Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman istimewa bawa anak kecil tunai umrah meski mencabar

Ibu bapa perlu sedia lakukan ibadah sambil penuhi keperluan si kecil
Nov 24, 2024 | 5:30 AM
 Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli dan anak-anak mereka (dari kiri) –Muhammad Rayyan Ilhan Muhammad Mukhlis Dzulfitri, Muhammad Rayhan Imaan Muhammad Mukhlis Dzulfitri, Muhammad Afeef Muhammad Mukhlis Dzulfitri dan Muhammad Aakif Muhammad Mukhlis Dzulfitri – berkunjung ke Jabal Rahmah di Arafat, Arab Saudi.
Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli dan anak-anak mereka (dari kiri) –Muhammad Rayyan Ilhan Muhammad Mukhlis Dzulfitri, Muhammad Rayhan Imaan Muhammad Mukhlis Dzulfitri, Muhammad Afeef Muhammad Mukhlis Dzulfitri dan Muhammad Aakif Muhammad Mukhlis Dzulfitri – berkunjung ke Jabal Rahmah di Arafat, Arab Saudi. - Foto ihsan SHIFFA KHUMAIRA ABDUL KHALIQ

Menunaikan umrah dianggap sebagai satu ibadah yang sememangnya memerlukan daya kemampuan fizikal.

Namun bagi pasangan Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, 34 tahun, dan Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli, 32 tahun, ini ditambahkan lagi dengan kehadiran bukan satu atau dua, tetapi empat anak yang kesemuanya masih di peringkat prasekolah.

Sambil menggendong bayi dan memimpin seorang anak, Cik Shiffa melaksanakan tawaf di samping suaminya yang memimpin lagi dua anak mereka.

Menceritakan kembali senario yang mencabar itu, Cik Shiffa dengan positif berkata:

“Saya dan suami sudah merancang untuk bergilir-gilir dukung bayi kami tetapi apabila sampai di perkarangan Kaabah, Rayhan (nama bayi mereka) inginkan saya sahaja yang mendukungnya sepanjang masa.

“Saya tidak bersedia secara mental untuk menunaikan umrah dengan anak seberat 10 kilogram, tetapi alhamdulillah Allah mempermudahkannya kami.”

Cik Shiffa, yang pertama kali menunaikan umrah bersama suami dan empat anaknya pada Disember 2023 akui bahawa bukan mudah untuk memberi tumpuan terhadap ibadah sambil memenuhi keperluan anak-anaknya yang masih kecil lagi, namun beliau tidak sesal sedikit pun, malah mendapati ia pengalaman cukup istimewa yang ingin dilaluinya lagi.

Pada waktu itu, anak bongsunya berusia dua tahun, yang sulung enam tahun dan yang kembar, lima tahun.

“Ia pengamalan yang tersangat istimewa kerana sudah menjadi doa saya dan suami sejak berkahwin untuk membawa anak-anak kami ke Makkah dan Madinah untuk destinasi luar negara pertama mereka menaiki pesawat,” katanya sambil menambah ia mengukuhkan pengalaman kerohaniannya.

Cik Shiffa, yang mengikuti agensi TM Fouzy and Tours selama 12 hari, meluahkan penghargaan kepada jemaah umrah yang banyak menghulurkan bantuan kepada beliau dan suami sepanjang perjalanannya.

“Beberapa jemaah membantu kami dukung dua anak kami yang sedang tidur, sambil kami uruskan dua anak yang lain dan mengangkat beg kami,” kata pengurus pembangunan perniagaan itu.

HUJUNG TAHUN PILIHAN IBU BAPA BAWA ANAK

Menurut beberapa agensi pelancongan yang menyediakan pakej umrah, musim November dan Disember adalah tempoh popular dalam kalangan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka menunaikan umrah disebabkan cuti sekolah akhir tahun yang panjang.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), pengarah Travelconnect.sg, Ustaz Nafis Rahman, menambah bahawa cuaca di Makkah dan Madinah yang lebih sejuk menjadikannya lebih selesa untuk anak-anak.

“Ini adalah faktor penting, kerana cuaca sejuk lebih sesuai untuk kanak-kanak dan kami dapat mengalami pengalaman cuaca yang berbeza jika dibandingkan dengan cuaca di Singapura.”

Beliau juga memerhatikan bahawa kebanyakan ibu bapa memilih untuk menunaikan ibadah umrah melalui agensi, bagi membantu mereka dari segi bimbingan dan juga logistik.

Ini membuatkan mereka berasa selamat dan yakin untuk berada di Saudi kerana ada agensi yang sedia membantu pada bila-bila masa agar urusan semua berjalan dengan lancar dan tenang, tambahnya.

Pengasas Little Quran Kids Singapore, Ustazah Su’aidah Salim, berkata tidak ada had minimum untuk kanak-kanak menunaikan umrah.

Namun, ibu bapa digesa membuat persediaan sebelum membawa anak-anak mereka ke Tanah Suci.

“Sebelum ke Umrah, bawalah anak-anak ke mana-mana masjid supaya mereka lebih terbiasa dengan persekitaran masjid, insya-Allah.

“Sebagai tambahan, siapkan juga kegiatan amali dan Montessori supaya mereka dapat memanfaatkan masa,” ujarnya.

Ustazah Su’aidah turut memesan bahawa sedang ibu bapa berusaha menunaikan ibadah umrah, mereka juga perlu ingat bahawa menjaga anak juga bentuk ibadah.

PERLU BANYAK BERSEDIA

Cik Shiffa berkongsi bahawa banyak persediaan yang perlu dibuat, dari segi rohaniah atau fizikal, supaya anak-anaknya tahu apa yang dijangkakan ketika berada di Tanah Suci.

Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli dan anak-anak mereka (dari kiri) – Muhammad Rayyan Ilhan Muhammad Mukhlis Dzulfitri, Muhammad Rayhan Imaan Muhammad Mukhlis Dzulfitri, Muhammad Afeef Muhammad Mukhlis Dzulfitri dan Muhammad Aakif Muhammad Mukhlis Dzulfitri – melawat Masjidil Haram di Makkah.
Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, Encik Muhammad Mukhlis Dzulfitri Dzulkifli dan anak-anak mereka (dari kiri) – Muhammad Rayyan Ilhan Muhammad Mukhlis Dzulfitri, Muhammad Rayhan Imaan Muhammad Mukhlis Dzulfitri, Muhammad Afeef Muhammad Mukhlis Dzulfitri dan Muhammad Aakif Muhammad Mukhlis Dzulfitri – melawat Masjidil Haram di Makkah. - Foto ihsan SHIFFA KHUMAIRA ABDUL KHALIQ

Ini dilakukan dengan mendedahkan mereka kepada kandungan Islamik, termasuk membaca buku tentang Makkah dan Madinah, menonton penstriman langsung jemaah yang sedang melakukan tawaf dan Sai di Makkah, dan menjadikan solat secara berjemaah satu rutin.

Bagi membina daya tahan fizikal, beliau juga melatih anak-anaknya untuk bangun seawal 5 pagi setiap hari selain melakukan jejak alam semula jadi sepanjang jarak jauh bersama.

Beliau juga menasihati ibu bapa supaya mengambil penerbangan langsung dan kereta api laju supaya masa perjalanan dari tempat ke tempat dipendekkan.

LAKUKAN SECARA ‘DIY’

Bagi pasangan Cik Maisarah Samsi, 39 tahun, dan Encik Mohd Hendra Hadi Abdullah Swee, 42 tahun, mereka memutuskan untuk menunggu anak-anak mereka pandai mengurus diri dan sudah memahami erti ibadah umrah sebelum membawa mereka bersama.

Cik Maisarah Samsi dan Encik Mohd Hendra Hadi Abdullah Swee menunaikan umrah bersama anak-anak mereka (dari kiri) Muhammad Iqmal Swee, Muhammad Irfan Swee, Muhammad Ilhan Swee, dan Muhammad Ihsan Swee.
Cik Maisarah Samsi dan Encik Mohd Hendra Hadi Abdullah Swee menunaikan umrah bersama anak-anak mereka (dari kiri) Muhammad Iqmal Swee, Muhammad Irfan Swee, Muhammad Ilhan Swee, dan Muhammad Ihsan Swee. - Foto ihsan MAISARAH SAMSI

Akhirnya mencapai impian mereka pada November tahun lalu (2023), apabila pasangan itu bersama empat anak lelaki mereka berusia enam hingga 12 tahun berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah sebagai satu keluarga.

“Alhamdulillah, semua anak saya berada di peringkat usia mereka boleh jalan kaki dan tidak perlu disorong. Kedua-dua Makkah dan Madinah memerlukan kami banyak berjalan walaupun jarak hotel kami hanya 50 meter dari Masjidil Haram.

“Apabila anak-anak kami penat, kami berehat seketika sebelum meneruskan rancangan. Kami sering memberitahu anak-anak kami apa yang mereka boleh jangkakan justeru anak-anak kami gembira menuruti,” ujarnya.

Cik Maisarah, yang sudah tiga kali menunaikan umrah, akui bahawa pengalaman bersama anak-anaknya jauh beza daripada jika beliau melaksanakannya sendiri memandangkan perhatiannya kini perlu dibahagikan.

Untuk jimat kos, Cik Maisarah memilih melaksanakan umrah secara ‘DIY’ – membuat tempahan penerbangan, hotel dan visa serta merancang perjalanan ibadah umrahnya sendiri.

“Kami mempunyai kebebasan untuk pilih dan jadualkan kegiatan harian berdasarkan tahap tenaga kami pada hari itu. Walaupun kami sudah merancang jadual perjalanan, kami tidak terikat dengannya,” tambah suri rumah itu.

PANTAU KEADAAN ANAK

Dalam kesibukan ibu bapa berusaha menunaikan ibadah umrah, Cik Maisarah memesan agar mereka tidak lupa memantau gerak-geri atau tingkah laku anak untuk mengenal pasti tanda-tanda si kecil terlalu penat atau tidak sihat.

Cik Maisarah Samsi dan Encik Mohd Hendra Hadi Abdullah Swee menunaikan umrah bersama anak-anak mereka (dari kiri) – Muhammad Ilhan Swee, Muhammad Iqmal Swee, Muhammad Irfan Swee dan Muhammad Ihsan Swee – bergambar di menara jam di Makkah.
Cik Maisarah Samsi dan Encik Mohd Hendra Hadi Abdullah Swee menunaikan umrah bersama anak-anak mereka (dari kiri) – Muhammad Ilhan Swee, Muhammad Iqmal Swee, Muhammad Irfan Swee dan Muhammad Ihsan Swee – bergambar di menara jam di Makkah. - Foto ihsan MAISARAH SAMSI

Menurutnya, penting bagi ibu bapa bertindak menangani keadaan tersebut sebelum ia bertambah buruk.

Keselamatan, katanya, tetap diutamakan.

Untuk menangani keadaan berasak-asak dengan ribuan anggota jemaah lain, Cik Maisarah berkata beliau dan suami mengikat tali di pergelangan tangan mereka dan dua anak mereka yang lebih kecil, supaya mereka tidak terpisah dalam lautan manusia di sana.

Selain itu, beliau juga menyediakan banyak snek untuk mengisi perut anak-anak di antara waktu solat dan dalam perjalanan dari satu tempat ke satu tempat.

“Walaupun saya pernah menjalani umrah sendiri, pengalaman bersama anak-anak saya lebih istimewa dan kenangannya tidak boleh dilupakan kerana memang impian saya dan suami untuk mengerjakan umrah sebagai satu keluarga.

“Melihat kegembiraan terpancar di wajah anak-anak saya apabila mereka menatap Kaabah dan Masjid Nabawi sangat bermakna dan istimewa,” katanya.

Sebelum ke Umrah, bawalah anak-anak ke mana-mana masjid supaya mereka lebih terbiasa dengan persekitaran masjid, insya-Allah. Sebagai tambahan, siapkan juga kegiatan amali dan Montessori supaya mereka dapat memanfaatkan masa.
Ustazah Su’aidah Salim, pengasas Little Quran Kids Singapore.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg