Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeserta cilik gigih latih bina stamina, daya tahan untuk perlumbaan Hyrox
Larian 3km, angkat berat antara persiapan hadapi cabaran kecergasan sulung bagi kanak-kanak di S’pura
Peserta cilik gigih latih bina stamina, daya tahan untuk perlumbaan Hyrox
Putri Ashalina Haries Siddik baru berusia lapan tahun tetapi dia sudah pun berlari-lari anak sejauh tiga kilometer dan melakukan latihan fizikal seperti menolak, menarik dan mengangkat berat.
Latihan itu bertujuan membantu kanak-kanak tersebut membina stamina dan daya tahan, kata bapanya, Encik Haries Siddik Abdul Samad, 35 tahun.
Ini penting kerana anak sulungnya itu akan menyertai perlumbaan, AIA Hyrox Youngstars Singapore, yang akan diadakan buat julung-julung kalinya pada 28 dan 29 November di Singapore Expo.
“Saya sudah menyertai Hyrox sebanyak tiga kali dan anak saya pun pernah nampak saya mengambil bahagian.
“Apabila mendapat tahu yang Singapura akan anjurkan Hyrox Youngstars, saya fikir ini peluang baik untuk anak saya.
“Apabila saya tanya, dia kata dia berminat,” kata Encik Haries, bapa dua anak.
Sekitar 1,200 kanak-kanak berusia antara lapan dengan 15 tahun telah mendaftar untuk menyertai perlumbaan itu sejauh ini.
Hyrox Youngstars merupakan versi cabaran kecergasan dunia yang telah diubah suai agar bersesuaian dengan usia dan kemampuan fizikal peserta muda.
Pertandingan bagi kanak-kanak itu mula diperkenalkan di Amsterdam pada Januari, dengan peserta dibahagikan kepada empat kumpulan usia, iaitu lapan hingga sembilan tahun; 10 hingga 11 tahun; 12 hingga 13 tahun; serta 14 hingga 15 tahun.
Peserta Hyrox Youngstars perlu berlari beberapa pusingan dan menyelesaikan lapan stesen senaman, sama seperti peserta dewasa.
Namun, jarak larian yang perlu ditempuh lebih pendek dan beban yang perlu diangkat lebih ringan.
Putri Ashalina berkata pada awalnya, beliau berasa sangat sukar menjalani latihan untuk perlumbaan itu.
“Tapi lama-lama, saya menjadi terbiasa,” katanya.
Kanak-kanak itu bagaimanapun tidak berlatih bersendirian.
Setiap minggu, dia berkumpul dengan 12 kawan-kawannya yang berusia antara tiga dengan 12 tahun, untuk menjalani latihan kekuatan dan kecergasan fungsional di bawah bimbingan Encik Haries.
Mereka semua merupakan anak-anak daripada empat keluarga, yang mengenali satu sama lain menerusi kegiatan sukan ‘push bike’ atau basikal imbang.
Tidak semua kanak-kanak dalam kumpulan itu akan mengambil bahagian dalam Hyrox Youngstars kerana berada di bawah umur.
Cuma enam daripada mereka dapat mengambil bahagian.
Berkongsi pandangannya tentang Hyrox untuk kanak-kanak, Encik Haries berkata beliau melihatnya sebagai sesuatu yang membolehkan anaknya kekal aktif dan dapat mengisi masa lapangnya dengan kegiatan produktif.
“Apabila saya melibatkan anak-anak dalam kegiatan sukan, kami dapat berkongsi minat dan semangat yang sama.
“Ia sesuatu yang menyeronokkan kerana kami juga dapat meluangkan lebih banyak masa bersama dan mengeratkan hubungan kekeluargaan,” ujar pegawai teknikal kanan tersebut.
Selain itu, Encik Haries turut berpendapat bahawa dengan menyertai pertandingan seperti Hyrox Youngstars, kanak-kanak mempunyai tujuan untuk berlatih.
“Sesetengah orang berlatih untuk meningkatkan kecergasan secara umum, dan itu tidak mengapa.
“Tetapi, apa yang membuatkan kita lebih bersemangat untuk terus berlatih adalah apabila kita tahu kita sudah mendaftar untuk sesuatu pertandingan dan kita perlu membuat persiapan untuk menyertainya,” ujar beliau.
Mengenai latihan menjelang pertandingan itu, Encik Haries berkata beliau melatih kekuatan peserta cilik kerana banyak stesen dalam Hyrox Youngstars melibatkan bahagian badan bawah seperti weighted squats atau senaman cangkung sambil mengangkat berat.
Memandangkan tidak banyak gimnasium dibuka kepada kanak-kanak, kumpulan itu terpaksa melakukan latihan tersebut di luar, menggunakan peralatan sendiri termasuk yang diubah suai.
Ditanya mengenai stesen paling mencabar baginya, Putri Ashalina berkata dia mendapati kegiatan sled pull, atau tarik berat, dan sled push, atau tolak berat, sebagai paling payah.
Namun, kanak-kanak itu tetap bersemangat dan “mahu berseronok menyertai perlumbaan tersebut”.
Dia juga berharap dapat berdiri di podium pada akhir perlumbaan, iaitu meraih salah satu daripada tiga tempat teratas dalam kategori usianya.
Bagi Encik Haries pula, beliau berharap kanak-kanak yang dibimbingnya terus berlatih atas dasar minat dan seronok melakukannya, bukan kerana berasa terpaksa.
“Saya berharap semua kanak-kanak dapat memberikan yang terbaik, mencatat rekod peribadi masing-masing dan siapa tahu, mungkin ada antara mereka yang berjaya meraih tempat di podium,” ujarnya.
Bukan sahaja anak-anak yang berlatih untuk Hyrox Youngstars, ibu bapa dalam kumpulan Sembarang Go Jer (SGJ) itu pun gigih berlari dan menjalani latihan kekuatan dan kecergasan fungsional untuk pertandingan AIA Hyrox Singapore yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 November.
Ini termasuk ibu tiga anak yang sedang hamil anak keempat, Cik Nur Fathiha Wan Mat Din, yang akan mengambil bahagian buat kali pertama bersama suaminya.
“Kami baru mula bersenam sejak Mei.
“Sebelum itu kami tidak berapa aktif sangat,” kata pengurus Rangkaian Penduduk (RN) berusia 37 tahun itu.
“Semasa awal latihan, nak lari 2.4 kilometer pun saya dah rasa penat.
“Saya akan berhenti berlari dan kemudian berjalan.
“Tapi sekarang, saya dah boleh lari lebih 5 kilometer. Ia satu pencapaian bagi saya,” tambahnya.
Peserta Hyrox dewasa perlu berlari sejauh satu kilometer sebanyak lapan kali, dan menyelesaikan lapan stesen senaman.
Berkongsi latihan yang dijalani, Cik Nur Fathiha, yang hamil 29 minggu, berkata beliau bersama suami dan anak-anak berlari-lari anak dua atau tiga kali seminggu di sekeliling estet perumahan mereka.
Sekali seminggu, keluarga itu melakukan interval running atau larian pantas dan perlahan yang diselang-seli, di stadium bersama keluarga lain dalam SGJ.
Latihan kekuatan dan kecergasan fungsional dilakukan di gimnasium sekali seminggu.
Cik Nur Fathiha berkata beliau gembira dapat mencapai matlamat keluarganya untuk kekal aktif bersama.
“Dulu, cuma anak-anak yang lari, tetapi sekarang, kami sekeluarga dapat melakukan kegiatan senaman bersama-sama,” ujarnya.
“
“Apabila saya melibatkan anak-anak dalam kegiatan sukan, kami dapat berkongsi minat dan semangat yang sama. Ia sesuatu yang menyeronokkan kerana kami juga dapat meluangkan lebih banyak masa bersama dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.”