Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penumpang S’pura amalkan sikap bertimbang rasa dalam penerbangan

 Tinjauan: Hanya 33% responden S’pura kejut penumpang tepi lorong, sama seperti warga Australia dan India apabila mahu ke tandas
May 25, 2025 | 5:30 AM
Dapatan warga Singapura membangunkan penumpang tepi lorong untuk ke tandas, atau lelaki lebih cenderung memberikan tempat duduk mereka di pesawat, cerminkan pengalaman perjalanan sehari-hari yang membentuk keselesaan dan kepuasan penumpang.
Dapatan warga Singapura membangunkan penumpang tepi lorong untuk ke tandas, atau lelaki lebih cenderung memberikan tempat duduk mereka di pesawat, cerminkan pengalaman perjalanan sehari-hari yang membentuk keselesaan dan kepuasan penumpang. - Foto ST

Pengembara Singapura cenderung mengamalkan sikap bertimbang rasa dalam penerbangan, seperti yang digambarkan tinjauan perjalanan yang dilaksanakan syarikat insurans antarabangsa Allianz Partners.

Baru-baru ini, syarikat itu mengeluarkan edisi Asia Pasifik yang pertama bagi Indeks Perjalanan Allianz Partners. Ia telah lakukan tinjauan serupa di Amerika Syarikat sejak 2009 dan di Eropah sejak 2012.

Versi terkini itu berdasarkan maklum balas 502 responden di Singapura, di samping pengunjung dari Australia, New Zealand, China, India, Hong Kong dan Jepun.

Antara dapatan utamanya ialah sepertiga (33 peratus) pengembara Singapura akan mengejutkan penumpang yang duduk sebelah lorong untuk ke tandas – sama seperti responden dari Australia dan India.

New Zealand mempunyai peratusan tertinggi melakukan demikian – 38 peratus.

Sebaliknya, responden dari Jepun paling kurang kemungkinan bangunkan penumpang – 18 peratus.

Peneraju disiplin bagi psikologi di Universiti Murdoch Singapura, Dr Amy Lim, menjelaskan bahawa dalam keadaan terdesak seperti itu, penumpang biasanya berdepan dengan dua pilihan yang membuat mereka kekok: panjat keluar (climb over) atau bangunkan penumpang di tepi lorong.

Menurut laporan The Straits Times, Dr Lim berkata menerusi sudut pandangan psikologi sosial yang berubah, orang ramai mengelak daripada bersentuhan secara fizikal dengan orang yang tidak dikenali kerana ia sesuatu yang tidak diingini.

“Meminta seseorang memberi laluan dengan hormat – daripada terus melintas (brushing past) – memenuhi keperluan mengekalkan jarak itu,” katanya.

Ini mungkin sebab mengapa sepertiga pengunjung Singapura memilih untuk membangunkan penumpang yang duduk di tepi lorong, tambahnya.

Pengunjung Singapura yang dihubungi Berita Minggu (BM) menunjukkan bahawa sikap bertimbang rasa menjadi sebab mengapa mereka tidak mahu membangunkan penumpang yang duduk di tepi lorong.

Pengurus hubungan, Cik Nurul Izni Yushuff, 30 tahun, berkata:

“Saya pilih untuk tidak membangunkannya kerana saya tidak mahu mengganggu waktu rehatnya lebih-lebih lagi apabila beliau sudah kelihatan selesa, dengan semua alat (seperti fon kepala) sudah dipasang.”

Cik Izni menambah beliau lebih gemar memilih tempat duduk di sebelah tingkap berbanding di tepi lorong kerana dapat berada dalam ‘zon’ beliau sendiri tanpa menghiraukan orang lain.

Kakitangan penjualan perubatan, Cik Syuhaidah Shifa, 28 tahun, berkata tempoh paling lama beliau menahan diri daripada ke tandas sewaktu penerbangan dari Phuket di Thailand ke Frankfurt di Jerman selama 10 jam.

“Saya tidak suka menyusahkan orang lain, lagipun ruang di dalam pesawat sangat sempit.

“Saya jenis yang tidak selalu menggunakan tandas, dan saya akan buang air sebelum menaiki penerbangan,” jelasnya.

Tinjauan tersebut turut mendapati ada jurang dari segi jantina mengenai kesediaan memberi tempat duduk kepada orang lain supaya keluarga dapat duduk bersama.

Di Singapura, 38 peratus penumpang lelaki berkata mereka akan melakukannya berbanding 26 peratus wanita.

Dihubungi BM, pengarah urusan Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika di Allianz Partners, Encik Vinay Surana, berkata kajian mereka tertumpu pada mengenal pasti trend makro termasuk tingkah laku dan amalan bagaimana orang ramai melancong dan mempengaruhi perjalanan masa depan, khususnya di rantau Asia Pasifik.

“Dapatan seperti kemungkinan warga Singapura membangunkan penumpang tepi lorong untuk ke tandas, atau lelaki lebih cenderung memberikan tempat duduk mereka di pesawat, mencerminkan pengalaman perjalanan sehari-hari yang membentuk keselesaan dan kepuasan penumpang.

“Walau tinjauan itu tidak meneroka motivasi di sebalik tingkah laku itu, ia memberi gambaran tentang nuansa budaya, jangkaan sosial, dan peraturan etika perjalanan yang tidak dinyatakan di negara berbeza,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg