dek yang ceria ini dihiasi dengan patung bersaiz besar karakter Toy Story, manakala skrin berdekatan kadangkala menayangkan filem Disney.

Terdapat juga gerai makanan ringan yang menyediakan hidangan ringkas seperti piza dan aiskrim tekstur lembut atau ‘soft-serve’.

Tetamu boleh memilih antara dua gelongsor silinder, satu berwarna merah dan satu lagi kuning, warna yang mencerminkan identiti Jessie dan Woody.

Gelongsor kuning lebih panjang dengan selekoh tajam yang membawa anda ‘terjun’ masuk ke bahagian bawah.

Ketinggian minimum untuk menaiki gelongsor ialah 120cm.

Lihat lukisan anda hidup di Animator’s Palate / Animator’s Table

Animator’s Palate di Disney Adventure menampilkan ruang makan bertema animasi dengan lakaran karakter Disney menghiasi dinding restoran.
Animator’s Palate di Disney Adventure menampilkan ruang makan bertema animasi dengan lakaran karakter Disney menghiasi dinding restoran. - Foto DISNEY CRUISE LINE

Salah satu daripada tiga pengalaman makan malam unik di atas kapal ini, Animator’s Palate (juga dikenali sebagai Animator’s Table) kekal menjadi detik paling berkesan sepanjang pelayaran.

Jika restoran Navigator’s Club atau Hollywood Spotlight Club menjadi tempat pertemuan bersama Mickey dan rakan-rakannya, restoran ini pula menyajikan pengalaman interaktif yang menawan dalam penceritaan Disney.

Di sepanjang dinding, skrin berbingkai memaparkan lakaran karakter Disney — daripada klasik lama hingga kegemaran baru — yang mengundang teka-teki sambil tetamu menikmati hidangan.

Pada awal santapan, tetamu diminta melakar karakter rekaan sendiri pada templat dan menyerahkannya kepada pelayan, tanpa mengetahui kejutan yang menanti.

Lukisan karakter oleh penulis di Animator’s Palate, yang kemudian dianimasikan dan dipaparkan pada skrin restoran.
Lukisan karakter oleh penulis di Animator’s Palate, yang kemudian dianimasikan dan dipaparkan pada skrin restoran. - Foto HISYAM ABDUL RAHMAN

Ketika jamuan mula dihidangkan, skrin tiba-tiba menyala dan lukisan-lukisan tersebut muncul di skrin, menari dalam satu animasi ceria lengkap dengan kredit akhir yang memaparkan nama setiap tetamu.

Ia membuatkan saya terfikir sejenak: adakah ini bermakna saya sudah bersedia membuat debut sebagai seorang artis?

Memburu barangan eksklusif di seluruh kapal

Koleksi patung dan barangan Duffy & Friends dipamerkan di Duffy and Friends Shop di atas kapal Disney Adventure.
Koleksi patung dan barangan Duffy & Friends dipamerkan di Duffy and Friends Shop di atas kapal Disney Adventure. - Foto DISNEY CRUISE LINE

Dengan kedai runcit yang bertaburan di seluruh kapal, mencari cenderamata terasa seperti satu pemburuan harta karun.

Marvel Style Studio menampilkan pelbagai barangan bertema adiwira seperti Captain America dan Iron Man, manakala peminat Duffy & Friends boleh mendapatkan patung beruang Disney tersebut bersama rakan-rakannya dalam koleksi pakaian bertema pelayaran — kemunculan pertama mereka di kapal Disney Cruise Line.

Jenama National Geographic juga membuat debut pelayaran dengan koleksi pakaian dan aksesori luar yang dihasilkan bersama Disney.

Perhatikan juga restoran dan gerai makanan: sesetengah minuman datang bersama cenderamata menarik, seperti straw Tinker Bell yang dipadukan dengan mocktail bertema debu pari-pari atau pixie dust yang saya cuba.

Straw bertema Tinker Bell yang disertakan bersama minuman mocktail, antara cenderamata unik di atas kapal Disney Adventure.
Straw bertema Tinker Bell yang disertakan bersama minuman mocktail, antara cenderamata unik di atas kapal Disney Adventure. - Foto HISYAM ABDUL RAHMAN

Di Alley Cat Café di San Fransokyo Street pula, botol berbentuk Baymax daripada Big Hero 6 menjadi satu lagi koleksi comel untuk dibawa pulang.

Kumpul skor arked tertinggi di San Fransokyo Street

Permainan lantai interaktif, Hiro Training Zone, di Big Hero Arcade mengesan pergerakan pemain, menjadikan pengalaman permainan lebih imersif untuk tetamu pelbagai usia.
Permainan lantai interaktif, Hiro Training Zone, di Big Hero Arcade mengesan pergerakan pemain, menjadikan pengalaman permainan lebih imersif untuk tetamu pelbagai usia. - Foto DISNEY CRUISE LINE

Melangkah ke San Fransokyo Street terasa seperti berjalan di pasar malam futuristik yang diinspirasikan oleh Big Hero 6.

Papan tanda neon menyala di atas kedai berlampu tanglung, manakala kiosk bertema mencipta semula gabungan bandar San Francisco dan Tokyo.

Di dalam zon ini terletaknya Big Hero Arcade, tempat tetamu boleh bermain permainan arked klasik atau permainan interaktif moden secara solo atau bersama rakan.

Mudah dipelajari tetapi mencabar untuk dikuasai, inilah jenis permainan yang membuatkan sesiapa sahaja lupa waktu demi memecahkan rekod skor tertinggi.

Saksikan persembahan hebat di seluruh kapal

Produksi muzikal ‘Remember’ di Walt Disney Theatre mengikuti kisah menyentuh hati WALL-E dan EVE, sambil menghimpunkan puteri serta karakter-karakter daripada filem Disney dan Pixar.
Produksi muzikal ‘Remember’ di Walt Disney Theatre mengikuti kisah menyentuh hati WALL-E dan EVE, sambil menghimpunkan puteri serta karakter-karakter daripada filem Disney dan Pixar. - Foto DISNEY CRUISE LINE

Sepanjang hari di atas Disney Adventure, ada saja hiburan yang menanti — sama ada anda ingin bersantai menonton teater atau berhibur di bawah langit terbuka.

Di Walt Disney Theatre, dua produksi utama — Disney Seas the Adventure dan Remember — menggabungkan karakter Disney dan Pixar dalam persembahan muzik berskala besar dengan platform pentas bergerak, aksi udara serta skrin LED proscenium yang memperluaskan penceritaan di luar pentas.

Butiran halus inilah yang menghidupkan magis persembahan: bayangkan buih-buih bak salju berguguran dari siling saat Elsa mendendangkan lagu, serta pertukaran kostum sepantas kilat yang mengubah pelakon menjadi puteri Disney dalam sekelip mata.

Buih seperti salji menghujani penonton semasa persembahan lagu oleh Elsa daripada Frozen dalam produksi teater ‘Remember’ di Walt Disney Theatre.
Buih seperti salji menghujani penonton semasa persembahan lagu oleh Elsa daripada Frozen dalam produksi teater ‘Remember’ di Walt Disney Theatre. - Foto DISNEY CRUISE LINE

Detik itu benar-benar membuatkan penonton, termasuk saya sendiri, terpaku kagum.

Di Garden Stage, persembahan seperti Avengers Assemble menampilkan karakter Marvel daripada Spider-Man hingga Scarlet Witch dan Deadpool.

Pastikan anda tunggu sehingga ke penghujung untuk melihat aksi Deadpool menari dengan lagu Backstreet Boys.

Ia merupakan satu rujukan jenaka yang cukup menghiburkan buat peminat filem Deadpool & Wolverine.

Di Wayfinder Bay, sebuah amfiteater terbuka dengan tempat duduk bertingkat mengelilingi pentas kolam, persembahan Moana: Call of the Sea dipentaskan dengan penuh gemilang.

Kisah Moana dihidupkan melalui aksi pelakon yang bergerak di dalam air sambil menceritakan perjalanan keberanian dan penemuan diri.

Beramah mesra dengan karakter Disney kegemaran anda

Penulis, Encik Hisyam Abdul Rahman, berpeluang bertemu dan memeluk Baymax daripada filem Big Hero 6 semasa sesi bertemu karakter di atas kapal.
Penulis, Encik Hisyam Abdul Rahman, berpeluang bertemu dan memeluk Baymax daripada filem Big Hero 6 semasa sesi bertemu karakter di atas kapal. - Foto PEARLYN HOON

Bertemu dan bergambar dengan karakter Disney merupakan sebahagian daripada satu keajaiban yang nyata buat peminat setia seperti saya.

Ada sesi yang terbuka untuk semua tetamu, manakala yang lain memerlukan tempahan awal melalui aplikasi Disney Cruise Line Navigator.

Saya sempat bertemu dengan Snow White, Spider-Man, dan Baymax.

Malah, berpeluang memeluk Baymax erat — persis adegan ikonik antaranya dan Hiro dalam Big Hero 6, satu kenangan terpahat atau ‘core memory’ buat peminat tegar seperti saya.

Pelukannya benar-benar selembut dan segebu dalam filem!

Sambil meneroka kapal, saya juga terserempak dengan Ariel, Stitch, serta kumpulan Duffy & Friends yang menceriakan suasana.

Suasana di restoran Navigator’s Club dan Hollywood Spotlight Club bertambah meriah apabila Mickey dan rakan-rakannya muncul dengan persembahan ringkas.

Mereka kemudiannya akan berjalan mengelilingi ruang makan untuk melambati kepada para tetamu, jadi pastikan kamera anda sentiasa dalam keadaan sedia untuk merakam detik istimewa ini!

Saksikan bunga api di tengah laut

Pertunjukan bunga api The Lion King: Celebration in the Sky menerangi langit dari dek atas kapal.
Pertunjukan bunga api The Lion King: Celebration in the Sky menerangi langit dari dek atas kapal. - Foto PEARLYN HOON

Sebagai satu-satunya syarikat pelayaran yang menawarkan bunga api di laut, Disney Cruise Line menerangi langit malam dengan The Lion King: Celebration in the Sky.

Tetamu biasanya mula berkumpul di dek terbuka seawal mungkin selepas pengumuman dibuat melalui aplikasi Navigator.

Diiringi lagu-lagu terkenal seperti Circle of Life dan Can You Feel the Love Tonight, pertunjukan ini disampaikan oleh lantunan suara bintang Bollywood Shah Rukh Khan, yang membawa penonton menyusuri persembahan ketika bunga api berwarna-warni meledak tinggi di langit.

Setelah beberapa kali mengunjungi taman tema Disney, saya sering menganggap pertunjukan bunga api sebagai penutup yang paling sempurna.

Walaupun kali ini saya berada di tengah lautan luas, pancaran cahaya di langit itu tetap membawa keajaiban dan rasa magis yang serupa, malah terasa lebih istimewa.

Tempahan untuk pelayaran sehingga Ogos 2027 kini dibuka, dengan harga bermula daripada $1,236 bagi pelayaran tiga malam dan $1,608 bagi pelayaran empat malam bagi seorang.

Tempahan boleh dibuat melalui disneycruise.disney.go.com.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg