Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjalanan 40 jam naik kereta api ke Bangkok dan Hat Yai

Empat beranak pilih laluan berbeza, jimat kos
Sep 21, 2025 | 6:01 PM
Kaki Jalan, Hatyai, Bangkok, Thailand, percutian, kereta api
Cik Farzanah Omar bersama anak-anaknya, (dari kanan) Daawud Rizqi Khairul Rasul dan Luth Rifqi Khairul Rasul di stesen persimpangan Hatyai, Thailand. - Foto ihsan FARZANAH OMAR

Tempoh penerbangan langsung dari Singapura ke Hatyai, Thailand singkat sahaja – tak sampai dua jam.

Tetapi warga Singapura Cik Farzanah Omar, 32 tahun, sanggup memilih jalan lebih panjang, meredah laluan darat menaiki kereta api selama lebih 40 jam secara keseluruhan.

Bukan seorang diri, pengembaraan pada pertengahan tahun lalu itu dibuat bersama suami dan anak-anaknya yang masih kecil lagi, waktu itu berusia enam dan tiga tahun.

Ditanya mengapa memilih jalan itu sedangkan terdapat laluan lebih pendek, Cik Farzanah berkata:

“Kami sekeluarga inginkan pengalaman berbeza. Anak-anak saya lelaki jadi sejak kecil, kami sudah ajar mereka untuk membiasakan diri dengan situasi lasak. Lagipun, mereka aktif.”

Terbukti, pengalaman tersebut lain daripada lain malah memerlukan Cik Farzanah dan suaminya, Encik Khairul Rasul Hamidi, 35 tahun, yang bekerja dalam sektor infastruktur, untuk sentiasa berinteraksi dengan anak-anak mereka dan mencari cara mengisi masa dalam kereta api.

Selain membawa beg yang penuh dengan buku, Cik Farzanah juga menyediakan kegiatan amali seperti bahan menulis dan melukis selain permainan kad untuk bermain bersama.

Tidak dinafikan, untuk mengelak anak-anaknya daripada berasa gundah gelisah dalam sekitaran tertutup buat tempoh lama, ibu dua anak itu akan membawa mereka ‘berjalan-jalan’ dari hulur ke hilir, dari kabin ke kabin supaya dapat menghabiskan tenaga anak-anaknya.

Di samping itu, beliau juga membawa alat teknologi seperti iPad yang digunakan pada waktu tertentu dan buat tempoh terkawal.

“Kami tetapkan waktu tonton skrin dalam sejam dua. Namun signal di sana tak stabil, kadangkala tak ada sambungan signal langsung.

“Jadi ini juga cara yang membantu mereka menjauhi skrin dan mengajar mereka untuk terima keadaan yang mungkin membosankan.

“Kami beritahu mereka tidak mengapa untuk tidak melakukan apa-apa langsung. Dan mereka tiada pilihan lain selain melihat luar tingkap untuk menghayati pemandangan ataupun tidur,” kongsi suri rumah itu.

Encik Khairul Rasul Hamidi bersama anaknya, Luth Rifqi Khairul Rasul menonton iPad bersama di dalam kereta api.
Encik Khairul Rasul Hamidi bersama anaknya, Luth Rifqi Khairul Rasul menonton iPad bersama di dalam kereta api. - Foto FARZANAH OMAR

Walaupun perjalanan itu dibuat tahun lalu, Cik Farzanah baru-baru ini berkongsi pengalamannya di TikTok, lantas mengundang reaksi bercampur baur daripada netizen dengan ada daripada mereka mempersoal pilihan beliau.

“Saya rasa ini benar-benar tergantung kepada ibu bapa dan keperluan masing-masing. Hakikatnya, memang banyak persediaan perlu dilakukan dari segi menangani kerenah anak serta kegiatan yang disediakan.

“Yang jelas, ibu bapa perlu bersedia secara emosi dan fizikal untuk pengembaraan seperti ini,” ujarnya yang mengakui ia bukan semudah mengambil penerbangan.

LALUAN DARI KERETA API KE THAILAND

Luth Rifqi Khairul Rasul melukis dalam kereta api.
Luth Rifqi Khairul Rasul melukis dalam kereta api. - Foto FARZANAH OMAR

Memandangkan tidak ada laluan kereta api langsung dari Singapura ke Bangkok, Thailand, Cik Farzanah menceritakan bahawa mereka sekeluarga mengambil bas dari Singapura untuk merentas Koswe ke Johor Bahru Sentral.

Dari situ, mereka menaiki kereta api ke Gemas, Negeri Sembilan, yang memakan masa empat jam.

Di Gemas, mereka memilih untuk bermalam di bandar kecil tersebut dalam daerah Tampin, sebelum meneruskan perjalanan selama lapan jam dari Gemas ke Padang Besar di Perlis, sebuah bandar kecil yang terletak di sempadan antara Malaysia dengan Thailand pada keesokan hari.

Setibanya di Padang Besar kira-kira 5 petang, mereka menuju ke ruang bawah tanah stesen untuk menaiki kereta api yang mempunyai tempat tidur, atau ‘sleeper train’, menuju ke Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat, Bangkok, dengan perjalanan memakan masa 18 jam.

“Memandangkan kami menaiki kereta api pada waktu petang, tempat duduk kami diubah menjadi katil tidak lama setelah itu.

“Anak-anak saya pun kesukaan dan kelihatan seronok kerana pertama kali mengalaminya. Tidak lama kemudian mereka pun sudah kepenatan, waktu pun sudah malam. Jadi penting untuk ibu bapa rancang jadual mengikut rutin anak-anak,” tambahnya.

Luth Rifqi Khairul Rasul tidur lena dalam kereta api.
Luth Rifqi Khairul Rasul tidur lena dalam kereta api. - Foto FARZANAH OMAR
Daawud Rizqi Khairul Rasul bersemuka dengan zirafah di Safari World Bangkok.
Daawud Rizqi Khairul Rasul bersemuka dengan zirafah di Safari World Bangkok. - Foto FARZANAH OMAR

Di Bangkok, Cik Farzanah dan suaminya meluangkan tujuh hari meneroka ibu negara Thailand itu.

Mereka selanjutnya meneruskan perjalanan ke Hatyai selama 14 jam menaiki kereta api yang mempunyai tempat tidur.

Perjalanan pulang juga dibuat menerusi kereta api, kongsi Cik Farzanah.

Secara keseluruhan, kos perjalanan ulang alik yang dibelanjakan tidak sampai $600, lebih separuh daripada apa yang beliau perlu keluarkan sekiranya mengambil pesawat buat mereka berempat.

Bagaimanapun, lebih daripada penjimatan kos, Cik Farzanah akui bahawa ia percutian yang merapatkan hubungan mereka sesama keluarga dan sukar dilupakan.

“Ia satu pengalaman yang membuka mata – memerhati orang menjual makanan dan barangan di dalam kereta api, menyaksikan kereta api bergerak merentasi landasan, dari satu kampung ke kampung yang lain.

“Setiap kali kereta api berhenti, suasana berubah – orang ramai berpusu-pusu naik, bahasa yang ditutur berbeza-beza, melihat kepelbagaian budaya di sekeliling.

“Saya harap bagi anak-anak saya, ini pengalaman yang akan mereka kenang – merenung keluar jendela, melihat dunia bergerak di depan mata. Tidak seperti kapal terbang di mana apa yang dilihat hanyalah awan,” katanya.

PERJALANAN KERETA API KE BANGKOK DAN HAT YAI

- Johor Bahru Sentral ke Gemas, Negeri Sembilan, 4 jam ($22)

- Gemas, Negeri Sembilan ke Padang Besar, Perlis, 8 jam ($101)

- Padang Besar ke Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat, Bangkok, 18 jam ($97)

- Terminal Sentral Krung Thep Aphiwat, Bangkok ke Hat Yai Junction 14 jam ($120)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg