Pereka fesyen selebriti kelahiran Singapura, Adam Rashid, yang juga gigih menyiapkan busana pengantin, baik di Singapura mahupun seberang Tambak, memberanikan diri untuk menggerakkan syarikat penganjuran acara, AS Entertainment, walau akur banyak cabaran yang perlu diharungi.
AS Entertainment bahkan meraih rezeki yang tidak disangka-sangka untuk menganjurkan konsert solo pertama penyanyi Malaysia, Liza Hanim, di The Star Theatre pada 26 April 2025.
Konsert Liza Hanim 28 Years Journey In Concert yang dinanti-nantikan peminat pelantun lagu, Getaran Cinta Di Jiwa, itu diharapkan dapat membuka jalan bagi AS Entertainment menganjurkan lebih banyak acara yang memenuhi cita rasa ramai selepas ini.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di sidang media bagi konsert berkenaan di Restoran Permata sekitar Kampong Gelam pada 1 Disember, Adam, 43 tahun, yang pernah memasuki peraduan peragaan Manhunt Singapore pada zaman bujangnya, berkata:
“Saya sebenarnya sudah lama dalam bidang fesyen dan kemudian memasuki pula sektor majlis perkahwinan.
“Saya telah diamanahkan menghasilkan rekaan fesyen buat ramai artis Singapura dan Malaysia termasuk bagi peraduan realiti seperti, Gegar Vaganza dan Big Stage.
“Jadi, sudah sampainya saya memikirkan langkah memperluas minat terhadap usaha menganjurkan acara melibatkan selebriti seperti konsert dan rezekinya terletak pada mengusahakan konsert solo pertama Liza Hanim di Singapura,” katanya.
Adam begitu teruja menjadi penganjur konsert Liza yang merakam perjalanan seninya selama 28 tahun kerana melihat sambutan luar biasa bagi konsert bintang itu di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Februari.
“Seisi ruang hiburan itu penuh dengan mereka yang datang menonton pun dalam kalangan selebriti yang bukan calang-calang.
“Saya lihat Liza memang disayangi ramai peminatnya dan beliau pun belum datang ke Singapura bagi konsert solo.
“Justeru, ini peluang terbaik untuk kami bekerjasama. Ini konsert solo Liza yang pertama di sini dan ia juga pengalaman pertama saya menganjurkan konsert,” jelasnya.
Beliau akur cabaran baginya mengusahakan konsert ini memang wujud sebab dunianya sebagai pereka fesyen jauh beza daripada dunia konsert berskala besar.
Bagaimanapun, sokongan rakan-rakan dalam bidang hiburan serta rangkaian kenalan yang beliau miliki sepanjang bergelar pereka fesyen banyak membantu.
“Saya tahu sebelum ini, Sufi Rashid dan Atrez yang memang penyanyi sudah menyertai bidang penganjuran konsert mega buat artis bernama besar.
“Perkara ini merapatkan silaturahim antara karyawan seni Singapura dengan Malaysia.
“Bagi saya pula, kerana artis yang adakan konsert perlukan busana yang menarik, ia juga pentas saya sajikan rekaan fesyen saya.
“Jadi baju-baju Liza saya reka dan hasilkan, dari saat sesi penggambaran poster konsert hinggalah pada malam konsert itu diadakan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Adam juga terlibat menghasilkan rekaan fesyen bagi majlis pernikahan dan persandingan pasangan selebriti, Shikin Maembong dan Cat Farish.
Beliau juga pernah menjadi pereka fesyen bagi hari bahagia pengacara, penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein dan pelakon Fasha Sandha.
“Kalau sebelum ini Adam dapat beri komitmen pada peraduan Gegar Vaganza (GV), kali ini terpaksa menolak sebab peraduan GV11 diadakan sampai Februari.
“Adam pula ada komitmen untuk acara perkahwinan selebriti yang buat masa ini dirahsiakan di Terengganu pada Januari,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg