Pada usia 23 tahun, Cik Amal Husnah Jamaludin baru dikesan mengalami autisme, keadaan yang beliau sendiri tidak jelas sehingga bertemu doktor pakar.
Sewaktu itu, beliau mendapati dirinya agak kekok berkomunikasi dengan orang ramai dan sukar memahami peribahasa, bidalan dan kata kiasan yang digunakan anggota keluarga atau rakan sekeliling.
Beliau juga mempunyai deria pendengaran yang sensitif dan tidak boleh berada di tempat terang kerana kepalanya akan mudah sakit.
Sebagaimana jelasnya ketika ditemui Berita Harian (BH) di agensi satu perhentian buat golongan kurang upaya, SG Enable, pada 9 Disember, beliau berkata:
“Kalau ada yang gunakan pepatah Inggeris raining cats and dogs, saya akan tercari-cari mana kucing dan anjing yang turun seperti hujan? Saya akan ambil sesuatu frasa itu bulat-bulat.
“Saya terasa ada sesuatu yang tak kena pada diri saya sejak masuk tadika hingga politeknik. Susah nak bergaul dengan orang sekeliling.
“Tapi saya tabah mengharungi semuanya dan bertemu doktor pakar untuk dapatkan pengesahan mengenai kondisi saya.”
Kini, selaku Anggota Lembaga dan Duta Keterangkuman di Persatuan Orang Kurang Upaya (DPA) selama tujuh tahun, Cik Husnah, 34 tahun, giat meningkatkan kesedaran masyarakat dan memupuk keterangkuman dan empati terhadap individu kurang upaya dan autisme sepertinya.
Peranannya selaku duta membawanya mengusahakan lebih 50 sesi, forum dan runding cara bagi memupuk kesedaran dan keterangkuman tentang golongan kurang upaya kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari institusi akademik, agensi pemerintah dan awam.
Pada 3 Disember, usahanya menjadi jambatan kepada golongan autisme dan masyarakat sekeliling diiktiraf apabila beliau menerima Anugerah Pengupaya Goh Chok Tong (Potensi) di Ballroom Begonia Junior, Marina Bay Sands (MBS).
Beliau, yang dicalonkan penerima Anugerah Pengupaya Goh Chok Tong (Potensi) 2023, Encik Shalom Lim, menerima wang tunai $5,000.
Anugerah itu menggalak golongan kurang upaya yang menunjukkan potensi mengejar dan mencapai impian lebih tinggi dalam bidang kemahiran dan bakat yang dimiliki di samping menunjukkan kesediaan menyumbang kepada masyarakat.
Mengulas tentang pengamatannya mengenai tahap pemahaman ramai tentang autisme, Cik Husnah berkata:
“Ramai sekali yang tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan orang-orang seperti kami (golongan kurang upaya dan autisme), selain cabaran yang kami hadapi terutamanya ketika bersosial atau berkomunikasi.
“Hal seperti tatapan mata, bahasa gerak anggota badan dan juga intonasi sangat sukar dikesan semasa perbualan.
“Ada juga yang bertanyakan hal seperti adakah golongan autisme dapat menjalin hubungan akrab atau mesra dengan orang lain?
“Jawapannya, keadaan kami tidak membataskan kami melakukan perkara yang lazim dilakukan atau dirasakan orang lain,” jelas Cik Husnah.
Beliau berbesar hati menerima anugerah yang mengiktiraf usahanya meningkatkan kesedaran tentang golongan kurang upaya mahupun autisme selama beberapa tahun ini.
Dalam usaha memperjuangkan masyarakat lebih inklusif, Cik Husnah juga merupakan salah seorang perintis kumpulan sokongan bagi wanita dengan autisme.
Dipelopori anggota Lembaga Pengarah DPA, Dr Dawn-joy Leong, seorang pengkaji dan artis berbilang disiplin yang mengesan dirinya mempunyai autisme pada usia 42 tahun, kumpulan itu memberi sokongan moral kepada wanita autisme dan membantu mereka menangani cabaran sosial.
Kumpulan sokongan itu kini mempunyai seramai 30 anggota.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg