TOKYO: Sejak 1 Julai, kemudahan riadah di Jepun telah melaksanakan langkah-langkah yang dapat membantu pengunjung rasa lebih dingin sedang negara tersebut bergelut dengan cuaca yang sangat panas.
Tokyo Disneyland di Urayasu, Wilayah Chiba, meningkatkan aliran air di permainan ‘Splash Mountain’ yang popular, lantas mengeluarkan lebih banyak semburan daripada biasa apabila permainan yang dinaiki menjunam ke dalam kawasan menyerupai lembangan air terjun.
Inisiatif yang dilakukan hanya pada musim panas sahaja dilaporkan melibatkan isipadu aliran air paling besar, yang akan menyebabkan percikan air membasahi bukan sahaja penumpang tetapi juga pengunjung berdekatan.
Universal Studios Japan (USJ) di Osaka, mula mengagihkan gula-gula garam kepada pengunjung buat pertama kali pada awal Julai.
Taman itu juga telah melanjutkan waktu operasi hingga ke sebelah petang agar dapat menggalakkan pengunjung untuk datang setelah cuaca panas semakin reda.
“Orang ramai sudah mula mengelak daripada keluar sewaktu musim panas.
“Kami perlu ambil langkah-langkah serius untuk mencegah orang ramai daripada dilanda strok haba,” kata seorang jurucakap USJ.
Di Yomiuriland, taman hiburan yang terletak di Inagi, Tokyo kesemua 42 gondola di roda ferris ‘Sky-Go-LAND’, yang dibuka pada Oktober 2024, dilengkapi alat hawa dingin yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan dengan selesa walaupun pada musim panas.
Permainan terdahulunya tidak mempunyai alat hawa dingin.
Ketiga-tiga kawasan rehat percuma di taman itu juga telah dilengkapi dengan alat hawa dingin.
Bilangan pelawat ke Tokyo Disneyland dan Tokyo DisneySea dari April hingga September 2024 ialah 12.2 juta, 300,000 lebih kurang berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, suhu purata di Tokyo dari Julai hingga September 2024 ialah 28.1 darjah C, 2.8 darjah lebih tinggi daripada purata tempoh tersebut.
Gelombang haba dipercayai menjadi salah satu punca kemerosotan bilangan pengunjung.
Menurut agensi itu, musim panas ini juga dijangka lebih panas daripada purata suhu di seluruh negara.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, haba ekstrem telah meninggalkan kesan negatif ke atas bilangan pengunjung di banyak kemudahan riadah luar.
“Bagaimana untuk memastikan pengunjung selesa semasa musim panas telah menjadi persoalan penting bagi pihak pengurusan,” kata Encik Chiaki Kato dari Mitsubishi UFJ Research and Consulting Co. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg