Usah tergesa-gesa mengejar kejayaan sehingga tidak sabar menanti hasil satu kerja seni diterima ramai dan mendapat pengiktirafan tertinggi.
Kadangkala penantian 20 tahun itu perlu untuk benar-benar merasakan impak pengabdian pada seni yang dicintai itu ‘menjadi’ dengan naskhah yang ditulis dan pengorbanan yang selama ini dilaburkan menyentuh jiwa golongan yang menghargai kerja kreatif.
Begitulah pegangan anak seni Singapura, M. Saffri A. Manaf, 71 tahun, yang tidak pernah lesu dan lelah menghasilkan skrip drama radio dan televisyen sepanjang lebih lima dekad berkarya.
Beliau juga merupakan pelakon pentas, drama radio dan televisyen yang sering diberi peranan warga emas meskipun usianya belum senja ketika awal-awal menyertai bidang seni pada 1969.
Kreativitinya yang mengalir dan sentiasa relevan di alaf digital ini kerana pernah mencuba rakaman dalam talian sewaktu pandemik, dibantu generasi pelapis seperti anak sulungnya, M Fadlin M Saffri dan aktivis teater, Saiful Amri Ahmad Elahi diiktiraf pada Sabtu malam dengan Anugerah Perdana Emas (Pencapaian Sepanjang Hayat) pada acara gemilang Pesta Perdana di Teater Mediacorp.
Saffri diingati ramai sebagai insan tidak lokek ilmu yang membawa kesegaran pada rakaman drama corong radio, Pentas Radio, dengan menggunakan peralatan dapur dan bermacam prop lain yang digali dari begnya untuk memberi kesan realistik pada bunyian aktiviti harian seperti mengacau kopi, mengetuk pintu atau tapak kaki berjalan.
Sebagaimana katanya: “Walau ada kaedah bunyian digital untuk digunakan bagi kacau kopi dan sebagainya, saya tetap suka gunakan cara tradisional. Penonton memang tak nampak, tapi bunyian asli ini yang saya ingin mereka dengar dan hadam, agar benar-benar dibawa dalam konteks realiti drama radio itu.”
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di rumahnya di Woodlands, Saffri, bapa dua anak yang juga sudah bergelar datuk tiga cucu berkata:
“Saya bersyukur dengan anugerah yang mengiktiraf sumbangan saya dalam bidang penulisan skrip dan lakonan. Perjalanannya memang panjang, iaitu selama lebih 50 tahun. Tak pernah pula saya rasa nak berhenti menulis walaupun tugas ini memerah jiwa raga dan otak sampai penat.
“Kadangkala terkejar-kejar dengan masa dan telefon berdering-dering tanya bila skrip nak siap. Orang rumah yang selalu ingatkan, ‘Awak ada skrip nak dibereskan sekian-sekian hari. Awak semua orang minta, cakap boleh’... jangan nanti pening kepala cari idea. Tapi begitulah saya. Tak pernah tolak rezeki dan suka cabar diri sendiri kerana tahu Allah akan beri saya jalan menulis sebaik yang saya mampu.
Isterinya, Cik Nursiah Hamdan, seorang jururawat 60-an tahun, pula mendorongnya dengan menjadi teman berbincang plot yang menarik bagi skrip yang dihasilkan. Ini memandangkan Cik Nursiah rajin menonton drama negara jiran di televisyen.
Bagi Saffri, darah seni dan minat menyanyi dan berlakon bermula dari sekolah rendah apabila beliau kerap diminta gurunya, Cikgu Aziz Fakir, agar menyanyi untuk acara sekolah.
Di Sekolah Menengah Telok Kurau pula, beliau dilantik sebagai Presiden Persatuan Bahasa dan Persuratan Melayu yang menggilap bakat menyanyi dan berlakon.
“Kalau kini orang kaitkan diri saya dengan Pentas Radio, saya tidak nafikan memang saya suka dengar radio. Puas dengar dari radio transistor siaran berita dan pelbagai program lain yang diterbitkan. Saya suka dengar suara juruhebah ketika itu dan amati drama yang disiarkan.
“Ada drama seram hasil pena Allahyarhamha Jahlelawati. Beliau memang ikonik dan kalau berlakon drama seram pun ‘hidup’ sampai kita yang mendengar rasa ngeri.
“Kerana suka sangat dengan radio, saya memohon jadi juruhebah selepas sekolah tetapi diberitahu tiada tempat kosong. Saya kemudian ditawarkan jadi pelakon drama radio, selepas diwawancara Haji Hamid Ahmad yang berkhidmat sambilan dengan radio sambil bekerja di pasar raya Cold Storage.
“Aura orang dulu-dulu memang kuat. Pak Hamid memiliki suara ‘gentleman’ yang baik. Kita dengar program Menduga Akal yang dikelolakannya di samping siaran bangsawan, betul-betul dapat bayangkan personalitinya yang berwibawa,” kongsi Saffri.
Dengan berkawan bersama penulis skrip yang hebat seperti Jahlelawati serta ikon media seperti Dr Hussin Mutalib yang ketika itu penyampai berita dan isterinya, Salimah A. Samad, yang menerbitkan drama radio, banyak yang Saffri pelajari.
“Orang dulu-dulu biasanya mereka tak ajar secara langsung. Kita yang perlu tengok dan amati kerja seni mereka. Saya kaji skrip Jahlelawati. Saya banyak bertanya. Demi dapatkan ilmu sepanjang hayat, banyak pengorbanan masa. Saya ingat selepas tamat peperiksaan GCE peringkat ‘O’ , saya terpaksa bekerja untuk bantu ibu sara hidup dan pengajian adik-adik.
“Saya anak kelima dalam 10 beradik. Saya pernah jadi buruh binaan, angkat simen di Albert Street. Ayah saya meninggal muda kerana barah pada usia 55 tahun sekitar 1970, tak lama selepas dapat duit Tabung Simpanan Pekerja (CPF) ,” tambahnya.
Beliau berlakon buat kali pertama di radio menerusi naskhah sosial yang ditulisnya sendiri, Sirih Pinang Sudah Dihantar, Pinangan Sudah Diterima, yang diterbitkan Salimah.
“Isu-isu harian yang dihadapi keluarga, perihal kasta dan antara dua darjat yang menghalang sesebuah perkahwinan menjadi teras drama ini. Ada kisah lelaki tiada kerja tetap serta kebimbangan anak tiada masa depan diselongkar,” jelasnya.
Yang lucunya, Saffri berkata beliau yang ketika itu berusia belasan tahun diberi watak orang tua kerana dikatakan penerbit bahawa beliau memiliki suara orang tua.
“Kalau di televisyen pun, saya perlu warnakan rambut saya putih untuk bawa watak orang tua. Jadi kirakan saya dari dahulu sampai dah tua, asyik main peranan orang tua sahaja... tak pernah jadi hero. Sampaikan saya kata, saya ni ‘handsome’ macam ni pun, tetap orang lagi suka beri saya peranan orang tua!” selorohnya.
Dalam satu drama televisyen bertemakan mistik yang disiarkan pada petang hari, atas usulan Jahlelawati, beliau turut menjadi pelakon drama berkenaan yang meninggalkan kesan di jiwanya.
“Sebabnya, sampai sekarang, saya takut nak makan pisang merah. Walhal, ada banyak khasiat pisang. Drama itu mengisahkan kepercayaan mengenai kewujudan hantu dalam pisang merah itu.
“Jahlelawati memang beri impak pada penulisan saya. Apabila kita kenali orangnya, banyak yang dapat saya raih sehingga hasilkan tiga episod drama mengenai riwayat hidupnya yang misteri,” jelas Saffri lagi.
Saffri sentiasa bersemangat ingin belajar dan mencari pengalaman baru meskipun pernah menolak untuk menjadi Penduduk Tetap di Malaysia apabila diundang menulis skrip drama untuk syarikat HVD di seberang Tambak.
“Saya tak mampu nak tinggalkan keluarga di Singapura. Anak-anak masih kecil. Kebetulan pada waktu itu, karyawan televisyen, Encik Basir Siswo, nak perkenalkan sitkom pertama dalam bahasa Melayu di Singapura.
“Syarikat UTV International baru buka studio di Loyang. Ingin hasilkan sitkom Abang Long yang diterajui Allahyarham Alias Kadir. Kerana nak dapatkan formula percubaan, saya kembali belajar dengan mat salih Hollywood yang kini ahli silap mata, Michael Blum.
“Bahasa Inggeris saya tak begitu bagus. Saya tulis dalam bahasa Melayu, minta bantuan pelajar universiti terjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan diberikan kepada Michael untuk disemak. Saya pun nak bantu siswa ini dapatkan wang saku.
“Satu lagi kenangan yang tidak boleh dilupakan dalam penulisan skrip televisyen adalah apabila saya diminta siapkan skrip terjemahan untuk drama alih suara Jepun, Okami. Ketika itu, saya bekerjasama dengan syarikat Amir Khan International.
“Dahlah skrip Jepun tu panjang dan ditulis pada kertas besar macam kain saprah. Saya dapatkan bantuan pelajar Jepun yang ikut bapanya, seorang usahawan ke Singapura. Dialah yang tolong terjemahkan ke dalam bahasa Inggeris skrip Jepun ini. Pada masa ini, saya ingat pelakon Singapura seperti Junainah Jumari paling pandai buat lakonan alih suara atau ‘dubbing’ yang kedengaran tak canggung,” jelasnya.
Komedi menjadi genre cari makan Saffri yang akur bahawa inilah rencah penting untuk tarik ramai mendengar drama radio atau menonton drama televisyen dan pentas.
“Sekarang, kita dah tak dapat lagi budaya orang berpusu-pusu pergi panggung untuk tonton teater seperti era Panggung Negara dan pada zaman gemilang Panggung Victoria.
“Dulu, yang seronok kita boleh bikin Jenaka Bangsawan di kawasan kejiranan dengan idea bergenre saspens. Nampak topik macam serius dan seram, seperti jin dengan poster Mahadi Shor yang gah. Tapi apabila penonton datang, jin yang disaksikan adalah jin lembut! Humor itulah yang buat penonton terbahak-bahak ketawa sebab tak duga ada kejutan lucu.
“Kalau nak ikut bangsawan yang serius sahaja, bosanlah orang. Menariknya buat saya, kita dapat lihat evolusi bangsawan. Busana pelakon bangsawan dahulu dibuat sendiri... bukannya baju pengantin yang dipakai dalam bangsawan era moden,” tambah Saffri.
Beliau bagaimanapun tidak pernah mengabaikan fungsi sosial skrip drama yang dihasilkannya dan rasa bersyukur dapat bekerjasama dengan Persatuan Ain untuk menyebar kisah pedoman tentang penyakit dan pesakit barah.
“Sedikit sebanyak, kita dapat buka minda dan pupuk kesedaran buat masyarakat kita yang perlukan bantuan tetapi masih segan atau tidak tahu dari mana nak dapatkan bantuan apabila dilanda penyakit berat seperti barah,” ujarnya yang pernah memenangi Hadiah Sastera pada Anugerah Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) bagi naskhah Pentas Radio, Cahaya Di Hujung Senja.
Skrip ini dimuatkan dalam buku Begitulah Kata-Kata, terbitan Kementerian Pendidikan dan digunakan sebagai teks peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’.
Antara kepuasan Saffri sebagai penulis adalah apabila skrip yang dihasilkan turut menjadi bahan bacaan dan peperiksaan pelajar. Sekurang-kurangnya apa yang disisipkan sarat dengan ilmu sosiologi, psikologi, bahasa, agama, sastera dan perubatan dalam skrip seperti Cahaya Di Hujung Senja ini dapat ditinjau generasi muda dengan karya yang dicoret bukan setakat suka-suka atau tujuan ‘syok sendiri’.
“Saya sebenarnya bangga tengok anak didik saya sewaktu menjadi pensyarah teater di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Farhana M. Noor, kini di kaca televisyen dan membina namanya dalam bidang seni. Masa depannya sangat cerah.
“Saya juga gembira ada penggiat seni seperti Saiful Amri yang usahakan sesuatu yang kreatif di wadah digital, bersama anak saya Fadhlin di samping ajak orang lama seperti saya dan Nadiputra teruskan berkarya di dalam platform digital.
“Lama dahulu, saya diundang berlakon pentas Impenjarament yang ditulis Alin Mosbit. Saya terpegun dengan susunan kata-kata indah dalam naskhah ini. Kena botakkan kepala sebab watak saya jadi banduan. Saya kira kita ada ramai anak muda berbakat yang boleh diketengahkan dalam bidang penulisan teater dan drama televisyen tetapi itulah... belum ada dalam penulisan drama radio sedangkan medium ini masih relevan di sebalik bertambahnya wadah lain seperti podcast,” jelasnya.
Sebelum tirai bicara ditutup, Saffri merenung sejenak lantas teringatkan penglibatan arwah bapanya, Allahyarham Abdul Manaf Mohammad, sebagai pelakon tambahan dan penulis skrip bagi filem klasik Merdeka Film Productions pada 1961, Keris Sempena Riau, yang diarah oleh L. Krishnan dan dibintangi Abdullah Chik, Kasma Booty, Mustapha Maarof dan Salmah Ahmad.
“Mungkin dari situlah mengalirnya bakat menulis saya. Sememangnya ia satu nyala rasa yang membuka minda dan hati kita. Dahulu, kalau nak dapat idea untuk drama radio, saya suka duduk di Pasar Geylang dan curi-curi dengar dan perhatikan perbualan orang di pusat penjaja.
“Ada kisah yang boleh dijadikan iktibar saya masukkan dalam skrip drama. Tak sangka mereka yang ditinjau dari jauh hidupnya ini boleh dengar radio pula dan kenal saya. Tak berani nak datang lagi ke Pasar Geylang apabila gara-gara idea yang dicungkil dari kisah sebenar orang di Geylang, tak pasal-pasal saya kena kejar sebab dianggap menyindir mereka menerusi skrip drama saya. Walau apa pun, saya tak serik menulis kebenaran, asal ia memberi manfaat buat masyarakat kita renungkan,” tambah Saffri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg