Pempengaruh kecantikan dan hos bersama podcast, The Chic Code, Wirda Elliesa (@wirdaelliesa), telah membina pengikut setia dengan membuktikan bahawa kecantikan yang hebat tidak semestinya memerlukan harga yang mahal. 

Menggelar dirinya sebagai ‘Budget Barbie’, beliau membina platformnya dengan berkongsi mengenai barangan kecantikan berpatutan yang boleh memberikan hasil ala gaya mewah.

“Solekan boleh mempertingkatkan ciri-ciri wajah anda, tetapi menjaga kulit memberikan keyakinan semula jadi,” katanya.

Wanita berusia 30 tahun itu berkata minatnya terhadap kandungan kecantikan hadir secara semula jadi.

“Saya memang seorang yang feminin, jadi saya memang gemar berkongsi kandungan berkaitan kecantikan di media sosial saya – dan begitulah bermulanya semua ini,” jelasnya.

Sebagai anggota juri kategori penjagaan kulit bagi Anugerah Kecantikan Her World x Shopee pada 2026, Wirda menilai produk dengan satu soalan mudah di fikirannya: adakah ia benar-benar berkesan?

“Bagi saya, ia tentang hasil yang benar-benar nyata, bukan sekadar mengikut trend.

“Ia juga tentang mutu, dan sama ada sesuatu produk itu layak mendapat tempat kekal dalam rutin harian seseorang,” ujar Wirda.

Menjadi sebahagian daripada anggota panel juri juga merupakan satu pencapaian peribadi buatnya.

“Saya berbesar hati dapat menyertai panel ini, dan saya pasti diri saya yang berusia lapan tahun dahulu pasti amat berbangga dan menganggap saya sangat hebat,” tambahnya.

Ikuti beberapa soalan yang diajukan kepada beliau semasa temu bualnya bersama majalah, Her World.

Soalan (S): Apakah gaya kecantikan istimewa anda? 

Jawapan (J): Saya amat sukakan solekan bergaya glam (glamor) ala Thai! Saya rasa gaya itu benar-benar sesuai dan mempertingkatkan ciri-ciri wajah orang Asia.

(S:) Apakah satu perkara yang anda tidak pernah tolak ansur dalam rutin kecantikan?

(J:) Anda tidak akan jumpa saya keluar rumah tanpa memakai pelindung matahari, Faktor Pelindung Cahaya Matahari (SPF) 50.

(S:) Apakah panduan kecantikan pilihan anda?

(J:) Memandangkan saya kini seorang ibu, petua kecantikan saya ialah bedak asas jenis kusyen. Ia membolehkan saya tampil bergaya dengan pantas, namun tetap kelihatan kemas dan rapi.

(S:) Apakah yang membuatkan anda menekan butang ‘Add to Cart’ (pilih untuk beli)? 

(J:) Apabila sesuatu itu dijual dengan harga yang murah!

(S:) Apakah penemuan kecantikan kegemaran anda daripada Anugerah Kecantikan Her World x Shopee pada 2026? 

(J:) Saya sentiasa menjadi peminat The Ordinary Glycolic Acid 7% Exfoliating Toner.

Ia mempunyai pelbagai manfaat dalam satu botol – anda boleh menggunakannya pada kulit kepala, wajah dan badan. Dan harganya amat berpatutan.

“Solekan boleh mempertingkatkan ciri-ciri wajah anda, tetapi menjaga kulit adalah yang memberikan keyakinan semula jadi.... Bagi saya, ia tentang hasil yang benar-benar nyata, bukan sekadar mengikut trend. Ia juga tentang mutu, dan sama ada sesuatu produk itu layak mendapat tempat kekal dalam rutin harian seseorang.”
Wirda Elliesa.