Lagu Teman yang pernah didendangkannya baru sahaja berkumandang sebagai irama taruhan bagi konsert minggu kedua Gegar Vaganza 11 (GV11).
Tapi belum pun namanya disebut sebagai peserta yang layak ke pusingan selanjutnya, penyanyi rok Singapura, Yazid Lovehunters, atau nama sebenarnya, Yazid Abu Bakar, 62 tahun, sudah pun mara ke tengah pentas sambil melambai-lambaikan tangannya kepada peminat.
Gelagatnya yang melucukan mencuit hati pengacara GV11, Nabil Ahmad dan Jihan Muse, kerana seakan tidak ikut adat peraturan, terlebih ghairah dan tidak sabar menantikan namanya diumumkan dalam segmen penentu peraduan, ‘Ada Lagu, Ada Lagi’.
Kata Nabil: “Itulah abang ni... tak datang mesyuarat!”
Jihan pula menambah: “Abang Yazid ni... baru konsert minggu pertama, dah ‘buat hal’!”
Yazid yang membawa lagu Sambutlah Kasih pada konsert minggu pertama pada 24 November, menjelaskan: “Minta maaf. Dengar sahaja lagu Teman, kaki ni tak boleh kawal... terus jalan ke depan.”
Beliau diumumkan sebagai peserta di tangga ketujuh dengan markah 63.25 peratus.
Jihan yang teringatkan aksi Yazid di pentas sebelum ini iaitu ketika menatap lantai tanpa bergerak menyambung selorohnya: “Ke abang sedang berlakon, sebagaimana yang abang cakap, memang suka berlakon?”
Seisi Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mula bergema dengan derai tawa.
Persembahan vokalis band terkenal Singapura, Lovehunters, itu dipuji Datuk Syafinaz Selamat, sebagai salah seorang juri.
“Abang umur 62 tetapi suara macam 42 atau 32 tahun... mungkin sebab hari-hari masih menyanyi dan berlatih,” katanya.
Yazid pula menjelaskan bahawa Sambutlah Kasih itu mempunyai dua versi dengan petikan gitar dan iringan orkestra tetapi yang ramai lebih minati adalah versi asal yang menekankan bunyi garing gitar.
Beliau adalah wakil tunggal dari Kota Singa, mengikut jejak langkah penyanyi lain seperti Ferhad, Hetty Sarlene, Hady Mirza, Aliff Aziz, Hazrul Nizam dan Fuad Rahman, yang pernah bertanding dalam musim-musim sudah GV.
Hady dan Aliff berjaya bergelar juara pada musim keenam dan kelapan manakala Hazrul adalah finalis GV9.
Dalam pada itu, di akaun X, ramai juga yang memuji persembahan pengenalan lagu peserta GV11 yang dikendalikan Hady Mirza selaku naib juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV) dan Nikki Palikat sebagai pemenang ketiga pusingan juara-juara dan peserta terpilih GV selama sembilan musim.
“Hady dan Nikki ‘tapau’ (bolot) semua lagu... dengar versi nyanyian mereka pada setiap lagu peserta GV11 memang menyeronokkan!” ujar netizen yang menggunakan nama AllRaiders.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg