Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Percutian kecantikan jadi trend dalam kalangan pencinta jagaan kulit

Borong produk kecantikan di luar negara dengan harga lebih murah, berbaloi
Oct 19, 2025 | 5:30 AM
Percutian, Korea Selatan, kecantikan, rawatan
Cik Siti Nurhidah Sariff, atau Cik Idah (depan), bersama dua temannya di sebuah klinik rawatan kecantikan di Korea Selatan semasa bercuti pada Ogos 2024, yang menurut beliau menawarkan lebih banyak jenis rawatan dengan harga yang berpatutan.  - Foto ihsan SITI NURHIDAH SARIFF

Kebiasaannya apabila bercuti, pelancong akan semestinya merancang jadual perjalanan mereka untuk melawat tempat tarikan yang terdapat di sesebuah negara.

Namun kebelakangan ini, terdapat trend yang menyaksikan penggemar produk kecantikan merancang percutian mereka khas untuk ‘memborong’ barangan berkenaan penjagaan kulit.

Selain membeli produk sedemikian untuk kecantikan, pelancong ini juga terbuka untuk melakukan rawatan penjagaan muka yang terdapat di luar negara.

Salah seorang daripada mereka yang melakukan perkara demikian ialah Cik Siti Nurhidah Sariff, atau lebih mesra dipanggil Cik Idah.

Menurutnya, pertama kali beliau membuat percutian sebegini pada Ogos 2024, selepas ‘terjebak’ dengan produk kecantikan, khususnya dari Korea Selatan, melalui siri drama dari negara itu dan juga di media sosial.

“Saya pernah ke Korea Selatan sebelum ini bersama keluarga, tetapi tahun lepas (2024), saya dan dua lagi teman ke sana hanya untuk membeli produk penjagaan kulit dan juga untuk melakukan rawatan muka.

“Saya tertarik dengan barangan yang dipaparkan di media sosial dan juga K-drama kerana ia kelihatan menarik, jadi saya akan ‘selidik’ untuk memastikan sama ada produk itu sesuai dengan kulit muka saya atau tidak,” jelas Cik Idah kepada Berita Minggu (BM).

Antara produk yang dibelinya di sana termasuk pelembap, serum muka, krim mata, losen pelindung matahari dan ‘sheet mask’, yang katanya jauh lebih murah berbanding di Singapura.

Pengurus sumber manusia berusia 45 tahun itu, yang pergi bercuti ke Korea Selatan setiap enam hingga lapan bulan, menambah bahawa beliau biasanya akan ‘memborong’ barangan itu dalam jumlah yang boleh digunakannya selama enam bulan, sebelum membuat lawatan seterusnya.

Salah satu kedai yang digemarinya ialah Olive Young, yang menjual pelbagai jenis barangan kecantikan dan penjagaan kulit dan mempunyai banyak cawangan di seluruh Korea Selatan.

“Saya biasanya akan menginap di kawasan Myeongdong dan di sana sahaja terdapat enam hingga tujuh cawangan, ada yang tiga tingkat.

“Walaupun terdapat banyak cawangan, saya perhatikan pelanggan tidak putus memasuki kedai itu dan barisan (untuk membuat pembayaran) sentiasa panjang!” kata Cik Idah.

Ibu empat anak berusia 10 hingga 20 tahun itu menambah, beliau dan teman-temannya biasanya akan menghabiskan enam hari di sana bagi percutian sebegini. 

Selain membeli-belah untuk barangan kecantikan, mereka juga akan melakukan rawatan muka di klinik rawatan kecantikan di sana, yang menurutnya menawarkan lebih banyak jenis rawatan dengan harga yang berpatutan.

Cik Idah menjelaskan rawatan di klinik kecantikan di Korea Selatan biasanya akan dimulakan dengan sesi konsultasi muka untuk memastikan jenis rawatan yang sesuai untuk pelanggan yang datang dari pelbagai negara.

Antara rawatan yang pernah beliau lakukan termasuk rawatan untuk melembapkan kulit dan rawatan untuk menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata.

Cik Idah menyatakan doktor dan pakar konsultasi biasanya akan menyarankan produk sesuai untuk digunakan selepas rawatan yang dilakukan sebelum membuat rawatan susulan.

Ditanya adakah beliau menetapkan bajet semasa percutian sebegini, Cik Idah berkata beliau mengetepikan sekitar $300 bagi rawatan muka dan kira-kira $200 untuk membeli produk jagaan kulit dan kecantikan seperti kosmetik dan minyak wangi.

Cik Idah, yang telah pergi bercuti ke negara yang dikenali dengan hidangan ‘kimchi’ dan ‘bibimbap’ itu pada Jun 2025, menambah bahawa beliau merancang untuk membuat lawatan seterusnya pada November ini.

“Bagi percutian seperti ini, saya biasanya akan menempah bagasi dengan had berat 30 kilogram semasa penerbangan, dan menyimpan bagasi lebih kecil di dalamnya untuk menyimpan produk yang diborong,” katanya sambil ketawa kecil.

Selain Cik Idah, seorang lagi penggemar percutian sedemikian ke Korea Selatan ialah Cik Salbiah Dalap, 40 tahun.

“Saya dan suami mula melakukan percutian untuk membeli barangan kecantikan di luar negara kira-kira tiga tahun lalu, sejak 2022. Sebelum ini, kami hanya membelinya dari kedai di Singapura,” ujarnya.

Pentadbir kanan itu berkata beliau menghabiskan sekitar $2,000 untuk barangan jagaan kulit.

Selain Korea Selatan, Cik Salbiah juga ke negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia untuk membeli barangan kecantikan.

Bagi Cik Mazuin Khamis pula, beliau telah melakukan percutian sebegini sejak 2010, apabila penerbangan tambang rendah ke negara serantau mula meningkat.

“Bagi saya, ia satu cara menjimatkan kos buat jangka masa panjang,” kata wanita berusia awal 40-an tahun itu.

Beliau, yang bekerja sendiri, gemar bercuti ke Indonesia dan Vietnam untuk melakukan rawatan kecantikan dan juga ke Jepun dan Korea Selatan untuk mendapatkan produk kecantikan yang tular di media sosial.

Menurut tinjauan trend perjalanan laman Skycanner, lebih separuh responden dari Singapura akan membeli produk penjagaan kulit dan kecantikan di negara yang dilawati, manakala 49 peratus berkata mereka akan membeli barangan yang tidak terdapat di Singapura.

Sementara itu, 46 peratus responden berkata mereka melakukan kegiatan berkaitan kecantikan ketika melancong kerana mahu mencuba sesuatu yang baru, dengan 42 peratus berkata harga di luar negara lebih berpatutan.

Menurut Cik Cindy Hui, Pakar Destinasi dan Trend Perjalanan Skyscanner, pengembara masa kini lebih cenderung merancang “percutian yang diperibadikan”.

Mengulas trend percutian sedemikian, Cik Idah berkata beliau pasti berasa puas setelah pulang daripada percutian sebegini, namun mengingatkan mereka yang berminat supaya membuat kajian sendiri bagi memastikan ia sesuai dan tidak merugikan selepas berbelanja.

“Bagi saya, produk kecantikan dari Korea Selatan memang sesuai dengan kulit saya, dengan harga yang berpatutan dan saya juga sukakan khidmat yang mereka sediakan di pusat rawatan di sana, sebab itu saya tidak keberatan untuk membelanjakan sejumlah wang untuk percutian seperti ini,” katanya.

Kelebihan produk kecantikan Korea Selatan

Bagi saya, produk kecantikan dari Korea Selatan memang sesuai dengan kulit saya, dengan harga yang berpatutan dan saya juga sukakan khidmat yang mereka sediakan di pusat rawatan di sana, sebab itu saya tidak keberatan untuk membelanjakan sejumlah wang untuk percutian seperti ini.
Cik Siti Nurhidah Sariff.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg