Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencipta kandungan TikTok ganding bahu dengan Fluff Bakery hasilkan menu SG60

Tawarkan enam pencuci mulut berinspirasi rasa tempatan unik dan kreatif
Aug 1, 2025 | 10:54 AM
fluff bakery, sg60
Encik Muhammad Khalil Abdul Wahid (dari kiri) bersama Cik Ng Jia Xin mencipta menu khas sempena SG60 dengan Cik Nursyazanna Syaira Md Suhimi, pengasas Fluff Bakery. - Foto FLUFF BAKERY

Pada usia 25 tahun, lulusan kejuruteraan, Encik Muhammad Khalil Abdul Wahid, menceburi minatnya dalam dunia masakan dengan menghasilkan video yang mencuri perhatian ramai di TikTok.

Baru-baru ini, beliau dipilih TikTok Singapura untuk menyertai projek SG60, satu daya usaha khas sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura.

Sebagai sebahagian daripada projek tersebut, TikTok menggabungkan pencipta kandungan makanan popular dengan enam jenama makanan dan minuman (F&B) tempatan untuk mencipta menu SG60 eksklusif yang mengangkat identiti dan cita rasa tempatan.

Setiap hidangan yang dicipta merupakan penghormatan kepada pelbagai aspek yang menjadikan Singapura unik daripada rasa nostalgia zaman kanak-kanak dan makanan pasar malam ikonik, hinggalah ciptaan moden yang mencerminkan kreativiti generasi baru.

Berganding bahu dengan seorang lagi pempengaruh Tiktok, Cik Ng Jia Xin, 19 tahun, Encik Khalil dan Cik Ng menghasilkan enam hidangan pencuci mulut berinspirasikan rasa tempatan yang unik dan kreatif bersama F&B tempatan, Fluff Bakery.

Enam hidangan itu ialah Coffee Salted Gula Melaka Cupcake ($4.50); Horlicks Nestum Cupcake ($4.50); Laksa Flatbread ($6.50); Salted Egg Lava Doughnut ($4.50); Kaya Butter Toast Gelato ($6.50); serta Iced Limau and Bunga Kantan Sorbet ($6.50).

Antara pastri dan kek yang boleh didapati di Fluffy Bakery ialah (dari atas), Salted Egg Lava Doughnut ($4.50); Laksa Flatbread ($6.50); Coffee Salted Gula Melaka Cupcake ($4.50); dan Horlicks Nestum Cupcake ($4.50). Bagi gelato (mangkuk kecil di kiri) pula, pelanggan boleh menikmati Kaya Butter Toast Gelato ($6.50) (atas) dan Bunga Kantan Sorbet ($6.50) (di bawahnya).
Antara pastri dan kek yang boleh didapati di Fluffy Bakery ialah (dari atas), Salted Egg Lava Doughnut ($4.50); Laksa Flatbread ($6.50); Coffee Salted Gula Melaka Cupcake ($4.50); dan Horlicks Nestum Cupcake ($4.50). Bagi gelato (mangkuk kecil di kiri) pula, pelanggan boleh menikmati Kaya Butter Toast Gelato ($6.50) (atas) dan Bunga Kantan Sorbet ($6.50) (di bawahnya). - Foto FLUFF BAKERY

Pengasas Fluff Bakery, Cik Nursyazanna Syaira Md Suhimi, berkata menu SG60 itu meraih inspirasi daripada bahan yang digunakan dalam hidangan popular di Singapura, seperti daun kesum dan bunga kantan.

“Untuk hidangan savuri, kami hasilkan roti flatbread berinspirasikan rasa laksa, dihiasi dengan seakan pesto tetapi menggunakan daun kesum.

“Bunga kantan pula ialah bunga tempatan yang digunakan dalam laksa, rojak, dan asam pedas.

“Ia adalah herba kegemaran saya dan saya telah menggabungkannya ke dalam minuman paling menyegarkan iaitu ais limau yang biasa dipesan di kedai mamak, kini dalam bentuk serbat,” kata Cik Syaira.

Sebagai perintis dalam dunia kek cawan artisan di Singapura, Fluff Bakery, telah berkembang dari permulaan yang sederhana kepada sebuah jenama ikonik.

Dikenali dengan menu kek cawan dengan lebih 100 perisa yang ditampilkan secara berganti, Fluff Bakery kini turut menawarkan tart, kek dan pelbagai kuih yang menggabungkan rasa klasik Melayu dengan sentuhan kontemporari.

Bagi kerjasama itu, Encik Khalil menyuntik rasa nostalgia zaman kanak-kanaknya dari makan malam di kedai mamak ke sarapan pagi di kopitiam.

Cik Ng pula memberi tumpuan kepada bahan dan rasa yang dekat di hati rakyat Singapura.

Bagi Encik Khalil, beliau dikenali ramai menerusi video memasak yang ditujukan buat “bakal isterinya”.

Beliau mula mendapat perhatian dalam kalangan pengguna TikTok tempatan.

Terinspirasi oleh detik-detik manis di dapur bersama ibunya sejak kecil, Encik Khalil mula memuat naik video semasa pandemik sebagai usaha mendokumentasi dan memelihara resipi berharga milik ibunya.

Namun lebih penting lagi, beliau ingin mencabar stigma terhadap kerjaya sebagai pencipta kandungan di Singapura.

“Ia bukan semata-mata tentang menjadi tular. Ia tentang kreativiti, budaya, dan komuniti,” katanya.

Dengan berkongsi perjalanan kulinarinya, beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk berkarya dan mengekalkan rasa yang membentuk identiti.

Walaupun kebanyakan video awalnya memberi tumpuan kepada hidangan tradisional Melayu, tidak semua resipi dikongsi secara umum.

“Ada resipi yang terlalu sentimental,” katanya, memilih untuk menyimpan sebahagian daripadanya sebagai kenangan peribadi keluarga.

Namun begitu, kandungan yang dikongsinya tetap mendapat sambutan hangat dan berjaya membina kumpulan setia dalam kalangan pencinta makanan yang menghargai keaslian dan kesederhanaan dalam penceritaannya.

Menu yang dikongsi rata-rata dipengaruhi oleh gabungan resipi yang sedang tular, keinginan peribadi, serta maklum balas daripada pengikut menerusi sesi TikTok Live dan mesej langsung.

Walaupun menghadapi cabaran dalam menguruskan semuanya sendirian, beliau tetap berpegang pada prinsip untuk kekal tulen dan berhubung secara jujur dengan penonton.

Menu istimewa SG60 itu boleh didapati di Fluff Bakery di 795 North Bridge Road, Singapura 198763 dari 4 Ogos hingga 31 Ogos, dalam tempoh masa terhad sempena sambutan Hari Kebangsaan SG60.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg