Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiada TV, sejam skrin sehari; ibu bapa galak anak teroka dunia luar
Reka rutin harian seimbang antara tanggungjawab, kegiatan fizikal, pembelajaran dengan masa bersama keluarga
Tiada TV, sejam skrin sehari; ibu bapa galak anak teroka dunia luar
Dalam sebuah rumah tanpa televisyen dan masa penggunaan skrin dihadkan kepada sejam sehari, Cik Nur Izzati Ismail, membesarkan dua anaknya agar mencari hiburan di luar dunia digital.
Namun, dalam dunia ‘meme’ (sejenis kandungan dikongsi dalam talian) tular, permainan dalam talian dan trend media sosial semakin mewarnai perbualan kanak-kanak, adakah anak-anaknya berisiko ketinggalan?
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Izzati berkata anak-anaknya, Afifah Muhammad Fairuz, 10 tahun, dan Zahid Muhammad Fairuz, sembilan tahun, ada kalanya bertanya tentang trend Internet yang kurang mereka fahami.
Zahid juga pernah berasa keliru apabila rakan-rakan berbual tentang trend dalam talian yang tidak diketahuinya.
Antaranya termasuk trend ‘6-7’ dan ‘meme’ seperti watak animasi Tung Tung Tung Sahur.
“Tapi, saya tidak rasa apa-apa tekanan daripada rakan pun jika saya tidak faham trend itu,” kata Zahid.
Cik Izzati, seorang jurulatih bebas juga tidak menganggap keadaan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Beliau percaya kanak-kanak tidak perlu mengikuti setiap trend dalam talian untuk menjalin persahabatan bermakna.
“Kalau mereka tidak tahu sesuatu trend, mereka bertanya kepada saya dan saya akan cuba mencari tahu dan menerangkannya kepada mereka,” katanya yang berusia 41 tahun.
Keputusan untuk mengehadkan pendedahkan kepada skrin bukanlah sesuatu yang dibuat secara spontan.
Sebaliknya, ia merupakan keputusan bersama suami, Encik Muhammad Fairuz Samsi, 41 tahun, seorang eksekutif pengurusan kemudahan, sejak mereka mempunyai rumah sendiri pada 2017.
“Pada awalnya memang kami tidak mahu ada televisyen di rumah. Walaupun ada juga ahli keluarga yang menghadiahkannya, TV itu diletak di bilik tidur dan bukan di ruang tamu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pendiriannya bukan bermakna beliau menolak penggunaan gadjet atau teknologi sepenuhnya.
“Bagi saya, ada dua perkara yang menjadi kebimbangan. Pertama, apa yang mereka tonton dan pelajari dari segi pengetahuan dan maklumat. Kedua, kesihatan mereka, termasuk mata,” katanya.
Menurut Cik Izzati, wadah seperti YouTube yang menawarkan kandungan tanpa penghujung, sekali gus memungkinkan kanak-kanak menghabiskan masa lebih lama di hadapan skrin.
Bagi memastikan anak-anaknya tidak terlalu bergantung pada gadjet untuk mengisi masa lapang, pasangan itu membentuk rutin harian yang seimbang antara tanggungjawab, kegiatan fizikal, pembelajaran dengan masa bersama keluarga.
Pada hari persekolahan, masa penggunaan skrin dihadkan kepada sekitar sejam sehari, dengan kebanyakan masa diperuntukkan untuk keperluan pembelajaran termasuk mengakses portal pembelajaran dalam talian, Student Learning Space (SLS).
“Afifah dan Zahid tidak mempunyai kebebasan menggunakan peranti sesuka hati. Mereka perlu mendapatkan kebenaran kami terlebih dahulu,” tambah Cik Izzati.
Beliau berkata mereka juga tidak dibenarkan menonton YouTube atau melayari Internet tanpa pengawasan dan ciri kawalan ibu bapa untuk memantau laman sesawang yang diakses turut digunakan.
Ketika cuti sekolah, Cik Izzati lebih fleksibel dan membenarkan masa penggunaan skrin meningkat, bergantung pada keadaan serta jumlah pendedahan skrin anak-anak sebelum itu.
Afifah sendiri dapat memahami kebimbangan ibu bapanya terhadap kesan penggunaan skrin secara berlebihan.
“Untuk mengelakkan kami daripada terpengaruh dengan perkara yang boleh mengubah tingkah laku kami,” kata Afifah yang gemar dengan kegiatan kreatif dan seni.
Manakala Zahid pula cenderung mengisi masa dengan bermain bola sepak serta Rubik’s Cube.
Bagi Cik Izzati, penjelasan seperti itu penting supaya anak-anak tidak melihat peraturan yang ditetapkan sekadar sebagai larangan.
“Saya percaya ibu bapa sendiri perlu menilai tabiat penggunaan telefon bimbit masing-masing,” tambahnya.
Beliau mengakui bahawa orang dewasa juga mudah menghabiskan masa dengan media sosial tanpa menyedari berapa lama masa telah berlalu.
Oleh itu, beliau dan suami cuba mengurangkan penggunaan telefon yang tidak perlu, khususnya ketika bersama anak-anak.
Selain menggunakan peranti untuk pembelajaran, keluarga itu sesekali menonton filem atau dokumentari bersama-sama serta melakukan kegiatan seperti berbasikal.
Teknologi juga digunakan untuk kegiatan yang lebih bermakna seperti mendengar lagu di aplikasi Spotify, mempelajari lirik lagu Melayu dan mencari maklumat bagi merancang percutian keluarga.
Bagi ibu bapa yang ingin mengurangkan kebergantungan anak-anak terhadap gadjet, Cik Izzati menekankan tiga perkara utama:
“Menetapkan batasan yang jelas, membentuk rutin keluarga dan menyediakan kegiatan alternatif yang menyeronokkan.
“Apabila anak-anak sedar bahawa mereka sebenarnya boleh berseronok tanpa telefon bimbit, lebih banyak peluang terbuka untuk mereka meneroka perkara lain,” katanya.
Cik Izzati mengakui bahawa pada awalnya, ada yang menganggap cara mereka membesarkan anak-anak sebagai sesuatu yang luar biasa.
Malah, sesetengah saudara-mara berasa janggal apabila berkunjung ke rumah mereka kerana tiada televisyen di ruang tamu.
Namun, beliau menjelaskan bahawa matlamat mereka bukan untuk menjauhkan anak-anak daripada teknologi selama-lamanya.
Sebaliknya, mereka mahu membina asas yang kukuh supaya anak-anak dapat menggunakan teknologi dengan bijak apabila semakin membesar.
Beliau turut percaya bahawa ibu bapa yang sebelum ini memberikan kebebasan penuh kepada anak-anak menggunakan peranti masih boleh mula memperkenalkan perubahan secara berperingkat.
“
“Menetapkan batasan yang jelas, membentuk rutin keluarga dan menyediakan kegiatan alternatif yang menyeronokkan. Apabila anak-anak sedar bahawa mereka sebenarnya boleh berseronok tanpa telefon bimbit, lebih banyak peluang terbuka untuk mereka meneroka perkara lain.”