Setelah hampir 10 tahun menghasilkan video ulasan makanan di media sosial, pencipta kandungan Malaysia, Mohd Sufian Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pian daripada Padu Beb Studios, ingin meluaskan jenis kandungan yang dihasilkan.
Ia dilakukan dengan matlamat agar kandungannya tidak tenggelam dan masih kekal menarik bagi penonton.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) dalam satu wawancara semasa kunjungannya ke Singapura baru-baru ini, Pian tidak menyangka video ulasan makanan di Singapura yang beliau hasilkan, mendapat sambutan memberangsangkan.
“Selepas memuat naik video saya makan ayam goreng pedas di kedai Chix Hot Chicken semasa kunjungan saya ke Singapura pada Mei lalu, saya melihat maklum balas yang sangat positif.
“Video itu berjaya mendapat 242,693 tontonan dan berdasarkan data, penonton dari Singapura meningkat sehingga 30 peratus berbanding video saya sebelum ini.
“Lantas, saya berbincang dengan isteri dan kami bersetuju untuk masuk ke Singapura setiap bulan sehingga Disember 2024 untuk menghasilkan lebih banyak kandungan makanan menarik di kota ini,” kongsi Pian, 37 tahun.
Beliau kini mengusahakan jenama Padu Beb Studios secara sepenuh masa bersama isterinya, Noraida Mohd Rosni, 35 tahun, yang memikul tugas sebagai penyunting video.
Terdahulu, Pian pernah membuat beberapa video mencuba makanan di Singapura sepanjang kerjayanya dalam mencipta kandungan media sosial. Namun, ia sebahagian daripada siri video melancong yang turut melibatkan kunjungan ke negara lain seperti Turkey, China, Jepun dan Korea Selatan.
Pada 26 September, Pian telah menemui kakitangan ruangan Kaki Makan BH di Pusat Penjaja Chong Boon, di Ang Mo Kio.
Kakitangan ruangan Kaki Makan telah merakam video Pian menjamu selera hidangan mi rebus.
Video itu akan dikongsi di wadah media sosial BH dan saluran YouTube Padu Beb Studios pada lewat Oktober.
Untuk menarik lebih ramai pengikut dan penonton dari Singapura, Pian telah membuka akaun Patreon.
Melaluinya, beliau memuat naik kandungan eksklusif di sebalik tabir pengembaraan di Singapura.
Beliau juga berinteraksi secara rapat dengan penonton dan meminta cadangan tempat makan yang patut dikunjungi di Singapura daripada pengikutnya di akaun itu yang membayar $10 setiap bulan.
Patreon adalah wadah yang memberi peluang kepada pencipta kandungan untuk memuat naik hasil karya mereka dan berinteraksi dengan peminat melalui sistem langganan prabayar.
“Saya berterima kasih dengan mereka yang menggalak saya untuk buat lebih banyak video makanan di kota ini dan beri cadangan tempat menarik yang saya harus kunjungi di sini.
“Sokongan mereka sangat membantu walaupun ramai yang kata perbelanjaannya agak tinggi untuk kerap ke Singapura,” ceritanya yang akan memandu masuk ke Singapura dan menghabiskan sekitar dua atau tiga hari setiap kali ke sini.
Menurutnya, perbelanjaan untuk setiap kunjungan lebih tertumpu kepada kos pengangkutan dan penginapan hotel berbanding harga makanan yang dicuba itu sendiri.
Antara hidangan yang Pian cuba semasa kunjungannya ke Singapura termasuk karipap ‘bai’, pelbagai variasi nasi ayam Hainan dan gerai makanan barat, Chicken Supremo, yang dikenali dengan gelaran ‘mak cik bismillah’.
Mengimbas kembali detik beliau mula berjinak-jinak membuat video ulasan makanan, Pian berkongsi bahawa beliau mendapat inspirasi daripada pencipta kandungan terkenal, Mark Wiens, yang sering mengulas makanan jalanan di Thailand.
“Saya mempunyai beberapa perniagaan yang tidak berjaya dahulu. Saya terfikir untuk memulakan syarikat media dengan seorang rakan kongsi yang fokus kepada menulis laporan makanan di laman web ketika itu.
“Saya gunakan peralatan kamera yang saya simpan hampir dua tahun selepas berhenti perniagaan khidmat video perkahwinan.
“Bermula pada 2015, saya menghasilkan video pertama saya mengulas juadah ‘karipap gedabak’. Saya ambil masa agak lama – hampir tiga jam untuk merakam video itu kerana tidak tahu apa yang nak dikatakan.
“Apabila video itu mendapat beberapa ratus tontonan, saya rasa gembira kerana tidak tahu apa reaksi netizen ketika itu.
“Itu mendorong saya untuk meneruskan menghasilkan video kerana ingin maklum balas daripada penonton,” kongsi Pian yang bergerak dengan jenama Vitdaily ketika itu.
Selepas menghasilkan lebih 10 video, beliau berjaya mendapat peluang sebagai pengulas makanan berbayar pertamanya.
Padu Beb Studios dilancarkan pada 2018 selepas Pian mula bergerak solo dan membuka jenama baru.
Ditanya apakah antara cabaran utama sebagai pencipta kandungan, Pian berkata pada awalnya, beliau sering mendapat reaksi agak pelik daripada orang awam kerana berbual sendiri dengan kamera.
Terdapat juga pemilik kedai makan yang kurang selesa dengan adanya individu merakam dan membuat ulasan video tentang makanan yang mereka jual.
“Saya sering berkongsi bahawa niat saya hanya untuk memberi pendedahan tentang hidangan yang dijual dan tiada niat untuk memburukkan perniagaan tersebut,” jelasnya.
Namun, kini ramai yang sudah tahu akan kewujudan pempengaruh dan pencipta kandungan sebagai satu kerjaya tetap.
Sifat candi Pian dan penyampaiannya dengan cara ‘santai’ dalam video membuat videonya dapat diterima baik oleh netizen.
Berkat hasil kerja keras dan semangat tekadnya, Padu Beb Studios dikenali sebagai antara saluran video makanan popular di Malaysia dengan 489,000 pengikut di YouTube dan 156,000 pengikut di TikTok selain turut bergerak aktif di Instagram dan Facebook.
“
Selepas memuat naik video saya makan ayam goreng pedas di kedai Chix Hot Chicken semasa kunjungan saya ke Singapura pada Mei lalu, saya melihat maklum balas yang sangat positif... Video itu berjaya mendapat 242,693 tontonan dan berdasarkan data, penonton dari Singapura meningkat sehingga 30 peratus berbanding video saya sebelum ini.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg