Penggunaan bahasa Melayu generasi muda: Minat ada, yakin tiada
Penggunaan bahasa Melayu generasi muda: Minat ada, yakin tiada
Kunci utama usaha sepadu keluarga, sekolah, masyarakat bagi galak penggunaan
Ramai pelajar Melayu tidak kurang minatnya terhadap bahasa ibunda, tetapi sering gentar menggunakannya kerana takut tersilap, kata beberapa pendidik di sini.
Menurut guru dan penyedia tuisyen Bahasa Melayu, masalah itu bukan berpunca daripada sikap tidak peduli, tetapi lebih kepada halangan psikologi akibat perubahan persekitaran rumah dan pengaruh digital yang makin meluas.
Ketua Mata Pelajaran/Sokongan Pendidikan di Sekolah Menengah Woodlands Ring, Encik Zulhafiz Zainal, berkata ramai pelajar membesar dalam suasana di mana bahasa Inggeris menguasai bidang akademik dan profesional, lantas membentuk anggapan tentang betapa pentingnya bahasa Melayu dalam kehidupan sebenar.
Namun, tegasnya, ini tidak bererti pelajar kurang minat, sebaliknya keyakinan mereka tercalar apabila bahasa Melayu dirasakan terlalu rumit atau sukar dicerna.
“Jika mereka menghadapi masalah dengan perbendaharaan kata rumit atau terlalu risau tentang ketetapan tatabahasa, kekecewaan boleh berlaku dan tumpuan mereka beralih daripada komunikasi kepada ‘melakukannya dengan betul’.”
“Penekanan yang berlebihan kepada nuansa linguistik tanpa konteks yang mencukupi kadangkala boleh membayangi kegembiraan menggunakan bahasa tersebut,” jelas Encik Zulhafiz.
Bagi menyahut cabaran ini, para pendidik mula meneroka pendekatan berbeza untuk menjadikan bahasa Melayu lebih dekat dengan pelajar.
Guna teknologi, kegiatan luar bagi pupuk minat
Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Commonwealth, Cik Nur Amalina Shalan, berpendapat pelajar lebih teruja menggunakan bahasa Melayu apabila diberi ruang dalam konteks yang tulen.
Jelasnya, pengalaman seperti kembara ilmu atau kunjungan ke rumah jagaan warga emas melalui program Nilai dalam Tindakan (VIA) membuka peluang kepada pelajar menggunakan bahasa ibunda dalam keadaan sebenar, sambil memupuk kematangan diri.
Di samping itu, penggunaan Teknologi Pendidikan (EdTech), alat interaktif dan pendekatan seperti gamifikasi, serta lawatan ke tempat warisan atau bilik berita, turut menyemarakkan pelajar bertutur dalam bahasa ibunda secara lebih giat, tambah beliau.
“Pelajar gembira berbahasa Melayu ketika berinteraksi dengan warga emas atau semasa mengendalikan kegiatan kebudayaan seperti dikir barat dan tarian Melayu.
“Di luar sekolah, pertubuhan seperti Berita Harian, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), dan EDN Media mengadakan pelbagai pertandingan yang menjadi medan bagi pelajar menggunakan bahasa Melayu dengan penuh bersemangat, sama ada secara lisan atau penulisan,” terang Cik Nur Amalina.
Berkongsi pandangan yang sama, Penyelaras Jabatan Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Wellington, Encik Muhamad Shahzulhari Johari, menegaskan bahawa pelajar amat teruja apabila pembelajaran Bahasa Melayu disuntik dengan teknologi.
Ini merangkumi video, permainan bahasa, aplikasi interaktif seperti Kahoot atau Wordwall, dan wadah pembelajaran digital seperti Ruang Pembelajaran Pelajar (SLS).
Selain itu, katanya, penglibatan dalam kegiatan langsung dan interaktif seperti drama, penceritaan, atau persembahan membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara lebih semula jadi dan mendalam.
“Pengalaman sebegini meninggalkan impak yang lebih kuat, terutamanya apabila ia dikaitkan dengan jati diri dan warisan budaya melalui acara seperti Bulan Bahasa atau pertandingan berbalas pantun,” terang Encik Shahzulhari.
Percampuran bahasa semasa perbualan
Para pendidik turut menyedari pelajar sering ‘beralih kod’ (code switch) atau bertukar-tukar antara dua atau lebih bahasa ketika berbual, bergantung pada keadaan dan topik yang dibincangkan.
Encik Shahzulhari menjelaskan bahawa percampuran bahasa itu lebih ketara apabila pelajar membahaskan topik kontemporari seperti teknologi atau permainan.
“Ini kerana kebanyakan istilah dalam topik tersebut sukar dicari padanan bahasa Melayu yang sesuai.
“Sebenarnya, pelajar sekolah lebih selesa menggunakan perkataan yang sudah sebati dengan mereka, tidak kira sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris,” ujar Encik Shahzulhari.
Menurut Encik Zulhafiz pula, ramai pelajar cenderung berfikir terutamanya dalam bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa pengantar utama merentasi mata pelajaran.
Apabila pelajar tidak dapat mengingati perbendaharaan kata bahasa Melayu, mereka secara semula jadi memasukkan perkataan bahasa Inggeris, tambah beliau.
“Ini selalunya berlaku secara spontan dan bukannya disengajakan kerana sesetengah istilah berkaitan dengan perasaan, budaya digital, atau konsep trend, kadangkala lebih mudah diakses dalam bahasa Inggeris.
“Contohnya, daripada menggunakan perkataan ‘kecewa’, pelajar mungkin berkata ‘irritating lah’ kerana ungkapan itu terasa lebih serta-merta atau tepat secara emosi bagi mereka,” kata Encik Zulhafiz.
Menurut Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) ‘peralihan kod’ boleh mencerminkan kecekapan dwibahasa, namun jika penggunaan bahasa Inggeris terlalu dominan, generasi muda mungkin kehilangan keupayaan bertutur dalam bahasa Melayu secara lengkap dan formal.
Singkatan dan bahasa pasar dalam penulisan
Dari segi mutu penulisan pelajar pula, Pengarah Edufront Learning Centre, Cik Hayati Abdullah, berkata ramai pelajar lemah dalam kosa kata dan menghadapi cabaran menyusun ayat gramatis.
Beliau turut menarik perhatian kepada penggunaan singkatan dan bahasa tidak baku dalam penulisan.
“Perkataan seperti ‘nak’ dan ‘tak’ sering digunakan. Ini tidak seteruk slanga, tetapi tetap tidak diterima dalam penulisan rasmi,” katanya.
Di samping itu, Pengasas Premier Malay Tuition, Cik Sarinah Isa, mengaitkan fenomena tersebut dengan pengaruh media sosial.
“Media sosial kerap mempunyai penggunaan bahasa pasar seperti ‘amek’ untuk ‘ambil’, dan ‘tau’ untuk ‘tahu’.
“Pendedahan seperti ini menyebabkan pelajar menggunakan istilah serupa tanpa mereka menyedari,” kongsinya.
Meskipun begitu, Pengasas Bersama Ungu Pen, Cik Maria Mahat, percaya penggunaan bahasa santai, terutama dalam buku cerita, ada tempatnya seperti dalam dialog.
“Misalnya, perkataan seperti ‘aje’. Pendekatan ini membantu cerita terasa lebih dekat dengan pembaca muda tanpa mengorbankan mutu bahasa.
“Namun, penulis buku perlu peka terhadap lingo generasi muda. Sebagai contoh, frasa tradisional seperti ‘perutnya berkeroncong’ mungkin kurang difahami pembaca muda.
“Jadi, pendekatan dan pilihan kata lebih relevan diperlukan untuk menjadikan cerita mudah didekati,” dedah Cik Maria.
Landskap penggunaan bahasa Melayu
Penggunaan istilah tidak baku ini, kata para pendidik, bukan sahaja menjejaskan mutu penulisan pelajar, malah mencerminkan kekurangan pendedahan kepada bahasa Melayu baku dalam kehidupan seharian.
Menurut MLLPC, cabaran itu berpunca daripada dominasi bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan, persekitaran kerja, serta kandungan media dan hiburan.
“Walaupun belia kita cekap dalam situasi formal, hakikatnya mereka kurang menggunakan bahasa Melayu dalam lingkungan harian mereka,” kongsi badan itu.
Justeru, MLLPC melancarkan pelbagai program tersusun untuk menyemai penggunaan bahasa Melayu di luar kelas, meliputi peringkat prasekolah hingga posmenengah, melibatkan guru dan masyarakat.
Contohnya, program Kembara Nusantara (lawatan pendidikan ke Taman Haiwan Singapura), pertandingan bacaan koral Katapella (gabungan nyanyian harmoni dan koreografi berstruktur), serta kuiz Cepat Tepat (menguji penguasaan bahasa dan budaya melalui format interaktif).
Selain itu, inisiatif seperti Peraduan Menulis Cerpen Orang Singapura diwujudkan untuk memupuk bakat penulisan kreatif.
Acara seperti Fiesta Bahasa dan Fiesta Kesantunan pula menyediakan ruang interaktif dan reruai kegiatan yang menggalakkan penggunaan bahasa secara langsung.
Meskipun cabaran memastikan bahasa Melayu terus relevan di era globalisasi kian terasa, MLLPC menegaskan bahawa kunci utamanya adalah usaha bersepadu daripada keluarga, sekolah, dan masyarakat.
“Ia menuntut iltizam seluruh masyarakat untuk mewujudkan persekitaran cergas yang merangsang penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu.
“Kolaborasi antara ketiga-tiga institusi ini amat mustahak demi memastikan bahasa Melayu terus mekar dan kekal sebagai bahasa yang hidup dan dinamik dalam masyarakat,” ujar mereka.

