Bunyi ombak menghempas pantai, kicauan burung dan dedaun yang berkeriut di bawah tapak kaki menjadi tumpuan saya ketika menyusuri kawasan berhampiran Pantai Haeundae di Busan, Korea Selatan.

Dengan menggunakan alat rakaman dan mikrofon, kami menyertai aktiviti ‘sound-walking’ yang membawa kami dari sebuah taman kecil menuju ke pesisir pantai sebelum memasuki laluan redup di Dongbaekseom.

Daripada sekadar menikmati pemandangan, kami diajak memberikan perhatian kepada bunyi-bunyian di sekeliling yang mungkin mudah terlepas daripada perhatian jika kami sekadar berjalan seperti biasa.

Pemandangan Pantai Haeundae dari bilik penginapan penulis di Grand Josun Busan, sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang di bawah pengurusan Josun Hotels & Resorts yang terletak betul-betul di pesisir pantai tersebut.
Pemandangan Pantai Haeundae dari bilik penginapan penulis di Grand Josun Busan, sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang di bawah pengurusan Josun Hotels & Resorts yang terletak betul-betul di pesisir pantai tersebut. - Foto ihsan SHARLIN NASYIROH AZMI

Pengalaman itu mengingatkan saya bahawa melancong bukan sekadar mengumpul gambar atau bergegas dari satu tarikan ke tarikan yang lain. Ada kalanya, kita perlu memperlahankan langkah untuk lebih menghayati persekitaran.

Namun, ada juga detik tidak dirancang yang memperkenalkan saya kepada sisi Busan yang lebih meriah.

Sebelum menaiki Tren Pantai Haeundae, saya terserempak dengan dua remaja perempuan yang sedang mempersembahkan tarian hip-hop. Orang ramai berhenti untuk menonton, manakala pengunjung lain terus berjalan di laluan tepi pantai, dengan sesetengahnya melambai kepada para penari.

Persembahan spontan itu memberi saya gambaran sekilas tentang kehidupan seharian di bandar tersebut. Ia juga mengingatkan saya bahawa pengalaman menarik tidak semestinya tercatat dalam jadual perjalanan.

Semasa menyertai aktiviti ‘sound-walking’ di Pantai Haeundae, peserta dibekalkan mikrofon yang disambungkan kepada fon kepala untuk menghayati bunyi semula jadi di sekeliling, termasuk deruan ombak, kicauan burung dan bunyi tapak kaki di pesisir pantai berpasir.
Semasa menyertai aktiviti ‘sound-walking’ di Pantai Haeundae, peserta dibekalkan mikrofon yang disambungkan kepada fon kepala untuk menghayati bunyi semula jadi di sekeliling, termasuk deruan ombak, kicauan burung dan bunyi tapak kaki di pesisir pantai berpasir. - Foto ihsan SHARLIN NASYIROH AZMI

Meneroka Busan sendiri turut membantu saya membina keyakinan.

Dengan bantuan aplikasi peta Naver Map dan pengangkutan awam, saya dapat bergerak mengikut rentak sendiri, menyusuri jalan beli-belah, meninjau produk kecantikan Korea dan menemukan tempat di luar senarai asal.

Bagi pelancong yang ingin meneroka destinasi baharu sendiri, perancangan awal juga boleh membantu memberikan lebih keyakinan untuk bergerak mengikut rentak sendiri.

Platform seperti Booking.com membolehkan pelancong mencari dan menempah penginapan mengikut keperluan serta bajet masing-masing, selain meneroka pengalaman tempatan dan pilihan pengangkutan untuk perjalanan mereka.

Bagi wanita yang melancong secara sendiri, ulasan daripada pengembara solo lain juga boleh membantu ketika membandingkan penginapan, termasuk dari segi keselesaan dan pengalaman tetamu terdahulu.

Melalui ciri Genius di Booking.com, pengguna yang layak turut boleh menikmati diskaun bagi penginapan yang mengambil bahagian. Pada Tahap 1, diskaun yang ditawarkan ialah 10 peratus bagi tempahan penginapan yang layak, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

Booking.com turut membawa peserta menyertai kelas memasak di studio I LOVE HANSIK, tempat mereka menyediakan bibimbap vegetarian. Peserta boleh meminta peralatan dan bahan masakan disesuaikan mengikut keperluan  masing-masing.
Booking.com turut membawa peserta menyertai kelas memasak di studio I LOVE HANSIK, tempat mereka menyediakan bibimbap vegetarian. Peserta boleh meminta peralatan dan bahan masakan disesuaikan mengikut keperluan masing-masing. - Foto ihsan SHARLIN NASYIROH AZMI

Kemudahan sedemikian dapat membantu pelancong menguruskan beberapa aspek perjalanan dalam satu platform, sekali gus memberikan lebih ruang untuk mereka menumpukan perhatian kepada pengalaman yang ingin diterokai sepanjang berada di destinasi pilihan.

Selain meneroka bandar melalui jalan-jalan dan kedai-kedainya, saya turut berpeluang melihat sisi lain budaya kecantikan Korea menerusi kunjungan ke sebuah salun kecantikan di Busan.

Di situ, saya mendapat tahu bahawa selebriti Korea turut mendapatkan khidmat dandanan rambut dan solekan di salun tersebut sebelum menghadiri upacara pembukaan Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF).

Selama ini, daya tarikan kecantikan Korea mungkin lebih mudah dikaitkan dengan produk penjagaan kulit dan alat solek yang memenuhi rak kedai. Namun, kunjungan ke salun membuka ruang untuk melihat satu lagi sisi industri kecantikan Korea, iaitu kepakaran jurudandan dan jurusolek yang membantu mempersiapkan penampilan seseorang.

Meskipun perjalanan di Busan memberi ruang untuk memperlahankan langkah dan menikmati perkara-perkara kecil, saya turut berpeluang menyaksikan bandar itu dalam suasana yang berbeza ketika BIFF berlangsung pada minggu yang sama.

Di sebalik kemeriahan upacara pembukaan, saya berpeluang menonton tayangan perdana filem ‘The Table: Day and Night’ di Pusat Pawagam Busan. Pusat itu menawarkan pengalaman menonton filem di teater luar.

Filem itu menyentuh tentang bagaimana hubungan antara manusia terbentuk dan dipelihara. Ia membuat saya memikirkan bagaimana hubungan yang bermakna sering terjalin melalui detik-detik biasa, termasuk ketika duduk semeja, berkongsi cerita atau sekadar meluangkan masa bersama di sebuah kafe.

Barangkali, di sebalik kesibukan kita mengejar pengalaman baharu ketika melancong, hubungan sesama manusia itulah yang menjadikan sesuatu pengalaman lebih bermakna.

Sepanjang berada di Busan, saya belajar bahawa perjalanan tidak semestinya perlu dirancang dengan terperinci untuk meninggalkan kesan yang mendalam.

Ada kalanya, pengalaman yang paling diingati hadir daripada perkara yang tidak dijangka, asalkan kita bersedia memperlahankan langkah dan membuka diri kepada pengalaman baharu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti