Usah biarkan bahasa Melayu terus terpinggir
Tolak guna bahasa Melayu amalan potensi runtuhkan tradisi, adat dan jati diri Melayu
Saya ingin mengulas tentang penggunaan bahasa Melayu di Singapura yang pada hemat saya semakin terhakis dan lebih menyedihkan, kian digantikan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.
Sebagai seorang akademik di universiti tempatan, kebimbangan ini semakin ketara apabila dalam satu pertemuan dengan seorang pemimpin Melayu Singapura, beliau menyatakan kebanyakan orang Melayu Singapura tidak lagi berminat terhadap bahasa Melayu dan sekiranya diberi pilihan, akan memilih bahasa lain sebagai bahasa kedua.
Apa yang lebih membimbangkan, terdapat keluarga Melayu yang hanya menumpukan perhatian kepada bahasa Inggeris sehingga langsung tidak mengajar sepatah pun perkataan bahasa Melayu kepada anak mereka.
Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak membantah penggunaan bahasa Inggeris.
Apa yang ingin ditegur adalah sikap segelintir keluarga Melayu yang menolak penggunaan bahasa Melayu secara keseluruhan, malah menganggapnya sebagai bahasa tidak penting.
Anggapan ini bukan sahaja silap, malah boleh dianggap sebagai satu amalan yang berpotensi meruntuhkan tradisi, adat dan jati diri Melayu.
Bahasa Melayu ialah bahasa yang sarat dengan sejarah, nilai, adab dan kesantunan tinggi.
Marilah kita menyingkap secara ringkas sejarah bahasa Melayu agar kita dapat memahami pembentukannya dan mengapa bahasa ini wajar disanjungi serta dipertahankan.
Sejarawan berpendapat bahawa bahasa Melayu telah digunakan sejak sekitar abad pertama Masihi di wilayah Nusantara, khususnya di Borneo Barat.
Antara bukti awal penggunaan bahasa Melayu adalah penemuan prasasti di Palembang, Sumatera, bertarikh 1 Mei 683 Masihi.
Inskripsi ini menandakan permulaan penggunaan bahasa Melayu secara bertulis di alam Melayu.
Semasa pemerintahan Kesultanan Melaka sekitar abad ke-15, bahasa Melayu digunakan secara meluas sebagai bahasa rasmi dan lingua franca dalam perdagangan di Selat Melaka, yang ketika itu merupakan salah satu pusat perdagangan paling aktif di dunia.
Peranan ini menjadikan bahasa Melayu bahasa perhubungan utama antara pedagang dari pelbagai bangsa dan wilayah.
Sehingga hari ini, bahasa Melayu digunakan di Brunei, Malaysia, Singapura, Indonesia, Timor-Leste, selatan Thailand dan selatan Filipina.
Bahasa Melayu, atau bahasa Indonesia dalam konteks Indonesia, merupakan bahasa rasmi negara Indonesia dan diiktiraf sebagai bahasa perdagangan dan pentadbiran.
Malaysia, Brunei dan Singapura pula mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara masing-masing.
Di Filipina, bahasa Melayu pernah digunakan secara meluas di wilayah Palawan, Sulu dan sebahagian Mindanao sebagai bahasa perdagangan.
Malah, sebelum penjajahan Sepanyol, satu inskripsi yang diperbuat daripada tembaga bertarikh sekitar 900 Masihi telah ditemui dan mengandungi unsur bahasa Melayu, sekali gus membuktikan keluasan pengaruh bahasa ini di rantau tersebut.
Di Australia pula, bahasa Indonesia telah diajar secara rasmi di sekolah dan universiti sejak 1950-an.
Pada 2023, bahasa Indonesia juga telah diiktiraf sebagai salah satu bahasa yang digunakan dalam Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), satu pengiktirafan penting terhadap kedudukan bahasa rumpun Melayu di peringkat antarabangsa.
Inilah secara ringkas sejarah dan kedudukan bahasa Melayu yang seharusnya menimbulkan rasa bangga dalam diri kita sebagai masyarakat Melayu.
Pada pandangan saya, sudah tiba masanya institusi sedia ada seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura serta pertubuhan berkepentingan lain – termasuk persatuan belia dan kesusasteraan Melayu – digabungkan atau digerakkan secara lebih tersusun bagi menubuhkan satu organisasi payung yang khusus untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura.
Saya yakin pemerintah akan memberikan sokongan sewajarnya melalui kementerian dan agensi berkaitan demi memastikan usaha ini berjaya.
Akhir kata, saya ingin menyeru seluruh masyarakat Melayu Singapura agar kita bersama-sama mempertahankan dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu demi generasi akan datang.
Semoga bahasa warisan kita ini terus dihormati, dipelihara dan dijadikan sumber jati diri oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini.
Penulis ialah seorang pendidik, jurulatih dan pemimpin akademik dengan lebih dua dekad pengalaman profesional merentasi Singapura, Malaysia dan Australia. Beliau pernah berkhidmat sebagai Profesor Madya dalam bidang Kewangan dan Pengurusan Strategik di sebuah universiti di Australia, serta memegang jawatan kepimpinan utama dalam organisasi antarabangsa yang berwibawa, termasuk sebagai Pengarah Fasilitasi Perdagangan di Sekretariat Asean yang berpusat di Jakarta.

