Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemergian ikon pop Sinead O’Connor setelah lima tahun peluk Islam

Jul 27, 2023 | 4:50 PM
DIBELENGGU KEMURUNGAN: Sinead O’Connor hidup dengan kemurungan dan masalah kesejahteraan minda buat tempoh yang lama tetapi menemui penawar dengan memeluk agama Islam lima tahun lalu.
DIBELENGGU KEMURUNGAN: Sinead O’Connor hidup dengan kemurungan dan masalah kesejahteraan minda buat tempoh yang lama tetapi menemui penawar dengan memeluk agama Islam lima tahun lalu. - Foto EPA-EFE

Jiwa laranya yang murung dan keadaannya yang dibelenggu penyakit mental tidak pernah disorok daripada pengetahuan ramai peminatnya serata dunia.

Penyanyi Ireland, Sinead O’Connor, yang cukup ikonik dan dikenali kerana memberi sentuhan segar pada lagu asal Prince, Nothing Compares 2 U, mencari ketenangan dengan memeluk Islam sekitar lima tahun lalu.

Beliau kemudian mengambil nama Islam, Shuhada’ Sadaqat, yang digunakan di Twitter.

Lautan peminatnya di serata dunia, bagaimanapun, dikejutkan dengan berita pemergian O’Connor pada Rabu menerusi kenyataan keluarganya kepada media.

Allahyarhamha berusia 56 tahun. Hingga ke detik ini, tidak dapat dipastikan punca kematiannya.

Pada Januri lalu, ibu empat anak itu kehilangan anak lelakinya yang berusia 17 tahun, Shane, yang membunuh diri.

Dalam ciapan Twitter terakhir O’Connor awal bulan ini, beliau berkongsi fotonya memeluk Shane. Beliau turut menulis:

“Saya kini hidup seperti haiwan malam yang tidak mati... payah untuk saya melelapkan mata saya. Shane adalah cinta hati saya, penerang jiwa saya. Kami adalah satu jiwa yang dicantumkan daripada dua kehidupan berbeza. Shane adalah satu-satunya insan yang mencintai saya tanpa mengharapkan apa-apa. Saya kehilangan tanpa dia di sisi.”

O’Connor memang bersikap terbuka dengan gejolak jiwa dan mindanya.

Baru-baru ini, beliau baru sahaja berkongsi di Facebook bahawa dirinya berpindah ke London semula selepas 23 tahun dan sedang menyiapkan sebuah album untuk diterbitkan tahun depan.

Beliau juga mempunyai rancangan mengadakan konsert jelajah di merata dunia.

Kehidupan buatnya memang penuh dengan kesulitan memandangkan beliau telah mengharungi zaman kanak-kanak yang sukar selepas perpisahan ibu bapanya dan penderaan yang diterimanya daripada sikap garang ibunya.

Walaupun hidup susah sejak kecil, O’connor menemui cinta pada muzik pada awal usianya lantas mudah buatnya mengambil keputusan untuk memburu kerjaya dalam muzik.

Dalam kenyataan keluarganya, mereka dengan penuh kesedihan mengumumkan pemergian O’Connor.

“Keluarga dan teman-temannya sangat bersedih dan meminta privasi pada waktu yang sangat sukar ini,” tambah kenyataan itu.

Nothing Compares 2 U adalah lagu emas yang disenaraikan Anugerah Muzik Billboard sebagai lagu ‘Nombor 1’ di serata dunia pada 1990. O’connor kemudian mengeluarkan 10 album studio yang turut memuatkan lagu hit, Madrinka, The Emperor’s New Clothes, Success Has Made A Failure of Our Home, You Made Me the Thief of Your Heart dan Thank You For Hearing Me.

Dalam satu wawancara awal dengannya, O’Connor berkata pemilihan agama Islam baginya dibuat setelah lama menelaah kitab pelbagai agama dan senang dengan penjelasan dalam Al-Quran.

“Saya pernah membesar dalam Ireland yang sangat berbeza daripada sekarang. Ia merupakan negara yang tertindas, kalau digunakan dalil agama. Saya mengkaji kitab pelbagai agama berbeza dalam mencari kebenaran tentang Tuhan.

“Saya tidak pernah terfikir akan memasuki agama tertentu. Saya biarkan Islam sebagai pilihan terakhir kerana sebelum ini saya pernah mempunyai prejudis tentang Islam. Hanya setelah mula membaca Al-Quran dan meninjau kandungan surah Al-Baqarah, saya menyedari inilah agama tenang buat saya,” katanya.

Semoga ketenangan menjadi milik Allahyarhamha Shuhada’ Sadaqat di alam sana. Al-Fatihah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg