Apabila memulakan jenama fesyen, Bound Designs pada 2022, Cik Lu-Lyn Chang, mahu menggunakan jenamanya sebagai satu wadah kreatif untuk memperkasa kehidupan masyarakat yang kurang diwakili.
Satu kerjasama dilancarkan pada Januari untuk pereka fesyen tempatan melatih dan memberi pekerjaan kepada individu kurang upaya dan menghasilkan satu koleksi kapsul.
Koleksi kapsul merujuk kepada satu koleksi busana atau aksesori kecil dan dihasilkan dalam jumlah terhad.
Ia dilancarkan oleh i’mable Collective – satu daya usaha di bawah SG Enable iaitu agensi untuk golongan kurang upaya dan masyarakat inklusif di Singapura.
Cik Chang telah menggunakan peluang itu untuk mengadakan kursus makrami atau macrame – seni kraf pintalan – bersama 24 klien dari Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds) selama dua minggu pada Ogos.
Makrami ialah seni atau teknik membuat barangan dan hiasan praktikal dengan menyimpulkan tali, kord atau benang besar.
Hasil seni itu boleh digunakan untuk membuat pakaian, tali pinggang, dompet dan arca hiasan yang digantung di dinding serta barangan perhiasan lain.
“Sebelum ini saya pernah mengajar seni makrami kepada wanita di dalam penjara menerusi Projek Reben Kuning.
“Apabila saya diperkenalkan kepada SG Enable, saya terpanggil untuk melakukan kerja sukarela dengan menjadi jurulatih untuk kursus mereka,” kongsi Cik Chang, yang berusia dalam lingkungan 50-an tahun, kepada Berita Harian (BH).
Beliau merupakan antara lima jenama fesyen tempatan yang terlibat dalam kerjasama itu.
Klien dari Minds dapat mencuba simpulan makrami mudah dan mempelajari tentang teori warna tekstil.
Melaluinya dua klien Minds yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Hidayah dan Cik Halidah, telah diberi peluang bekerja untuk menghasilkan koleksi beg bersama Bound Designs.
Cik Hidayah, 40-an tahun, merupakan pelatih di program perusahaan sosial Minds Craft di Pusat Pembangunan Pekerjaan SIA-Minds; manakala Cik Halidah, 20-an tahun, adalah pelatih di Hab Daerah Minds (Hougang) tempat mereka dapat mengasah kemahiran dan mempelajari seni kraf baru.
Mereka dipilih kerana menunjukkan bakat dalam seni makrami dan menghasilkan karya dengan mutu kerja kemas semasa bengkel itu.
Ditanya apakah cabaran yang dihadapi, Cik Chang berkata pada awalnya beliau bimbang jika rekaan yang perlu dihasilkan terlalu rumit namun Cik Hidayah dan Cik Halidah tidak merungut dan tekun melakukannya.
“Saya takut mereka akan rasa kecewa jika mereka perlu mengulangi simpulan-simpulan itu disebabkan kiraan yang salah.
“Saya sering berkunjung ke pusat latihan mereka untuk memantau proses itu.
“Jika saya tidak dapat hadir, jurulatih di Minds membantu dengan mengambil gambar dan menyampaikan arahan saya kepada mereka berdua.
“Saya sangat gembira proses itu berjalan dengan agak lancar,” kongsi Cik Chang.
Koleksi yang diberi nama ‘Interwoven’ itu dihasilkan dengan 100 peratus tali kapas asli dan tali yang dikitar semua daripada kain sari.
Terdapat beg tangan, beg jinjing dan beg berbentuk baldi dalam koleksi itu yang berharga antara $289 dengan $409.
Dalam masa sebulan, Cik Hidayah berjaya menghasilkan tiga beg manakala Cik Halidah menghasilkan empat beg.
Setiap beg mengambil masa kira-kira empat hari untuk disiapkan.
Mengongsikan perasaannya setelah melihat koleksi beg itu dipamerkan di Design Orchard, Cik Chang berkata beliau sangat gembira dengan sikap kerja positif yang ada dalam diri Cik Hidayah dan Cik Halidah.
“Saya boleh lihat ia dibuat dengan ikhlas dari hati mereka.
“Hidayah dan Halidah terbuka untuk menerima maklum balas dan bakat mereka yang terserlah merupakan sifat yang diinginkan oleh semua majikan dalam pekerja mereka.
“Yang penting, mereka berjaya mempelajari kemahiran baru dan boleh menghasilkan lebih banyak produk untuk dijual supaya dapat membina kehidupan yang mampan,” tambah Cik Chang.
Mengulas mengenai kerjasama itu, jurucakap Minds turut melahirkan rasa gembira dengan peluang yang diberikan kepada klien mereka untuk mempelajari sesuatu yang baru.
“Peluang untuk klien kami terlibat dalam projek berskala besar memberi inspirasi kepada mereka untuk menghasilkan lebih banyak seni kraf tangan.
“Melihat hasil kerja mereka dipamerkan di khalayak ramai untuk pelanggan membelinya turut membina keyakinan diri.
“Peluang untuk berinteraksi dengan pereka seni lain turut membantu mengasah kemahiran sosial mereka,” kongsi jurucakap Minds.
Koleksi kapsul itu turut disokong oleh Majlis Fesyen Singapura.
Kerjasama itu diharap dapat membuat masyarakat melihat melangkaui ketidakupayaan seseorang dan sebaliknya menghargai bakat dan kebolehan golongan kurang upaya.
Pengarah Kanan bagi Pekerjaan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat di SG Enable, Cik Emily Ong, menyifatkan kerjasama itu “menunjukkan bahawa dengan latihan yang sesuai, terdapat cara golongan kurang upaya boleh mendapat pekerjaan sambil menonjolkan bakat mereka.
“Ia sejajar dengan misi agensi kami untuk memperkasa golongan tersebut”.
“
Saya boleh lihat ia dibuat dengan ikhlas dari hati mereka. Hidayah dan Halidah terbuka untuk menerima maklum balas... mereka berjaya mempelajari kemahiran baru dan boleh menghasilkan lebih banyak produk untuk dijual supaya dapat membina kehidupan yang mampan.Koleksi kapsul kerjasama i’mable Collective dan Majlis Fesyen Singapura dipamerkan di Design Orchard sehingga 31 Disember dengan kesemua produk boleh dibeli.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg