Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang kedua buat Ben Nathan selepas 25 tahun menyepi

May 23, 2024 | 5:30 AM
Ben Nathan (dua dari kanan) berterima kasih kepada DJ Dave (kanan) yang banyak membantunya untuk bangkit semula daripada kepayahan hidup hingga menghasilkan single baru. 
Ben Nathan (dua dari kanan) berterima kasih kepada DJ Dave (kanan) yang banyak membantunya untuk bangkit semula daripada kepayahan hidup hingga menghasilkan single baru.  - Foto INSTAGRAM DJ DAVE

Selepas 25 tahun hilang daripada radar industri hiburan tanah air, penyanyi popular era 1980-an, Ben Nathan membuat kemunculan semula dengan single baru berjudul Kebahagiaanmu.

Ben yang meraih populariti menerusi lagu, Stanza Sepi Sekeping Hati, bersyukur dapat kembali dalam bidang nyanyian selepas berdepan kepayahan hidup dan pernah menjadi gelandangan selama enam tahun.

Ben berterima kasih kepada rakan seperjuangan yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave kerana membuka jalan kembali menonjolkan bakat.

“Saya suka dengan lagu Kebahagiaanmu dan terima kasih kepada DJ Dave yang menjadi penerbit. Saya sayang dia (DJ Dave) sebab sangat baik melayan saya.

Penyanyi kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang, itu memberitahu, beliau masih rasakan ada ‘roh’ penyanyi dalam dirinya dan akan terus berusaha menghiburkan peminat yang masih dahagakan lontaran vokalnya.

“Saya ini ‘star’ (bintang), ada peminat. Seronok dapat nyanyi lagu dan saya memang rindu sangat nak menyanyi,” kata Ben yang ketika ini berdepan kesukaran untuk bertutur dengan lancar.

Berbicara kehidupan penyanyi yang memulakan kerjaya sejak 1986 itu, adik bongsunya dikenali Bob, 49 tahun, berkata abangnya kini menghuni di sebuah rumah penjagaan di Petaling Jaya, Selangor.

“Ketika ini, saya yang menjaga abang. Kesihatan abang sekarang dalam keadaan stabil, walaupun masih perlu mengambil ubat-ubatan tertentu termasuk dibawa berjumpa doktor pakar sebulan sekali untuk pemantauan.

“Setakat ini, syukur, Ben baik-baik sahaja dan kami sekeluarga juga tidak pernah meninggalkan atau mengabaikan Ben selama ini.

“Walaupun ada cakap-cakap kurang baik di luar sana yang mendakwa keluarga abaikan Ben, itu sama sekali tidak berlaku dan tidak benar,” katanya.

Bob berkata kemunculan semula Ben dengan single, Kebahagiaanmu, menjadi pengubat rindu kepada peminat yang sudah lama menanti.

“Saya harap Ben berjaya bangkit semula dengan single, Kebahagiaanmu, dan bersemangat dalam berkarya. Saya akan terus membuat perancangan untuknya merakamkan single kedua, tidak lama lagi.

“Saya yakin abang akan kembali berjaya mengatur kehidupannya dengan sokongan dan kasih sayang daripada kami sebagai ahli keluarga. Begitu juga ibu yang selalu mendoakan Ben berjaya,” katanya.

Ben merakamkan single, Kebahagiaanmu, pada 2023, dengan dana Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana) bernilai RM20,000 ($5,745).

Sejak mula terbabit dalam bidang muzik, Ben sudah merakamkan beberapa album. Antaranya ialah Stanza Sepi Sekeping Hati pada 1986, Ilusi Satu Penantian (1987) dan Ucapan Tak Seindah Sayang (1989).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg