Kapal Disney Adventure berlabuh di S’pura, pertama di Asia
Kapal Disney Adventure berlabuh di S’pura, pertama di Asia
Kapal terbesar dalam rangkaian Disney Cruise Line ini dirasmikan pelakon Robert Downey Jr. dan akan beroperasi sepanjang tahun dari Singapura
Jika selama ini peminat Disney dari Singapura terpaksa menempuh penerbangan jarak jauh semata-mata untuk menikmati tarikannya, sama ada taman tema di Hong Kong mahupun kapal pelayaran yang berlepas dari negara lain, kini segalanya berubah.
Penduduk di Singapura mempunyai pilihan yang jauh lebih dekat, dengan ketibaan Disney Adventure, kapal pelesiran di bawah Disney Cruise Line, yang mula berlabuh di Singapura pada 3 Mac.
Ketibaan ini menandakan kali pertama jenama ternama tersebut menembusi pasaran Asia.
Kapal pelesiran tersebut telah dirasmikan pada 4 Mac di Pusat Kapal Persiaran Marina Bay Singapura (MBCCS), dalam satu majlis yang dihadiri pelakon Robert Downey Jr. Beliau dilantik sebagai penaung rasmi atau ‘godparent’ kapal Disney Adventure.
Downey, yang lakonannya sebagai Iron Man menjadi tonggak kepada Marvel Cinematic Universe – francais filem yang kini mengaup kutipan tertinggi sepanjang zaman – dijangka kembali ke layar perak sebagai Doctor Doom.
Pengerusi Disney Experiences serta bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Walt Disney Company, Encik Josh D’Amaro, menyertai Presiden Disney Signature Experiences, Encik Joe Schott, di pentas majlis perasmian tersebut.
“Sebagai kapal pertama kami yang berpangkalan di Asia, Disney Adventure menandakan bab baru bagi Disney Cruise Line dan akan memperkenalkan Disney kepada penonton yang mungkin mengalami keajaiban kami buat pertama kali.
“Ia memberi peluang kepada peminat di rantau ini untuk menyelami pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan mencipta kenangan yang benar-benar unik kepada Disney,” kata Encik D’Amaro.
Kapal Disney Adventure akan memulakan pelayaran sulungnya dari Singapura pada 10 Mac, hasil kerjasama antara Disney Cruise Line dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Pelayaran yang asalnya dijadualkan pada 15 Disember telah ditangguhkan ekoran kelewatan pembinaan kapal, kata Encik Schott dalam laporan terdahulu.
Menurut kenyataan Disney Cruise Line, pemilihan Singapura sebagai pangkalan operasi bagi tempoh lima tahun dilihat sebagai strategik dalam usaha merangsang permintaan percutian yang menggabungkan penerbangan serta pelayaran.
Langkah ini turut mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab pelayaran utama Asia Pasifik, disokong oleh rangkaian penerbangan luas termasuk penerbangan langsung dari lebih 160 bandar di seluruh dunia.
Berbeza daripada pelayaran tradisional yang singgah di beberapa pelabuhan, Disney Adventure tidak akan berlabuh di destinasi luar negara.
Sebaliknya, kapal ini akan belayar ke Laut China Selatan sebelum kembali ke Singapura, menjadikan kapal itu sebagai tumpuan utama pengalaman.
Direka untuk menampung sehingga 6,700 penumpang, Disney Adventure merupakan kapal terbesar dalam rangkaian Disney Cruise Line dan menjadi kapal kelapan syarikat itu, seiring dengan rancangan Disney Experiences memperluaskan rangkaiannya kepada 13 kapal menjelang 2031.
Tujuh zon bertema mempersembahkan kisah daripada Disney, Marvel dan Pixar dalam ruang imersif yang bersifat santai dan dramatik.
Misalnya, ‘Toy Story Place’, diilhamkan daripada francais Pixar, menawarkan permainan air untuk keluarga.
Di dek atas pula, Marvel Landing menampilkan ‘Ironcycle Test Run’ – roller coaster pertama dalam sejarah Disney Cruise Line dan juga yang terpanjang di laut, sepanjang 250 meter.
Selain itu, tetamu boleh menikmati persembahan ala Broadway berlangsung di teater tertutup, pesta dek yang berlanjutan hingga malam dan menyaksikan bunga api menerangi langit.
Antara tarikan utama ialah penghormatan istimewa kepada ‘The Lion King’, yang dinarasikan oleh pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan.
Tetamu turut berpeluang bertemu pelbagai watak Disney, daripada puteri hingga adiwira Marvel serta Mickey Mouse.
Program yang ditawarkan sesuai buat semua peringkat usia.
Kanak-kanak dan remaja mempunyai akses kepada kelab yang dibahagikan mengikut kumpulan umur tiga hingga 10 tahun, 11 hingga 14 tahun dan 14 hingga 17 tahun, manakala bayi sekecil enam bulan boleh ditempatkan dalam nurseri yang diawasi kaunselor terlatih.
Tetamu dewasa pula disediakan ruang yang lebih tenang – menjamu selera dalam suasana intim, restoran khas dewasa, rawatan spa dan salon serta kemudahan kecergasan yang sesuai untuk pelayaran yang lebih panjang.
Pelayaran ini akan beroperasi sepanjang tahun, menawarkan jadual perjalanan tiga malam setiap Isnin dan empat malam setiap Khamis.
Berdasarkan tinjauan Berita Harian (BH) hingga 5 Mac, pelayaran sulung tiga malam dari 10 hingga 13 Mac 2026 masih dibuka untuk tempahan.
Contohnya, harga bermula daripada $3,543 bagi tiga tetamu ($1,181 seorang), dan berubah bergantung pada jumlah pelanggan serta kategori kabin.
Tempahan kini dibuka bagi pelayaran sehingga Ogos 2027 menerusi laman Disney Cruise Line di disneycruise.disney.go.com.

