Makhluk prasejarah, dinosaur, sedang menggegar belukar di Bangkok, Thailand – khususnya di tengah-tengah metropolis itu di taman tema, ‘Jurassic World: The Experience’.
Ia terletak di kawasan terbuka Asiatique The Riverfront, menampilkan dinosaur bersaiz sebenar, kabus berpusar, bunyi hutan yang mengerikan dan pintu gerbang ikonik Isla Nublar.
Sebahagian besar daripada filem blokbuster terbaru dalam siri filem itu, ‘Jurassic World: Rebirth’, yang dibintangi Scarlett Johansson dan Mahershala Ali sebagai watak utama, telah menjalani penggambaran dalam landskap semula jadi Thailand.
Taman itu dibuka tidak lama selepas filem tersebut ditayangkan pada Julai.
Lawatan selama kira-kira 60 minit hingga 90 minit ke tarikan baru itu membawa pengunjung menyelami beberapa dunia bertema.
Antaranya termasuk pengalaman menaiki kapal yang mana pterosaur terbang melepasi tingkap, ketibaan di Isla Nublar, serta peluang bertemu dengan dinosaur herbivor (Brachiosaurus), dinosaur berduri (Ankylosaurus), dan Velociraptor yang bergerak dengan resah.
Dari dek pemerhati, pengunjung berpeluang menyaksikan Indominus Rex – makhluk fiksyen yang diubah suai secara genetik daripada siri filem tersebut – yang mengaum dengan garang di sebalik kaca keselamatan sebelum ia tiba-tiba ‘terlepas’, sekali gus mencetuskan bunyi penggera yang kuat.
Animatronik realistik, set yang terperinci dan rekaan bunyi filem menjadikan pengalaman tersebut menakjubkan hingga bulu roma meremang.
Tarikan baru itu meliputi kawasan seluas kira-kira 6,000 meter persegi di Asiatique, yang terletak betul-betul di Sungai Chao Phraya yang terkenal.
Anda boleh ke sana menerusi pengangkutan awam, atau dengan menaiki bot atau feri dari pelbagai lokasi keberangkatan.
Taman itu dibuka setiap hari dari 11 pagi hingga 10 malam, dengan kemasukan terakhir pada 9 malam.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian atau di lokasi dengan harga diskaun buat kanak-kanak.
Jika anda menempah slot pada masa tertentu, anda boleh terus masuk.
Bangkok ialah salah satu daripada lima bandar dalam dunia di mana pengunjung boleh merasai pengalaman dinosaur sepenuhnya selain London (England), Madrid (Sepanyol), Singapura dan Bogota (Colombia). – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg