Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pereka fesyen S’pura cepat kilat siap baju pengantin selebriti M’sia

Adam Rashid enggan hampakan Shikin Maembong dan Cat Farish apabila majlis kahwin dipercepat
Jul 20, 2023 | 5:30 AM
GIGIH DEMI AMANAH: Dalam masa tiga minggu, pereka fesyen Singapura, Adam Rashid (kiri) menyiapkan busana majlis persandingan dan pernikahan pasangan selebriti Malaysia, Cat Farish dan Shikin Maembong.
GIGIH DEMI AMANAH: Dalam masa tiga minggu, pereka fesyen Singapura, Adam Rashid (kiri) menyiapkan busana majlis persandingan dan pernikahan pasangan selebriti Malaysia, Cat Farish dan Shikin Maembong. - Foto ihsan ADAM RASHID
SIAPKAN SEGERA: Adam Rashid memenuhi permintaan beberapa selebriti Malaysia bagi menyiapkan busana yang cantik untuk majlis persandingan mereka. Adam (kiri) sedang merapikan gaun pengantin untuk usahawan dan pempengaruh sosial, Shikin Maembong.
SIAPKAN SEGERA: Adam Rashid memenuhi permintaan beberapa selebriti Malaysia bagi menyiapkan busana yang cantik untuk majlis persandingan mereka. Adam (kiri) sedang merapikan gaun pengantin untuk usahawan dan pempengaruh sosial, Shikin Maembong. - Foto ihsan ADAM RASHID

Terkejar-kejar dengan masa yang diberi untuk menyelesaikan busana tempahan selebriti sudah menjadi perkara biasa buat pereka fesyen Singapura, Adam Rashid.

Beliau yang sebelum ini pernah diamanahkan menghasilkan busana majlis merisik pengacara, pelakon dan penyanyi Malaysia, Elly Mazlein, tiga tahun lalu, teruja apabila khidmat rekaan fesyennya menjadi pilihan pasangan selebriti, Shikin Maembong dan Cat Farish, pada majlis pernikahan dan persandingan yang berlangsung pada 14 dan 15 Julai lalu.

Majlis pernikahan mereka berlangsung di  Asiana Grand Hall, Setapak, manakala majlis persandingan pula diadakan di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Ini merupakan perkahwinan kedua buat Shikin dan ketiga buat Cat.

Shikin, 40 tahun, seorang usahawan dan pempengaruh sosial, pernah berumah tangga dengan Cef Riz atau Mohd Nadzri Redzuawan, anak Cef Wan dari 2014 hingga 2016. Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Putri Arianna Natasya, lapan tahun.

Cat, 49 tahun, atau nama sebenarnya Farish Ramli, anggota kumpulan legenda Ruffedge, pula bernikah dengan Suriani Hassan dari 2020 hingga Februari lalu. Beliau pernah berumah tangga dengan Hartini Ramli antara 2007 dengan 2016. Mereka mempunyai tiga anak, Nia Karlyssa, 15 tahun, Eva Latheefa, 13 tahun dan Qul Iskandar, 12 tahun.

Ketika dihubungi Berita Harian, Adam berkata beliau diberi masa tiga minggu untuk menyiapkan busana pengantin Shikin dan Cat. Ini adalah kerana awalnya Shikin pernah merancang mengadakan majlis perkahwinannya pada hujung tahun ini tetapi tarikh itu ditukar pada yang lebih awal iaitu sekitar Julai.

“Saya bertemu dengan Cat dan Shikin di Kuala Lumpur pada 21 Jun sebelum Cat mengadakan konsert Ruffedge di Singapura. Saya diberitahu mereka awalkan tarikh pernikahan dan persandingan. Jadi dalam masa tiga minggu itu, saya kelam kabut siapkan dua persalinan baju pengantin.

“Tapi dibandingkan baju nikah, lebih mencabar siapkan gaun persandingan Shikin. Saya terpaksa minta tolong isteri saya menjahitkan manik bagi gaun ini. Bayangkan Shikin mencuba pakaian pengantin ini pada 11 Julai. Pada malam 10 Julai, saya baru selesaikan segalanya.

“Kebiasaannya, saya ambil masa empat hingga lima bulan untuk buat gaun pengantin. Tapi kasihankan Shikin yang mengharapkan khidmat saya. Takkan saya nak tolak. Saya jaga amanah dan tepati janji saya. Maka, saya usahakan juga,” jelas Adam.

Beliau cukup berterima kasih kepada Shikin dan Cat kerana memberi kepercayaan buatnya menyiapkan dua set pakaian untuk pernikahan dan persandingan. Kebiasaannya, selebriti di Malaysia akan tempah busana daripada beberapa pereka fesyen berbeza untuk majlis berasingan.

Sebelum ini, Adam pernah menyiapkan rekaan fesyen pengantin untuk pelakon Syafnida Suhaimi, Elisya Sandha dan Fiza Thomas.

Ditanya bagaimana beliau mendapat lamaran menghasilkan fesyen pengantin berkonsep kisah dongeng (fairy-tale) putera dan puteri, Adam berkata beliau masih berhubung baik dengan Shikin dan adik-beradiknya termasuk pelakon Emma Maembong sejak menghasilkan busana pengantin untuk Emma.

“Emma memang ‘Mak Pengantin’ pada acara itu. Beliaulah pengurus, penganjur majlis kahwin dan berurusan langsung dengan Adam bagi memikirkan tentang konsep dan tema busana. Kita tetapkan busana mestilah yang glamor dan nampak seperti putera puteri dalam kisah dongeng rakyat penuh fantasi dan impian,” ujar Adam lagi.

Adam yang sebelum ini pernah menghasilkan busana bagi peraduan realiti Astro, Big Stage dan Gegar Vaganza, sibuk saban waktu menyiapkan pakaian pengantin untuk mempelai di Singapura.

“Alhamdulillah, saya mempunyai pasukan dan kakitangan yang bertanggungjawab bagi mengurus majlis di Singapura semasa saya perlu bereskan tugas di Kuala Lumpur,” ujarnya yang pernah menyertai peraduan peragaan Manhunt Singapore.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg