Pengacara dan pelawak terkenal asal Afrika Selatan, Trevor Noah, akan mengadakan persembahan di Singapura sebagai sebahagian daripada jelajah dunianya.
Tiket bagi persembahan di The Star Theatre pada 3 Jun, berharga antara $108 dengan $238, mula dijual kepada umum pada 9 Februari.
Tiket boleh didapatkan menerusi Sistic.
Noah, 39 tahun, kali akhir membuat persembahan di Singapura pada 2019, menerusi persembahan bertajuk Loud And Clear.
Bekas hos rancangan televisyen ‘talk show’ dan satira berita Amerika The Daily Show itu akan memulakan jelajah dunianya di Atlanta, sekali gus membuka tirai persembahannya di beberapa bandar utama Amerika.
Nama Noah mula mekar sebagai pengacara komedi berbakat besar selepas beliau menggantikan pelawak Amerika, Jon Stewart, sebagai pengacara rancangan The Daily Show pada 2015.
Sejak itu, beliau telah memenangi beberapa anugerah terkemuka termasuk anugerah Emmy, selain dipilih menjadi hos Anugerah Grammy baru-baru ini.
Buku mengenai dirinya – Born a Criminal – yang menceritakan zaman kanak-kanaknya pada era aparteid di Afrika Selatan sebagai seorang budak lelaki yang mempunyai bapa kulit putih dan ibu berkulit hitam merupakan antara buku terlaris dunia pada 2016.
Sementara itu, rancangan komedi beliau yang terkini, Trevor Noah: Where Was I (2023), juga boleh ditonton di Netflix.
Acara: Trevor Noah: Off The Record Tour
Di mana: The Star Theatre, 1 Vista Exchange Green
Bila: 3 Jun, 8 malam
Info tiket: Dari $108. Boleh didapatkan menerusi Sistic di www.sistic.com.sg atau hubungi 6348-5555
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg