Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pengiktirafan juri ‘America’s Got Talent’ buat Cakra Khan sebak

Bintang Indonesia bina tekad baru, luput kenangan gagal dalam peraduan realiti di negara sendiri
Jul 21, 2023 | 05:30 AM



Bagaikan satu permulaan baru yang akan membuka peluang rezeki untuknya menebarkan sayap seni ke peringkat antarabangsa.

Inilah yang dirasakan penyanyi Indonesia bersuara serak-serak basah lagi unik, Cakra Khan, 31 tahun, atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, ketika berpeluang memasuki peraduan realiti America’s Got Talent (AGT) di Auditorium Sivik Pasadena sekitar California, Amerika Syarikat, pada Selasa lalu.


Sebagai seseorang yang pernah beberapa kali gagal dalam peraduan realiti di Indonesia termasuk Indonesian Idol, pengiktirafan empat pengadil peraduan tersebut yang setiap seorang memberinya pujian dan satu kata ‘Yes’ (untuk mara ke pusingan selanjutnya) sangat bermakna buatnya.


Tambahan pula ketika sesi uji bakat itu berlangsung, ia serentak dengan sambutan 1 Muharam (tahun baru Islam) yang bagi Cakra menandakan lembaran baru.

Lebih syahdu lagi, dalam hantaran Instagramnya, Cakra berkata beliau akan selalu mengenang 1 Muharam sampai bila-bila kerana pada tarikh tersebut tiga tahun lalu, beliau kehilangan bapa tercinta, Encik Hermana, yang banyak mendorongnya dan menjadi tulang belakang untuknya maju dalam bidang seni.

“Katanya 1 Muharam adalah hari saya berada di pentas AGT. Ia juga hari di mana papa saya meninggal tiga tahun lalu. Alangkah bangganya kalau papa saya ada untuk tonton saya di pentas besar AGT. Saya sudah kotakan impian papa,” tulisnya.


Allahyarham Hermana meninggal dunia kerana strok yang menyerangnya buat kali kedua. Pada ketika itu, Cakra terpaksa bergegas pulang ke kampung halamannya di Pangandaran, Jawa Barat, serta membatalkan persembahan yang patut dijayakannya untuk bersama bapanya pada saat-saat akhir.

Dalam satu wawancara terdahulu bersama Berita Harian (BH), Cakra sebak mengenang bapanya yang tidak pernah memintanya berhenti menyanyi walau gagal diterima dalam peraduan realiti Indonesia sehinggalah bergelar artis popular atas usahanya sendiri.


Ibunya, seorang pendidik yang sudah bersara, pernah memintanya mencari kerjaya lain dan berhenti menyanyi sahaja kerana setiap percubaan memasuki peraduan realiti menemui kegagalan.

Kata Cakra dalam wawancara bersama BH:

“Detik yang paling meruntun jiwa saya adalah ketika ayah saya meninggal. Walau sudah tiga tahun Almarhum ayah pergi, ia satu detik yang payah diharungi seorang anak, lebih-lebih lagi kerana ayah antara orang pertama yang mendorong saya untuk menjadi penyanyi. Beliau bersemangat untuk bikin saya selesa dengan kerjaya saya.

“Beliau sebahagian perjalanan seni saya sebagai penyanyi, yang mencorak saya dengan pesanan yang saya pegang hingga hari ini iaitu terus menyanyi untuk membahagiakan dan menghiburkan hati orang lain.

“Rasa pilu dan sakitnya kehilangan ayah akan selalu ada di sisi. Ia takkan pernah pergi.
“Saya sudah hilang separuh jiwa saya dan kini saya diamanahkan menjaga sebahagian lagi jiwa saya iaitu ibu saya di kampung.”

Di dalam AGT, Cakra yang pernah memenangi Anugerah Pendatang Baru Terbaik pada Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2013, menyanyikan lagu Make It Rain, dendangan asal Foy Vance, yang turut diberi sentuhan segar oleh Ed Sheeran.


Namun, juri Simon Cowell yang selalunya dikenali dengan jolokan ‘Si Mulut Laser’ pula bersuara: “Saya rasa anda memiliki suara yang hebat tetapi saya tak suka keratan lagu ini.” Persembahan Cakra terhenti separuh jalan apabila Cowell menggunakan isyarat tangan untuk memintanya berhenti menyanyi.

“Awak bawa lagu lain malam ini?” tanya Cowell di tengah-tengah penonton lain memekak kerana bingit dengan tindakannya.

Menurut Cakra, beliau sukakan malah dewasa dengan lagu Bob Marley. Pilihannya adalah lagu klasik No Woman, No Cry. Katanya lagi, sebelum beliau ke sekolah, bapanya dahulu akan memutar lagu Bob Marley untuknya.


Kali ini, penonton dan juri termasuk Cowell lebih daripada berpuas hati.

“Jarang dapat kita dengar suara seperti ini. Saya tentunya sukakan suara anda. Suka sangat,” kata Cowell.

Rakan juri, Heidi Klum, pula menambah: “Anda mempunyai suara sangat unik, sangat seksi dan sangat garau. Wow, suara anda memang luar biasa dan menyerlah sehinggakan kita yang mendengar takkan lupa. Ia sangat, sangat istimewa.”

Sepanjang sesi uji bakat AGT itu, Cakra menampakkan kerendahan hati yang sentiasa menjadi basahan hidupnya. Beliau sentiasa nampak tersenyum, menghormati orang lain dan tenang.


Apabila ditanya apa yang akan dibuat dengan wang kemenangan AGT sebanyak AS$1 juta ($1.3 juta) jika beliau menang, Cakra melahirkan niat murninya membina sebuah rumah perlindungan buat haiwan, sesuatu yang mengagumkan juri AGT.


Nyala rasa Cakra adalah merawat dan menjaga penuh kasih sayang lembu, ayam, arnab dan ikan yang dipelihara ibunya, Cik Entik Trisuyatmi, di kampung mereka.

Memberitahu BH, Cakra berkata:

“Saya belajar untuk menggunakan setiap waktu terluang dengan penuh bermanfaat. Maka idea untuk membina sebuah rumah perlindungan haiwan itu ingin saya realisasikan jika ada rezeki. Ia merupakan niat kedua saya selepas menanam tekad ingin hantar ibu dan keluarga saya ke Makkah untuk ibadah haji dalam masa terdekat,” ujarnya

Cakra adalah peserta Indonesia kedua yang menggegarkan dunia dalam AGT. Peserta sebelum ini Putri Ariani yang cacat penglihatan membuat juri dan penonton terkesima dengan suara bertenaganya bak ‘powerhouse’ seperti Whitney Houston dan Mariah Carey.


Beliau juga pandai mencipta lagu dan bermain piano. Lagu ciptaan aslinya Loneliness mendapat sambutan ramai di aplikasi TikTok.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >