Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Peluang mengacara ‘Manja’, jayakan drama Inggeris dorong Iskandar Shah betah di S’pura

Jun 04, 2023 | 02:43 PM



REZEKI memang tidak pernah salah alamat.

Pelakon setempat Iskandar Shah mungkin belum berkesempatan menebarkan sayapnya untuk ke seberang Tambak meskipun wujud rundingan awal dengan pihak Astro.

Hasratnya ingin mengembara ke luar negara sebagai pengacara Swap Kerja juga tidak kesampaian kerana sekatan pandemik disusuli dengan penutupan syarikat penerbitan yang menghasilkan program tersebut yang memberi individu di Singapura peluang mencuba kerjaya lain di luar negara.


Sungguhpun begitu, Iskandar yang dicungkil bakatnya menerusi Anugerah Skrin bersyukur dengan keputusan untuk betah di Singapura, tawaran baginya mencuba bidang pengacaraan secara ‘live’ iaitu menerusi program Manja terbuka.


Beliau juga terlibat dalam drama Inggeris, Sunny Side Up, yang turut dibintangi Najip Ali dan Siti Hajar.


Iskandar juga dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Siri Drama) dalam Pesta Perdana 2023. Pencalonannya adalah bagi watak dalam drama Anak Metropolitan 4.0.


“Saya menjalani uji bakat bagi Manja untuk kali ketiga. Sebelum ini, mungkin pihak penerbitan menemui mereka yang lebih layak menerajui program ini.

“Saya sebenarnya tidak jangka percubaan kali ketiga ini berhasil. Bakat pengacaraan dalam kalangan lelaki pun tidak ramai. Saya beritahu diri saya, kalau kali ini pun saya gagal, memang bidang pengacaraan bukan untuk saya.

“Saya memang kuat berceloteh. Bagi saya, inilah masanya saya ke depan dan pertingkatkan diri saya untuk cuba sesuatu benda baru. Begitulah rezeki. Kalau bukan milik kita, cubalah beribu kali...ia takkan menjadi. Tapi semua memang sudah diatur untuk saya galas amanah sebagai pengacare Manja (Musim Kelapan),” jelasnya.


Sebagai muka baru dalam Manja, Iskandar enggan terikut-ikut atau meniru cara pengacara lama program itu kerana yakin perlu membina gayanya sendiri.


“Orang kalau tak kenal saya mungkin anggap muka saya ni macam selalu kelihatan banyak fikiran. Serius dan fokus. Jadi orang nak tegur, tak jadi. Tapi kalau mereka sudah mengenali saya, mereka akan tahu saya ni sampai esok pun tak habis kalau dah rancak bersembang,” katanya seraya tertawa.

Iskandar menganggap dirinya sebagai pengkritik paling hebat untuk prestasi kerjanya sendiri. Kerana ingin pastikan penampilannya dalam Manja bukan main-main, beliau sanggup mengorbankan tempoh berjalan Raya pada Lebaran lalu untuk berlatih dari 12 malam sampai 4.30 pagi di taman permainan berhampiran rumahnya.


“Rumah saya sedang menjalani ubah elok buat masa ini. Saya keluar beraya dan langsung tidak lengah-lengah. Saya pulang awal, bawa kertas berpelekat dan tampalkan pada tiang seakan-akan ia merupakan arah bagi empat kamera di studio. Dari situ, saya lakukan simulasi seakan-akan saya berada dalam ‘mode’ mengacara.

“Saya tidak mampu malukan diri saya dalam program ‘live’. Tujuan saya buat persiapan begitu adalah untuk pastikan saya dapat perbaiki cara penyampaian saya dan lihat peningkatan dalam prestasi kerja. Alhamdulillah antara minggu pertama dan kedua, saya lihat peningkatan.. Tak banyak pun tak mengapa. Lima hingga 10 peratus, perlahan-lahan,” jelasnya lagi.

Mengenai peranannya dalam Sunny Side Up, Iskandar diberi watak adik kepada Yuslina Yussof. Wataknya adalah pemuda yang mempunyai masalah EQ dan dipengaruhi kawan-kawan yang bermasalah dan suka buat kacau.


“Saya perlu menyesuaikan diri dengan pertuturan bahasa Inggeris yang lebih formal. Segalanya berjalan pantas dan saya dikelilingi pelakon ‘Kelas A’ dari pelbagai kaum.

“Apa yang saya senangi adalah semangat kekeluargaan yang dibina dalam drama ini. Semuanya positif dengan keserasian terbina secara semula jadi.

“Saya betul-betul jadi macam tempoh dalam Anugerah 2016 di mana saya mencari ilmu dan kembali belajar sesuatu yang baru. Saya tanam doa dalam hati untuk tidak putus belajar dalam kerjaya seni saya,” ujarnya lagi.

Mengenai pencalonannya bagi Pesta Perdana, Iskandar rasa terharu kerana walaupun ada kritikan penonton mengenai wataknya itu, pihak pengadil Pesta Perdana melihat sesuatu dalam lakonannya untuk dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang bkan calang-calang.

Saingannya adalah Izatt Yusoff, Norman Ishak, Sani Hussin dan Suzairhe Sumari.

“Watak yang saya bawakan dalam Anak Metropolitan 4.0 adalah yang terjebak dalam perkara yang tak sepatutnya dibuat. Saya pun tergolong dalam budak bawah blok secara realiti. Saya letak jiwa dalam watak saya ini agar nampak realistik.


“Saya bahkan dapat rasakan jiwa watak ini yang kasar apabila diuji dengan bermacam perkara sukar bertubi-tubi,” kongsinya lagi.

Iskandar sudah menerima dua pencalonan bagi Pesta Perdana yang lalu iaitu bagi kategori Pelakon Harapan dan Personaliti Lelaki Popular.

“Walau tak menang, saya dapat lihat peningkatan setiap tahun dalam laluan kerjaya saya. Memang saya belum nampak ada pelakon jadi kaya tetapi sekurang-kurangnya saya nampak laluan kerjaya saya yang sudah masuk lebih enam tahun kini.

“Ada juga rezeki yang dapat saya berikan kepada emak saya untuk beli benda baru dan ubah elok rumah. Inilah berkat kerja keras dalam bidang seni,” katanya lagi.

Harapan Iskandar kini adalah untuk membangun kewujudannya di media sosial juga sebab ini penting bagi seorang anak seni memancing pengikut yang akan memberi sokongan dan kata-kata perangsang buatnya.

“Saya ke Malaysia bersama rakan seni, Sofia Dendroff. Pihak penerbitan di sana ada butiran konkrit mengenai projek Sofia. Untuk saya, keadaan masih samar-samar. Justeru, saya enggan mengambil risiko untuk tinggalkan projek di Singapura untuk ke sana. Alhamdulillah, banyak peluang yang saya masih perolehi di sini,” jelas Iskandar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >