Demi bintang pujaan Bollywood, Shah Rukh Khan, yang sudah lama diminati kerana karismanya, seorang lelaki, Sher Mohammed, sanggup menunggu selama 95 hari di luar rumah pelakon terkenal itu sekitar kawasan perumahan Mannat yang mewah di Bandra, India.
Sher bagaikan tergamam apabila dipelawa bergambar dengan Shah Rukh yang tiba-tiba keluar dari rumahnya sempena ulang tahun beliau yang ke-59 pada 2 November.
Wajahnya mula terpampang di laman peminat Shah Rukh di Instagram, SRKUniverse pada 3 November, dengan kapsyen yang berbunyi:
“Raja Khan bertemu peminat yang sanggup mengembara dari Jharkhand. Beliau telah menanti 95 hari di luar kediaman Shah Rukh di Mannat untuk bertemu idolanya itu!
“Shah Rukh benar-benar membuat impiannya menjadi nyata apabila tampil bergambar.”
Pengawal keselamatan di kediaman Shah Rukh pula kagum melihat Sher saban hari ada di situ dengan kad raksasa yang digunakannya untuk mencoret tanda penghargaan buat Shah Rukh.
Shah Rukh pula mengenakan kemeja-T berwarna kelabu, berkaca mata hitam dan bertopi ‘beanie’ sambil melambai-lambaikan tangannya kepada selautan peminat yang bersama Sher ingin mengucapkan “Selamat Hari Lahir” kepadanya.
Beliau juga sempat merakam swafoto (wefie) bersama peminatnya sambil memotong kek tiga tingkat di pentas yang disediakan untuk berinteraksi dengan peminat sambil diiringi lagu filem dan Happy Birthday.
Setiap tahun, meriah sambutan Hari Lahir Shah Rukh yang dikenali kerana filem ‘pecah panggung’ seperti Jawan, Kuch Kuch Hota Hai dan Dilwale.
Beliau juga diraikan keluarga dan rakan terdekat dalam industri filem Bollywood.
Shah Rukh juga mengambil ulang tahun ke-59 sebagai detik berhenti merokok, tabiat yang sukar dilepaskan sebelum ini.
“Doakan saya. Insya-Allah, akan dipermudahkan niat baik saya berhenti merokok. Tapi saya masih lagi berdepan dengan masalah kelelahan dan kesesakan nafas, sepertimana ketika saya merokok 100 batang rokok sehari.
“Moga masalah ini beransur-ansur luput,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg