Periksa dulu peraturan terkini ‘power bank’ sebelum naik pesawat
Periksa dulu peraturan terkini ‘power bank’ sebelum naik pesawat
Lazimnya, ramai pelancong sering membawa bank kuasa agar peranti mereka kekal beroperasi sepanjang perjalanan.
Namun, sebelum memulakan kembara yang seterusnya, penting untuk meneliti peraturan bank kuasa bagi penerbangan yang akan diambil.
Ini menjadi semakin penting kerana beberapa syarikat penerbangan kini menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat tentang penggunaan dan membawa bank kuasa.
Contoh terbaru ialah Lufthansa Group dari Jerman, yang memperketat peraturan untuk keenam-enam syarikat penerbangannya.
Kini, penumpang dilarang sama sekali menggunakan atau mengecas bank kuasa semasa dalam penerbangan.
Larangan ini melibatkan Lufthansa Airlines, Swiss International Air Lines (SWISS), Austrian Airlines, Brussels Airlines, ITA Airways dan Eurowings.
Langkah ini diambil selepas insiden kebakaran yang bermula dari ruang simpanan atas kepala dalam pesawat Air Busan dari Korea Selatan pada Januari 2025.
Di bawah peraturan baru, penumpang dibenarkan membawa maksimum dua pengecas kuasa di dalam bagasi kabin, dengan setiap satu tidak melebihi kapasiti 100 watt-jam (Wh).
Semua peranti ini wajib disimpan bersama penumpang, sama ada di dalam poket tempat duduk atau di bawah tempat duduk.
Menyimpannya dalam ruang atas kepala adalah dilarang dan bateri juga tidak boleh diletakkan dalam bagasi daftar masuk.
Peranti dengan kapasiti antara 100 Wh dengan 160 Wh hanya boleh dibawa masuk dengan kelulusan awal daripada syarikat penerbangan.
Menurut SWISS, peraturan baru ini meningkatkan keselamatan di dalam pesawat bagi penumpang dan kru, memandangkan bateri litium, terutamanya bank kuasa yang rosak, berpotensi mencetuskan kebakaran.
Bateri litium-ion dalam bank kuasa telah menjadi kebimbangan utama syarikat penerbangan dan badan pengawal selia keselamatan penerbangan, disebabkan risiko pemanasan melampau.
Dalam perkembangan yang sama, lima syarikat penerbangan di bawah Hanjin Group dari Korea Selatan telah mengharamkan penggunaan bank kuasa di dalam pesawat mereka, mulai 26 Januari.
Larangan ini berkuat kuasa untuk Korean Air, Asiana Airlines, Jin Air, Air Busan dan Air Seoul.
Bagaimanapun, sekatan sebegini bukanlah sesuatu yang asing.
Beberapa syarikat penerbangan terkemuka dunia telah pun memperkenalkan larangan atau sekatan ketat mengenai bank kuasa semasa penerbangan, meskipun peranti itu dibenarkan untuk dibawa.
Pada Oktober 2025, Emirates melarang penumpang daripada menggunakan peranti pengecasan di dalam pesawat, walaupun masih membenarkan satu bank kuasa berkapasiti di bawah 100 Wh dalam bagasi kabin.
Syarikat penerbangan lain yang turut menyekat penggunaan pengecas peranti termasuk Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Singapore Airlines, Scoot, Thai Airways, Qatar Airways, Etihad Airways, Qantas dan Cathay Pacific.
Tambahan pula, mereka yang merancang perjalanan ke China perlu maklum tentang peraturan tambahan yang dikenakan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).
Apabila melalui mana-mana lapangan terbang di China, bank kuasa mesti mempunyai sijil 3C, yang bermaksud China Compulsory Certification (CCC).
Tanda ini biasanya terletak di bahagian belakang atau di bawah bank kuasa.
Pada masa yang sama, pastikan kapasiti bank kuasa dan butiran modelnya jelas kelihatan.
Jika tidak, peranti anda mungkin dirampas. – Agensi berita.

