Topic followed successfully
Go to BHku10 panduan kunjungi muzium dengan si kecil
10 panduan kunjungi muzium dengan si kecil
10 panduan kunjungi muzium dengan si kecil
Mengunjungi muzium bersama kanak-kanak boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan, asalkan ibu bapa meletakkan jangkaan yang sesuai dan lebih mengutamakan interaksi daripada cuba melihat semua pameran yang ada.
Berikut beberapa panduan untuk membantu lawatan keluarga anda ke muzium berjalan lancar.
Ingatkan apa yang boleh, tidak boleh dilakukan
Sebelum mula menerokai muzium, ingatkan si kecil untuk sentiasa bercakap dengan suara yang perlahan dan berjalan dengan tenang di dalam galeri.
Ingatkan mereka juga untuk berjaga-jaga dengan apa yang mereka sentuh, serta makan dan minum di luar galeri.
Sesuaikan jangkaan anda
Bersikap realistik tentang apakah yang akan anda dapat lihat di muzium nanti.
Di muzium Taman Warisan Melayu contohnya, jika anda ingin meneliti setiap huruf dalam penulisan Rejang atau Lontara di ruang Aksara-Aksara Nusantara, atau cuba membaca ukiran Jawi di permukaan Kotak Ke Laut, mungkin ini bukan masanya.
Lebih baik datang semula pada hari lain tanpa anak-anak.
Beri tumpuan pada satu bahagian
Anda tidak perlu melihat semua pameran dan semua artifak, terutama jika muzium itu besar.
Pilih satu kawasan untuk luangkan masa dengan lebih bermakna, daripada tergesa-gesa menjelajah seluruh muzium.
Biarkan anak teraju kunjungan
Seronok melihat muzium melalui sudut pandangan si kecil sedang mereka memilih perkara yang mereka minati.
Anda juga boleh memberi cadangan.
Luangkan sedikit masa melayari laman web muzium terlebih dahulu untuk mengenal pasti beberapa pameran yang menarik.
Pertimbangkan waktu lawatan
Datang pada waktu yang paling sesuai dengan rutin keluarga.
Waktu pagi biasanya lebih tenang, dan kanak-kanak selalunya lebih fokus serta bertenaga.
Namun, jika anak-anak lebih cergas selepas makan dan tidur tengah hari, pilihlah waktu itu.
Pastikan anak-anak kenyang
Panduan ini nampak remeh, tetapi waktu makan perlu diambil kira.
Tiada yang lebih mencabar daripada anak kecil yang lapar dan meragam.
Kebanyakan muzium tidak membenarkan pengunjung makan atau minum di dalam, tetapi anda boleh membawa air dan snek sebagai langkah bersiap sedia.
Kenal pasti lokasi tandas
Setibanya di muzium, cari lokasi tandas supaya mudah ke sana apabila diperlukan.
Usah bawa terlalu banyak barang agar mudah bergerak.
Periksa terlebih dahulu sama ada kereta sorong bayi boleh dibawa masuk ke dalam muzium atau tidak.
Libatkan si kecil dengan apa yang dilihat
Cipta permainan atau cabaran kecil seperti menamakan, mencari atau mengira objek tertentu.
Permainan ‘Saya lihat…’, atau I Spy, antara yang disukai si kecil.
Untuk kanak-kanak yang lebih besar, ajukan soalan untuk memulakan perbincangan, contohnya:
“Apakah agaknya yang orang dalam gambar ini sedang katakan?”
Jika mereka suka melukis, bawa buku lakaran dan pensel supaya mereka boleh merakam apa yang dilihat.
Jangan habiskan waktu terlalu lama
Apabila anak-anak sudah penat, hentikan sahaja lawatan itu.
Memaksa mereka untuk teruskan hanya akan berakhir dengan tangisan.
Anda boleh datang lagi pada lain masa.
Jika lawatan berakhir sebelum anak-anak meragam, pengalaman itu akan lebih menggembirakan dan membuat mereka ingin kembali.
Bersedia untuk datang lagi
Ada muzium yang anda lawati sekali sahaja dan ada yang akan dikunjungi berulang kali, kerana anak anda mahu melihat objek kegemaran seperti congkak atau gong.
