Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pernikahan pelakon ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’: Sabri Yunus, Angeline Tan saling kagumi budi pekerti

Oct 15, 2023 | 03:40 PM



KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara Malaysia, Angeline Tan, yang kini dikenali sebagai Ardini, 56 tahun, mengaku mengagumi suaminya, Sabri Yunus, 62 tahun, atas kemuliaan hati pelakon dan pengarah itu, sejak mula berkenalan di set penggambaran drama Pak Din KK pada 1992.


Angeline yang mengejutkan peminat selepas tersebar berita bernikah dengan Sabri yang juga kenalannya sejak lebih tiga dekad lalu, pada Sabtu berkata hubungan mereka rapat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiga tahun lalu.

Bermula dari sekadar bertanya khabar selepas bertahun tidak berjumpa, akhirnya perasaan mereka bertaut antara satu sama lain.

“Niat kami pada mulanya hanyalah bertanya khabar. Kami memang akrab kerana pernah bekerjasama dalam banyak projek. Tetapi, lama kelamaan, timbul perasaan di mana kami tahu bahawa kami bukan sekadar hendak berkawan sahaja, sebaliknya, kami ingin akhiri persahabatan ini dengan bernikah.

“Sepanjang 32 tahun mengenali suami, dari zaman Pak Din KK lagi, abang memang sangat baik dan saya sebenarnya, cukup kagum. Dalam tempoh berkawan, abang tidak pernah desak-desak untuk berkahwin. Sebaliknya, abang beri masa yang cukup untuk saya buat keputusan,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) Online.


Pada Sabtu, Sabri dan Angeline yang sama-sama mencipta nama melalui sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 1990-an, dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza pada majlis ringkas di Kangar, Perlis.


Pada majlis itu, Sabri menyerahkan mas kahwin berupa seutas rantai emas. Pasangan itu tampil menggayakan persalinan sedondon rona putih.

Majlis itu dihadiri keluarga dan kenalan rapat pasangan pengantin.

Selain video majlis akad nikah tular, berita pernikahan Sabri dan Angeline tersebar selepas teman artis, Issey Fazlisham, berkongsi foto menghadiri majlis ringkas tetapi indah itu di Instagram (IG).

Angeline berkata, sepanjang tiga tahun menjalin hubungan rapat, Sabri menjadi guru pertama yang membimbing mengenai selok-belok agama.

Selepas ini, kata Angeline, beliau akan mengikuti kursus mendalami Islam secara rasmi pula.

Bertanya perasaan sebaik diijabkabulkan, Angeline mengaku beroleh ketenangan yang sukar digambarkan.

“Saya rasa lega, gembira dan bahagia akhirnya disatukan dengan abang (Sabri).

“Jika orang lain rasa kelakar dengan perkahwinan ini, kami pun sebenarnya tidak percaya persahabatan yang terjalin sejak 32 tahun lalu, berakhir dengan perkahwinan.

“Tiga tahun berkawan, kami langsung tidak pernah tergesa-gesa berkahwin. Saya dan suami lebih suka membiarkan perhubungan itu mengalir dan terbina secara semula jadi,” katanya.

Sabri yang telah 16 tahun menduda terbuka hati menyunting Angeline yang dikenalinya sejak era sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada 1990-an, sebagai teman hidup dan bersyukur anak-anak merestui perhubungan mereka.


“Kami sebenarnya sudah lama tidak berjumpa dan kembali berhubung tiga tahun lalu. Kami bertanya khabar dan dari situ, kami kembali rapat. Dari awal berkawan, saya beritahu Angeline tujuan berkawan adalah untuk jadikan dirinya sebagai isteri.

“Tetapi saya tak paksa dia peluk Islam, sebaliknya saya mahu Angeline ambil masa untuk fikirkan keputusan semasak-masaknya. Angeline akhirnya memeluk Islam pada 26 September lalu,” jelas Sabri.

Ditanya apakah keistimewaan Angeline sehingga terbuka hati untuk berumah tangga, Sabri berkata, Angeline sangat mengambil berat dan memiliki semangat setiakawan yang tinggi.

“Jika saya demam atau tak sihat, dialah orang pertama ambil tahu,” katanya.

Berkongsi penerimaan anak-anak dan keluarga, Sabri bersyukur anak-anak merestui pilihannya kerana mengenali ibu tiri mereka sejak kecil.

“Sebelum ini, ada beberapa calon yang mereka tidak berkenan. Tetapi apabila saya beritahu berkawan dengan Angeline, mereka terus bersetuju. Dua anak Angeline juga merestui hubungan kami. Saya pernah berjumpa dengan mereka. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak dapat hadir hari ini. Seorang berada di London, United Kingdom (UK) dan seorang lagi bekerja.

“Namun, dua adik dan bapa saudara Angeline datang pada majlis pernikahan kami,” katanya.

Ditanya perancangan selepas ini, Sabri berkata, mereka tiada cadangan menganjurkan majlis resepsi atau berbulan madu.

“Rasanya cukuplah majlis pernikahan ini. Bulan madu pun rasanya tiada kerana ia bukan budaya kita.

“Alhamdulillah, Angeline juga sependapat dengan saya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai foto isterinya berhijab, baru-baru ini, Sabri menjelaskan Angeline berhijab untuk menjayakan watak atau menghadiri majlis tertentu.

“Setakat ini, Angeline belum berhijab sepenuhnya. Saya tak hendak memaksa. Dalam hal ini, biarlah dia terbuka hati dengan sendirinya,” katanya.

Sabri dan Angeline mula meraih populariti menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Dalam sitkom itu, mereka menggalas watak sebagai Wan Ismail Golok dan Lucy.


Sabri sebelum ini kehilangan isteri Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat barah. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Sementara Angeline pula memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >