Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penasihat kewangan dinobat juara ‘Raja Kulinari 2024’

Nabawi Mokhtar bangun minat masak dan niaga lauk-pauk Melayu setelah warisi resipi arwah ibu
Nov 27, 2024 | 5:30 AM
Meski tidak mendalami kemahiran kulinari secara profesional, Muhammad Nabawi Mokhtar, mempersiapkan diri, bersandarkan ilmu masakan tradisional Melayu daripada ibunya, untuk bertanding dalam ‘Raja Kulinari’ (Musim Kedua) sehingga dinobatkan sebagai juara.
Meski tidak mendalami kemahiran kulinari secara profesional, Muhammad Nabawi Mokhtar, mempersiapkan diri, bersandarkan ilmu masakan tradisional Melayu daripada ibunya, untuk bertanding dalam ‘Raja Kulinari’ (Musim Kedua) sehingga dinobatkan sebagai juara. - Foto INSTAGRAM KENDURI.SG

Memasak makanan tradisional Melayu tidak hanya dapat mengubati rasa rindu terhadap arwah ibunya, malah membakar semangatnya mengabadikan kenangan bersama dalam menyiapkan sajian pembuka selera.

Lebih menarik lagi, Muhammad Nabawi Mokhtar, 31 tahun, menyahut cabaran mengemukakan resipi turun-temurun ibunya, Allahyarhamha Jumi Kadim, dalam peraduan realiti masakan, Raja Kulinari (Musim Kedua).

Ternyata, segala pengorbanan masa dan keringatnya berbaloi apabila dinobatkan sebagai juara Raja Kulinari (Musim Kedua) dalam program penutup tirai pada 26 November.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai $5,000 dan baucar peralatan dapur Shark Ninja bernilai $2,000.

Musim ini juga memperkenalkan kelainan dan kejutan baru dengan penyertaan istimewa cef selebriti dari Malaysia, Profesor Datuk Zamzani Abdul Wahab atau Cef Zam, di samping barisan cef Singapura, Cef Khaled Shrafodden, Cef Bob (Shahrizal Salleh) dan Cef Iskander Latiff.

Dengan sokongan isteri tercinta, Cik Nurzahidah Abdul Gaffar, 33 tahun, Nabawi bertekad menunjukkan ‘taring’ dalam pertandingan masakan berkenaan sambil menggalas tanggungjawab sebagai Penasihat Kewangan di MFA Group.

Dalam pada itu, sejak 2023, beliau turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah yang mengambil tempahan nasi beriani, ayam cili padi, ayam masak merah dan pelbagai lauk-pauk lain, menerusi laman Instagram Kenduri.SG.

“Salah satu sebab saya menyertai pertandingan Raja Kulinari ini adalah kerana dorongan isteri saya.

“Pada waktu itu, kami sedang menonton Raja Kulinari (Musim Pertama). Beliau berkata jika ada peluang, saya patut menyertai pertandingan sebegini untuk menonjolkan bakat memasak saya.

“Apabila dapat tahu ada musim kedua, saya pun mencuba nasib,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Berita Harian (BH).

Selain isterinya, kakak Nabawi, Cik Siti Baizurah Mokhtar, 38 tahun, juga merupakan penyokong kuatnya sepanjang pertandingan tersebut.

Meskipun tidak mendalami kemahiran kulinari secara profesional, Nabawi mempersiapkan diri bersandarkan ilmu masakan tradisional Melayu daripada ibunya. 

Beliau bahkan berjaya menewaskan Cef Khaled dan anak didiknya, Cef Rafi Suhairi, dalam episod kedua sesudah menambat hati juri dengan hidangan roti jala dan rendang daging merah.

“Arwah ibu saya adalah inspirasi saya menjadi seorang tukang masak. Terdahulu, beliau gemar menyimpan resipi daripada keratan akhbar Berita Harian.

“Sebelum beliau jatuh sakit, beliau akan masak untuk keluarga setiap hari. Kami pun jarang makan di luar kerana ingin berjimat. Saya mula mempelajari resipi masakannya sejak beliau sakit.

“Apabila saya masak sajiannya mengikut resipi ibu, keluarga saya khususnya akan berkata ia sama seperti air tangan ibu saya.

“Dari situ, saya meminta ibu saya untuk menurunkan beberapa resipi lain supaya saya dapat teruskan legasi masakannya,” kongsi Nabawi.

Pada 2020, Allahyarhamha Jumi meninggal dunia kerana barah paru-paru pada usia 61 tahun.

Ditanya tentang episod paling mencabar dalam Raja Kulinari, beliau berkata:

“Semasa bertanding, hal yang sulit adalah pengurusan masa kerana kami diberikan tempoh menyiapkan setiap hidangan.

“Jika di rumah, kita boleh santai-santai sambil memasak. Tapi dalam pertandingan, kita perlu mengejar waktu yang ditetapkan.

“Hidangan yang mencabar bagi saya adalah ketam masak cili, tugasan episod terakhir. Kalau di rumah, saya akan menggunakan kuali besar dan masukkan semua bahannya di dalam termasuk ketam.

“Tetapi dalam pertandingan, saya masak ketamnya terlebih dahulu.

“Ini kerana saya perlu gunakan periuk. Justeru, susah untuk saya anggarkan keadaan ketam itu. Takut pula kalau masak terlalu lama, isi dagingnya akan menjadi keras. 

“Itu yang lecehnya kalau masak makanan laut ini. Kita perlu berhati-hati.”

Hidangan tersebut ternyata membawa tuah hingga Nabawi berjaya dinobatkan sebagai juara Raja Kulinari (Musim Kedua).

“Saya tidak menyangka dapat bergelar juara bagi musim kedua Raja Kulinari. Wang tunai yang diperolehi akan digunakan untuk keperluan keluarga dan pendidikan anak lelaki saya yang masih berusia 19 bulan kelak.

“Saya berasa amat berbesar hati dapat bertanding dengan tukang masak yang lain. Ada di antara mereka juga mempunyai sijil dan kemahiran kulinari.

“Rata-rata, para pengadil yang terdiri daripada artis mahupun mentor seperti Cef Zam, banyak memberikan saranan yang membangunkan semangat. Saya rasa itulah hal yang paling bermakna bagi saya,” ujarnya.

Memandang ke hadapan, menerusi Kenduri.SG, Nabawi akan melancarkan konsep hidangan mangkuk tingkat yang menghidangkan masakan tradisional sepanjang bulan puasa pada Mac 2025

“Insya-Allah, pada Ramadan 2025, saya akan mengusahakan jualan makanan tradisional bersandarkan konsep mangkuk tingkat. 

“Kami akan menggunakan bekas yang boleh dipanaskan dalam ketuhar mikro supaya orang ramai juga dapat menikmati hidangan ini ketika bersahur keesokan paginya,” ujar beliau.

Raja Kulinari (Musim Kedua) boleh ditonton di aplikasi mewatch.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg