WALAUPUN lidah mat salihnya agak tebal, apabila diwawancara, peserta rancangan popular Astro Ria, ‘Big Stage’, musim keempat, Megat Abdul Rahim Megat Abdul Razak tetap petah menjawab setiap soalan yang diutarakan.
Anak muda kelahiran Kuala Lumpur, sejauh ini sudah mengeluarkan tiga single, Sinar (2018) Sudahlah (2020) dan Kuasa Dua (2021).
Beliau dijangka menghasilkan album penuh pada 2023 ini juga.
“Saya sudah pun selesai merakamkan lima lagu bagi album penuh yang bakal dilancarkan. Waktu pelancaran masih belum dapat dipastikan, tetapi semua kerja-kerja rakaman termasuk remastering sudah pun selesai,” ujarnya.
Menurut beliau kelima-lima lagu dalam album itu dicipta oleh Rudy Nastia.
Megat, 21 tahun, akui pengalaman menyertai ‘Big Stage’ telah membuka banyak peluang untuk beliau melangkah jauh dan memantapkan kerjaya seni.
“Memang menarik. Bayangkan selama lapan minggu kami membuat persediaan untuk pertandingan ini, banyak perkara baru yang kami belajar. Setiap hari, kami perlu fokus terhadap persiapan dan pembelajaran.
“Setiap hari ada sahaja kegiatan seni dan latihan yang perlu kami lakukan, seperti latihan vokal dan kelas tarian. Saya berasakan diri ini lebih ‘dewasa’ dengan tunjuk ajar daripada pasukan ‘Big Stage’ terutamanya Cikgu Shafie dan Cikgu Azrin ini,” kongsi beliau dengan riang dan mengakui gemar datang ke Singapura.
Megat berkata sejak berusia 16 tahun, beliau telah didedahkan kepada dunia hiburan.
Ini bermakna pada usia sementah itu, beliau sudah terdedah kepada kecaman, kritikan dan komen negatif daripada warganet di media sosial. Mujur beliau mempunyai sokongan keluarga terutama daripada bapanya, Megat Abdul Razak yang sudah terlebih dahulu makan garam dalam dunia seni kerana beliau juga seorang ahli muzik, mahir bermain saksofon.
“Saya memang meminati dunia nyanyian dan hiburan sejak kecil lagi, jadi sudah terbiasa berhadapan dengan komen orang sekeliling. Saya berusaha melihat komen negatif dari sudut positif. Memang ada komen yang buat kita tersentak, tapi saya fikir yang baik-baik sahaja dan akan baca komen-komen itu sepintas jalan tanpa simpan di hati. Saya rasa penting untuk menjaga kesihatan mental kita juga.
“Bapa saya pemain saksofon profesional, manakala ibu pernah menyanyi, tetapi bukan sepenuh masa. Jadi sokongan keluarga ini amat penting dan amat saya hargai,” jelas anak bongsu tujuh beradik itu yang meminati penyanyi dari Amerika Syarikat, Bruno Mars dan Afgan dari Indonesia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg