Tatkala matahari mula terbit di ufuk timur, cahaya keemasan berkilau di permukaan tenang takungan air Upper Seletar.
Udara pagi yang segar dipenuhi kicauan burung, sesekali diselangi sahutan haiwan liar dari kejauhan.
Inilah suasana yang akan menyambut para penginap Colugo Camp apabila mereka bangun tidur bukan kepada deruan kenderaan, tetapi kepada alunan alam semula jadi yang jarang sekali dapat dinikmati di Singapura.
Baru-baru ini, saya berpeluang mengalami pengalaman itu di Colugo Camp, sebuah tapak perkhemahan baru di Singapura yang terletak di 80 Mandai Lake Road.
Dibuka pada 8 Ogos, ia menempatkan sebanyak 20 khemah berkonsep ‘safari’ yang boleh menampung sehingga 80 orang keseluruhan.
Apa yang jelas pada saya, Colugo Camp menggabungkan suasana alam liar dengan keselesaan moden, menjadikannya destinasi sesuai untuk keluarga, pasangan, atau kumpulan korporat yang mahu beristirahat sambil menikmati sisi lain kota Singa.
Setiap khemah berkeluasan 20 meter persegi dan boleh menampung sehingga empat orang.
Ia dilengkapi dengan penghawa dingin, satu kipas siling, satu kipas lantai, satu katil bersaiz ‘queen’, satu katil dua tingkat, serta kerusi santai di luar khemah.
Walaupun berkonsepkan glamping, kemudahannya seakan bilik hotel kecil.
Glamping merupakan gabungan perkataan ‘glamorous’ serta ‘camping’ dan merujuk kepada konsep berkhemah dalam suasana terbuka, tetapi dengan sentuhan moden yang menawarkan keselesaan seperti katil, kemudahan bilik air dan hiasan dalaman yang estetik.
Kemudahan bilik air dan tandas dikongsi dalam kawasan perkhemahan, termasuk pilihan mesra keluarga dan mesra kerusi roda.
Setakat ini, Colugo Camp hanya menawarkan pilihan pakej selama dua hari dan satu malam berharga $550 (dua orang), $700 (tiga orang), dan $800 (empat orang).
Penginap boleh daftar masuk dari 2.30 petang pada hari pertama, dan daftar keluar selewat-lewat pada 11 pagi pada hari kedua.
Bagi saya, kegiatan kegemaran di tapak Colugo Camp ialah melihat matahari terbenam di atas takungan air Upper Seletar.
Sebagai pencinta alam semula jadi, saya amat menghargai berada di persekitaran luar saat langit perlahan-lahan berubah daripada biru cerah ke jingga dan merah keemasan.
Cahaya senja itu memantul di permukaan air yang tenang, mencipta panorama yang sungguh menenangkan.
Apa yang membezakan Colugo Camp daripada percutian biasa ialah peluang untuk menikmati akses percuma ke tiga taman hidupan liar di bawah naungan Mandai Wildlife Reserve iaitu Taman Haiwan Singapura, Safari Malam, dan River Wonders.
Sebahagian daripada pakej dua hari dan satu malam di Colugo Camp, jadual yang disusun termasuk lawatan percuma ke Taman Haiwan pada hari pertama.
Saya mempunyai kira-kira dua hingga tiga jam untuk menikmati taman itu sebelum harus pulang ke Colugo Camp untuk makan malam.
Pengalaman saya di Colugo Camp turut disertakan dengan pakej makanan lengkap.
Daripada minuman alu-aluan sebaik saya tiba, ke sarapan bufet antarabangsa, makan malam bufet ala Asia, hinggalah ke hidangan ringan waktu malam, semuanya dihidangkan di dewan makan bersama.
Sewaktu tempoh saya menginap di sana, saya difahamkan daripada kakitangan Mandai Wildlife Reserve bahawa dewan makan Colugo Camp tidak ada sijil halal, namun makanannya diperoleh daripada sumber halal.
Tetamu dinasihati agar menjamu selera mengikut kebijaksanaan sendiri.
Dalam pada itu, terdapat juga pelbagai pilihan kedai makan halal seperti KFC, Copper Chimney, serta Old Chang Kee Coffee House.
Selain itu, pakej tersebut juga termasuk lawatan ke Safari Malam di mana saya dapat menaik tram khas dengan ulasan langsung sambil meronda taman itu.
Tempat duduk khas juga diketepikan untuk saya dan penginap Colugo Camp lain di pertunjukan ‘Creatures of the Night’ di mana kami dapat mempelajari tentang haiwan malam.
Pada keesokan hari, kami dapat masuk River Wonders pada waktu awal sebelum ia dibuka kepada pengunjung umum.
Ini bermakna kami dapat menikmati suasana yang lebih tenang dan mendalami pengalaman tanpa bersaing dengan orang ramai.
Bayangkan berjalan di laluan River Wonders dengan hanya segelintir penginap Colugo Camp lain, usah berebut-rebut mengambil gambar di lokasi yang menarik.
Ia jelas Colugo Camp direka untuk menarik pelbagai jenis pengunjung. Bagi keluarga, kanak-kanak berpeluang mendekati haiwan dengan cara lebih interaktif dan menyeronokkan, sambil mempelajari nilai menghormati alam.
Pasangan pula boleh menikmati suasana romantik dikelilingi bunyi alam, jauh daripada hiruk-pikuk bandar.
Bagi kumpulan korporat, ia menawarkan pakej sesuai untuk kegiatan ‘team-building’ dengan sentuhan pendidikan dan kesedaran alam sekitar.
Bayangkan diri anda duduk di kerusi luar khemah, secawan kopi panas di tangan, sementara mata memandang ke arah takungan air yang tenang. Angin sepoi-sepoi pula membawa bersama bunyi cengkerik dan burung malam.
Bagi mereka yang terbiasa dengan gaya hidup serba pantas, detik sebegini cukup untuk melambatkan masa dan menyegarkan jiwa.
Bagi saya, Colugo Camp bukan sekadar destinasi glamping baru. Ia adalah pintu masuk untuk menilai semula hubungan kita dengan alam, di tengah-tengah bandar moden yang sibuk.
Pengalaman saya menginap selama dua malam dan satu hari di sana betul-betul menyegarkan, membuktikan bahawa untuk merasai sisi liar Singapura, anda tidak perlu meninggalkan tanah air sendiri.
Penginapan penulis ditaja Mandai Wildlife Reserve.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg