Bagi pasangan Melayu/Islam yang mahu berkahwin awal, naib kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof, menasihatkan bakal mempelai agar persiapkan diri dengan ilmu.
“Hadir ke kursus rumah tangga yang dapat beri bimbingan tentang tanggungjawab dan cara mengatasi cabaran sebagai ibu bapa.
“Kenal pasti agensi-agensi yang dapat beri sokongan kepada pasangan muda.
“Tingkatkan pemahaman terhadap ilmu agama dengan menghadiri kelas-kelas di masjid atau institusi agama agar dapat menjadi contoh yang baik dalam membimbing keluarga,” ujarnya.
Anggota panel penasihat tentang keibubapaan Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), Dr Daniel Fung, berkata perkahwinan dan keibubapaan awal adalah keputusan yang sangat peribadi yang membawa peluang dan tekanan.
Dr Fung, seorang pakar psikiatri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kesihatan Mental (IMH), berkata antara kelebihan perkahwinan dan keibubapaan awal termasuk keupayaan meningkat umur di sisi anak-anak, membina daya tahan bersama dan menikmati lebih banyak tahun-tahun aktif sebagai ibu bapa atau datuk nenek.
Namun ia juga boleh menyebabkan tekanan emosi dan kewangan, terutama apabila kematangan, sistem sokongan atau kestabilan kerjaya belum ditetapkan.
“Ibu bapa muda hari ini menghadapi cabaran unik, daripada kos sara hidup dan perumahan yang tinggi kepada mengharungi tekanan kesihatan mental yang diperburukkan oleh media sosial. Ramai juga mengalami pengasingan sedang rangkaian sokongan tradisional berubah atau mengecil,” kata Dr Fung.
“Mengimbangi keluarga dengan aspirasi peribadi atau kerjaya memerlukan perancangan, komunikasi dan sokongan. Ia tidak mudah, tetapi ia boleh dilakukan; terutama dengan pasangan yang berkongsi tanggungjawab, tempat kerja yang menghargai fleksibiliti dan masyarakat yang tidak menghakimi tetapi meningkatkan semangat,” tambah bapa lima anak dan datuk lima cucu itu.
Dalam masyarakat Melayu/Islam di Singapura, antara program yang dapat membantu pasangan yang baru bernikah, termasuk pasangan muda, ialah program Bersamamu yang diperkenalkan pada 2019.
Di bawah program itu, pasangan yang mendaftar untuk perkahwinan secara automatik disertakan ke dalam Bersamamu.
Pasangan boleh mendapatkan sokongan daripada kadi atau naib kadi daripada sudut nasihat agama atau rumah tangga semasa sesi bersemuka sebelum nikah ataupun selepas bernikah dalam dua tahun pertama perkahwinan mereka, ujar Ustaz Muhammad Zuhaili.
Selain itu, Projek Arif diperkenalkan pada 2021 untuk menyokong pasangan dalam persediaan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga, serta mengoptimumkan kesihatan ibu dan perkembangan anak.
Projek perintis itu merupakan kerjasama antara Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Ia sebahagian daripada program Bersamamu, inisiatif ROMM di bawah rangka kerja M Kuasa Tiga (M³).
Sementara itu, pasangan muda yang bernikah di bawah umur 21 tahun turut diwajibkan mengikuti program Inspirasi.
“Perkhidmatan ini direka khas untuk pasangan muda dan ibu bapa mereka agar dapat membuat keputusan yang bijak mengenai perkahwinan, serta membantu pasangan muda membuat persiapan menuju kehidupan berkeluarga.
“Di samping itu, pasangan juga boleh memanfaatkan pelbagai program sokongan dalam 10 tahun pertama perkahwinan mereka,” tambah Ustaz Muhammad Zuhaili.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg