Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah filem Bollywood, belajar erti sabar daripada bekas suami, pelakon Aamir Khan

Filem, ‘Laapataa Ladies’, arahan Kiran Rao, selami dilema dikongkong jangkaan orang
May 13, 2024 | 5:30 AM
Pengarah filem, Kiran Rao, banyak belajar erti kesabaran dan memupuk etika kerja yang memudahkan kerja orang lain daripada bekas suaminya,  pelakon, Aamir Khan.
Pengarah filem, Kiran Rao, banyak belajar erti kesabaran dan memupuk etika kerja yang memudahkan kerja orang lain daripada bekas suaminya, pelakon, Aamir Khan. - Foto AFP

Walaupun mereka bukan lagi suami isteri, pengarah filem Bollywood, Kiran Rao, tetap menganggap bekas suaminya, Aamir Khan, sebagai guru yang banyak mengajarnya tentang dunia perfileman.

Kiran, 50 tahun, mendapat pujian setelah mengarah filem, Laapataa Ladies, yang dibintangi Nitanshi Goel, Sparsh Shrivastav dan Pratibha Ranta, pada 2023.

Filem terbitan bersama Aamir, 59 tahun, membawa penonton ke kawasan desa dengan cita-cita sederhana watak-wataknya untuk meneruskan kehidupan.

Anda mampu tersenyum melihat gelagat si polis yang makan rasuah tetapi kembali ke jalan benar setelah menyedari perbuatannya hanya merugikan.

Ikuti lima soalan yang diajukan majalah Filmfare kepada Kiran.

Soalan (S): ‘Laapataa Ladies’ menerima pengiktirafan dan pujian. Apakah yang dapat dibawa pulang selepas menyaksikan filem ini?

Kiran: Saya rasa penonton dapat kaitkan diri mereka dengan watak-watak yang mempunyai banyak dilema, impian dan pergelutan hidup. Ini kisah kemanusiaan di desa. Impian gadis desa dan kisah cinta seorang budak lelaki adalah yang menyentuh perasaan penonton.

S: Anda memadankan filem anda daripada kisah serius tulisan Biplove Goswami. Adakah komedi dapat menyampaikan mesej dengan lebih mendalam?

Kiran: Isu yang diteroka adalah sesuatu yang pernah dikupas dalam filem silam. Ia bukan sesuatu yang baru. Tetapi cara kami menyampaikan idea dan gagasannya sangat segar. Kami menyampaikannya menerusi humor, satira dan watak aneh untuk membolehkan orang ramai menyelami maksud yang tersirat. Komedi adalah saluran berkesan. Anda tidak duga sesuatu akan berlaku kerana idea disampaikan secara santai.

S: Watak yang Ravi Kishan bawa itu hebat. Kami dengar Aamir berminat bawa watak itu. Mengapa pilih Ravi?

Kiran: Sebab saya dan pasukan saya berasa dengan kehadiran Aamir, orang ramai akan menaruh jangkaan tinggi buat filem ini. Kami bimbang mereka mahukan lebih daripada filem ini. Justeru, tiada jangkaan apa-apa yang penonton letakkan apabila Ravi bawa watak utama. Kami mahukan watak yang sukar diramal gerak-gerinya. Ravi berjaya menghidupkan watak sedemikian.

S: Walaupun filem ini kisah desa, ia tetap dekat di hati anda sebagai wanita bandar. Mengapa?

Kiran: Sebagai wanita, saya berasa saya selalu terikat dengan jangkaan orang ramai. Kadangkala terasa macam saya nak larikan diri daripada bebanan jangkaan orang, tanggungjawab dan bermacam amanah saya. Ramai yang rasa sebegitu sebab kita terperangkap dalam hidup. Apabila dua wanita dalam filem ini secara tidak sengaja mendapati mereka bebas daripada jangkaan orang, ia menjadi satu permulaan yang baik. Kalau diberi peluang memulakan kehidupan baru, ada banyak pilihan yang boleh diambil. Potensi untuk saya meneroka apa yang boleh dilakukan wanita dalam filem ini membuatkan saya teruja.

S: Apakah yang ingin anda nyatakan tentang Aamir? Bagaimana beliau mencorak hidup anda?

Kiran: Saya banyak belajar daripada Aamir. Beliau bertindak mengikut kepercayaan dirinya. Beliau tidak pernah buat sesuatu yang dirasakan salah. Beliau jujur, penyabar, murah hati dan penyayang. Saya banyak belajar erti kesabaran daripadanya. Saya wanita yang tidak boleh duduk diam. Aamir mengajar saya erti bersabar, tidak gopoh-gapah dan cekal. Beliau menerapkan dalam diri saya etika kerja dan cara sebaiknya menangani ragam orang sekeliling.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg