Bayangkan anak anda teruja melihat buih berwarna-warni dihasilkan, sambil belajar bagaimana warna terbentuk dan tindak balas kimia berlaku.

Itulah pengalaman unik yang ditawarkan bengkel, Magic Bubble Science Lab, hasil kerjasama antara Muzium Aiskrim dengan pertubuhan pendidikan, Curiosity Kids.

Direka khas untuk kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun, bengkel 30 minit itu menggabungkan unsur sains, kreativiti dan pembelajaran berasaskan permainan.

Kanak-kanak, yang berpeluang menjadi ‘saintis cilik’, akan menjalankan eksperimen mudah untuk memahami bagaimana buih terbentuk, warna dihasilkan, dan tindak balas kimia berlaku.

Setiap sesi dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman daripada Curiosity Kids, pertubuhan pendidikan yang menggunakan pendekatan interaktif untuk memperkenalkan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) kepada kanak-kanak.

Semua kelengkapan seperti bahan eksperimen, kot makmal dan gogal keselamatan disediakan.

Bengkel itu diadakan setiap Rabu, Khamis dan Jumaat sepanjang Mei.

Ibu bapa boleh memilih daripada tiga sesi yang ditawarkan setiap hari iaitu pada 3, 4 atau 5 petang.

Untuk menyertai bengkel, Magic Bubble Science Lab, peserta boleh memilih pakej $67 yang merangkumi tiket masuk ke muzium dan bengkel.

Ia bermakna, selepas mengikuti bengkel, kanak-kanak boleh terus meneroka ruang permainan bertemakan merah jambu yang ikonik di Muzium Aiskrim, dan menikmati aiskrim tanpa had.

Jika ingin sertai bengkel sahaja, tiket berharga $25 untuk bukan ahli muzium, dan $20 untuk ahli.

Tiket boleh didapatkan dalam talian di laman web, tickets.museumoficecream.sg.

Tiket juga boleh dibeli di Muzium Aiskrim di 100 Loewen Road, Dempsey Hill.